Kemaskini terakhir : 28/02/2020 9:43     

Penurunan Kadar Caruman Pekerja

KUALA LUMPUR, 27 Febuari 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum keputusan Kerajaan dalam mengurangkan kadar caruman minimum berkanun bagi pekerja, daripada 11 peratus kepada tujuh (7) peratus seperti yang diumumkan hari ini.

 

Kadar caruman berkanun baharu ini akan berkuatkuasa mulai 1 April 2020 sehingga akhir tahun ini, untuk ahli yang berumur 59 tahun dan ke bawah. Kadar caruman pekerja bagi ahli yang berumur 60 tahun dan ke atas tidak berubah.

 

Keputusan untuk mengurangkan kadar caruman berkanun KWSP adalah berikutan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Kerajaan bertujuan untuk mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang berpunca daripada penularan global COVID-19 sejak kebelakangan ini.

 

Majikan hendaklah memastikan amaun caruman yang betul ditolak daripada upah/gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baharu seperti dalam Jadual Ketiga, Akta KWSP 1991. 

 

Walau bagaimanapun, pekerja boleh memilih untuk mengekalkan kadar caruman syer pekerja pada kadar 11 peratus dengan melengkapkan Notis Pilihan Mencarum Melebihi Kadar Berkanun KWSP 17A (Khas) yang boleh diperoleh melalui laman sesawang kwsp.gov.my. Notis ini perlu dikemukakan kepada majikan masing-masing untuk diserahkan kepada KWSP.

 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, ahli dan golongan majikan boleh rujuk laman sesawang KWSP di kwsp.gov.my, talian telefon Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melawat mana-mana cawangan KWSP.

 

Dikeluarkan oleh Pejabat Media KWSP

Jabatan Hal Ehwal Korporat

27 Februari 2020

 

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.