Kemaskini terakhir : 02/03/2021 12:12     

BAYARAN UNTUK PERMOHONAN i-SINAR SEDIA ADA BERMULA 2 MAC 2021

Permohonan baharu selepas pemansuhan kriteria bermula 8 Mac 2021


KUALA LUMPUR, 2 Mac 2021: Berikutan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar pada bulan Februari 2021, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa permohonan yang dibuat sebelum 25 Februari akan diberi kelulusan secara berperingkat dan bayaran akan dibuat bermula 2 Mac 2021.

Ia melibatkan permohonan yang masih menunggu keputusan kelulusan sebelum penambahbaikan i-Sinar tanpa kriteria dibuat. KWSP menghargai kesabaran ahli ketika proses ini sedang berjalan. Jika ahli mendapati status permohonan masih tiada sebarang perubahan, semakan boleh dibuat pada hari-hari berikutnya.

Permohonan baharu yang mencerminkan pemansuhan kriteria akan dibuka bermula 8 Mac 2021 kepada semua ahli di bawah umur 55 tahun, tertakluk kepada baki di dalam Akaun 1 ahli. Ini termasuk ahli KWSP bukan warganegara Malaysia. Permohonan baharu ini akan diproses dalam tempoh lima (5) hari bekerja dan selepas tempoh ini, ahli boleh mula menyemak status permohonan dan tarikh bayaran.

Bermula 8 Mac 2021 juga, ahli akan diberikan kelonggaran untuk membuat pindaan pada butiran permohonan seperti jumlah dipohon, maklumat bank, alamat, nombor telefon serta mod bayaran di laman i-Sinar Online.

Jumlah pengeluaran i-Sinar serta jadual pembayaran maksimum selama enam bulan akan kekal, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, iaitu:

a.   Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000.

b.  Bagi ahli yang mempunyai lebih dari RM100,000 (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10% daripada simpanan Akaun 1 mereka. Walau bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000. Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam (6) bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM10,000.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi hotline khas i-Sinar di 03 – 8922 4848. Untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun melayari laman web www.kwsp.gov.my.

*Contoh situasi ahli:
 

Situasi

Status permohonan

A) Ahli telah membuat permohonan sebelum 25 Februari 2021:

  • Telah menerima bayaran interim RM1,000
  • Status permohonan: Sedang diproses

Bayaran bulan pertama akan bemula 2 Mac 2021

Nota: Berikutan pemansuhan kriteria i-Sinar pada 11 Feburari 2021

B) Ahli telah membuat permohonan sebelum 25 Februari 2021:

  • Tidak menerima bayaran interim RM1,000
  • Status permohonan: Dokumen sokongan diperlukan

C) Ahli telah membuat permohonan sebelum 25 Februari 2021:

  • Tidak menerima bayaran interim RM1,000
  • Status permohonan: Sedang diproses

D) Ahli belum membuat permohonan

Ahli boleh membuat permohonan bermula 8 Mac 2021. Permohonan akan diberi kelulusan dalam masa lima (5) hari bekerja

E)

  • Baki Akaun 1 kurang dari RM150
  • Ahli yang berumur 55 tahun dan ke atas

Tidak layak memohon kemudahan i-Sinar

Nota: Bagi ahli berumur 55 tahun dan ke atas, mereka boleh mengeluarkan apa-apa amaun di bawah Pengeluaran Umur 55 Tahun.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
02 Mac 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.