Kemaskini terakhir : 26/11/2020 5:30     

i-SINAR: TERBUKA KEPADA LEBIH RAMAI AHLI DENGAN PENGELUARAN MAKSIMUM ANTARA RM10,000 DAN RM60,000 DARIPADA AKAUN 1

Permohonan bermula pertengahan Disember 2020
 

KUALA LUMPUR, 26 November 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan perincian i-Sinar pada awal minggu hadapan, berikutan pengumuman Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sesi ucapan penggulungan Belanjawan 2021 hari ini.

Perincian ini merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji. KWSP menjangkakan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bermula pertengahan Disember 2020, dengan pembayaran pertama sebulan selepas permohonan diluluskan.

i-Sinar merupakan kemudahan tambahan kepada program bantuan Kerajaan lain dan juga inisiatif-inisiatif lain yang diperkenalkan KWSP ketika pandemik ini, seperti pengurangan kadar berkanun syer pekerja, pengeluaran i-Lestari, dan juga Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP).


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk

Jabatan Hal Ehwal Korporat

26 November 2020

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.