Kemaskini terakhir : 03/09/2021 3:16     

PELANTIKAN BAHARU PENGURUSAN KANAN KWSP

KUALA LUMPUR, 3 September 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan baharu pengurusan kanannya.

Dato' Mohd Naim Daruwish bersara sebagai Ketua Pegawai Operasi dan telah digantikan oleh Sazaliza Zainuddin. Dato' Mohd Naim telah berkhidmat bersama KWSP selama hampir tiga dekad dan berperanan penting dalam memperkukuhkan operasi KWSP, termasuk ketika tempoh sekatan pergerakan berikutan pandemik COVID-19. Dato’ Mohd Naim mula berkhidmat dengan KWSP pada tahun 1992 sebagai Pengurus di Bahagian Pendakwaan/Litigasi dan telah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Penguatkuasaan, Ketua Perundangan, dan Ketua Caruman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi pada tahun 2014. Kerjayanya bermula pada tahun 1985 sebagai Majistret dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Sazaliza telah mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Operasi mulai 1 September 2021. Beliau pernah berkhidmat di PricewaterhouseCoopers dari tahun 1997 hingga 2006, sebelum memulakan kerjaya bersama KWSP pada tahun 2006 sebagai Ketua Akaun di Jabatan Kewangan. Di KWSP, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Kewangan, Ketua Pengurusan Perolehan, dan Ketua Audit Dalaman, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada tahun 2017. Sebagai Ketua Pegawai Operasi yang baharu, beliau akan menyelia portfolio perkhidmatan operasi dan fungsi sokongan, dengan penekanan khusus terhadap pengurusan prestasi, penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan juga keperluan kontrak.

Dengan perubahan portfolio Sazaliza, Mohamad Hafiz Kassim dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Kewangan mulai 1 Ogos 2021. Mohamad Hafiz yang merupakan seorang akauntan, sebelum ini telah berkhidmat dengan PricewaterhouseCoopers dan Daiwa Capital sebelum menyertai KWSP pada tahun 2008. Di KWSP, beliau pernah mengetuai Jabatan Pelaburan Hartanah, Jabatan Pasaran Modal, dan Jabatan Ekuiti Persendirian. Sebagai Ketua Pegawai Kewangan, Mohamad Hafiz akan bertanggungjawab memastikan operasi Bahagian Kewangan dan Perkhidmatan berjalan dengan cekap dan berkesan.

Mohamad Hafiz kini menyertai Sazaliza dan pihak pengurusan kanan KWSP yang lain, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Seri Amir Hamzah Azizan bersama Ketua Pegawai Pelaburan Rohaya Mohammad Yusof, Ketua Pegawai Strategi Nurhisham Hussein, dan Ketua Pegawai Teknologi Digital Muhammad Afhzal Abdul Rahman.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
3 September 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.