Kemaskini terakhir : 20/03/2020 3:45     

Penutupan sementara cawangan KWSP

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa dari 18 hingga 31 Mac 2020 bagi membendung segera penyebaran COVID-19, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menutup semua pejabat dan kaunter perkhidmatan di seluruh negara. Manakala, semua pegawai KWSP telah diarahkan untuk mematuhi perintah ini dan bekerja dari rumah.

 

Sehubungan itu –

 

a. Sebarang pertanyaan melalui Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP adalah terhad kepada saluran emel dan media sosial, manakala maklumat terperinci boleh diperolehi dengan melayari laman web rasmi sahaja;

 

b. Perkhidmatan melalui i-Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan) masih beroperasi seperti biasa, tetapi tertakluk kepada perkhidmatan tertentu yang sedia ada sahaja; dan

 

c. Pembayaran caruman boleh dibuat melalui kaunter ejen-ejen bank atau perbankan internet yang berdaftar dengan KWSP.

 

Oleh kerana terdapat kekangan teknikal dan pengurusan sumber di pihak KWSP sepanjang tempoh ini, para pelanggan dijangkakan akan menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi dan berurusan dengan KWSP. Kelewatan dalam memberikan respons dan memproses permohonan pelanggan juga tidak dapat dielakkan. Segala kesulitan yang dialami amat dikesali.

 

Kami berharap agar semua pihak memahami, bersabar dan memberikan kerjasama yang baik sepanjang tempoh tersebut.  KWSP berhasrat dapat meneruskan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan kami selepas tempoh ini tamat.

 

Bersama putuskan rantaian jangkitan COVID-19. Kekal di rumah. Jaga kebersihan diri.