Kemaskini terakhir : 24/05/2021 2:17     

PENUTUPAN SEMENTARA CAWANGAN BAYAN BARU DAN WAKTU OPERASI KAUNTER PERKHIDMATAN TERBARU DI SELURUH NEGARA

KUALA LUMPUR, 24 Mei 2021: Pejabat dan kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Bayan Baru, Pulau Pinang akan ditutup buat sementara waktu mulai hari ini (24 Mei 2021) hingga dimaklumkan kelak, setelah seorang anggota cawangan tersebut didapati positif COVID-19.

Penutupan ini berikutan pematuhan kepada arahan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pengurusan premis untuk menjalankan proses disinfeksi dan sanitasi. Anggota KWSP tersebut kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan, manakala pengesanan kontak sedang dilaksanakan.

Selain itu, berkuatkuasa 25 Mei 2021, waktu operasi kaunter perkhidmatan terbaru di semua cawangan KWSP di seluruh negara adalah daripada 8.30 pagi hingga 2 petang, hingga dimaklumkan kelak. Ini berikutan pengumuman Kerajaan untuk memperketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam tempoh ini, lawatan ahli hanya boleh dibuat melalui janji temu sama ada melalui saluran Janji Temu Online di laman web KWSP https://www.kwsp.gov.my/ms/janjitemu atau panggilan khas daripada cawangan berkenaan. Kehadiran di cawangan tanpa membuat janji temu adalah tidak dibenarkan sama sekali. Hanya perkhidmatan yang tersenarai di dalam Janji Temu Online dan panggilan khas yang terdapat di cawangan pada tempoh PKP ini.

Selaras dengan pengumuman oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ahli dan anggota, KWSP akan melaksanakan SOP seperti yang berikut di semua cawangan di seluruh negara:

A. Semua ahli mesti menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis cawangan.

B. Semua ahli wajib mengemukakan status MySejahtera mereka kepada anggota KWSP yang bertugas, dan hanya ahli yang berstatus ‘risiko rendah’ akan dibenarkan masuk ke cawangan.

C. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis cawangan.

KWSP ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kesefahaman para ahli pada tempoh ini akan usaha KWSP untuk memberi perkhidmatan yang terbaik melalui saluran fizikal dan elektronik. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Untuk maklumat lanjut, ahli-ahli boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03- 8922 6000 ataupun layari laman web KWSP.


Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
24 Mei 2021

 

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.