Kemaskini terakhir : 18/01/2021 5:47     

PEMBAYARAN INTERIM SEHINGGA RM1,000 BAGI KEMUDAHAN i-SINAR KATEGORI 2

Pembayaran bermula 26 Januari 2021

KUALA LUMPUR, 18 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa ahli yang memohon kemudahan i-Sinar di bawah Kategori 2 akan menerima pembayaran interim sehingga RM1,000 daripada jumlah keseluruhan yang dimohon, mulai 26 Januari 2021.

Pembayaran interim tersebut adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan ahli yang terkesan akibat peningkatan jumlah kes COVID-19 serta bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia. Ianya juga adalah untuk membantu ahli memenuhi keperluan asas, sementara permohonan mereka menjalani proses kelulusan oleh KWSP.

Untuk mempercepat dan mempermudahkan pembayaran wang interim tersebut, KWSP hanya memerlukan ahli membuat pengisytiharan kendiri dan memuat naik dokumen sokongan di laman i-Sinar Online (isinar.kwsp.gov.my). Proses ini diperlukan untuk melindungi simpanan ahli daripada sebarang penipuan atau aktiviti scam.

Bagi mereka yang sudah memuat naik dokumen sokongan mereka, pembayaran interim ini akan bermula dari 26 Januari 2021, sementara untuk permohonan baharu yang masih belum memuat naikkan dokumen sokongan yang relevan, pembayaran interim akan diproses dalam masa tujuh (7) hari dari tarikh permohonan diterima.

Setelah permohonan ahli disahkan dan diluluskan, KWSP akan meneruskan pembayaran amaun seperti yang dimohon, setelah ditolak amaun pembayaran interim tersebut. Sekiranya pengisytiharan kendiri didapati tidak benar atau tidak disokong oleh dokumen yang telah dimuat naik, KWSP berhak menghentikan pembayaran seterusnya.

Contoh Situasi Fatimah:

Fatimah mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan memohon untuk membuat pengeluaran sehingga RM10,000* dan memilih RM5,000 sebagai pembayaran pertama. Berikutan pelaksanaan pembayaran interim, jadual pembayaran bagi permohonan Fatimah adalah seperti berikut:

 

Amaun Pembayaran Interim

RM1,000

Amaun Pembayaran Pertama

RM4,000

Amaun Pembayaran Kedua

RM1,000

Amaun Pembayaran Ketiga

RM1,000

Amaun Pembayaran Keempat

RM1,000

Amaun Pembayaran Kelima

RM1,000

Amaun Pembayaran Keenam

RM1,000

Jumlah layak dimohon

RM10,000*

*Tertakluk kepada baki Akaun 1.

Contoh Situasi Ali:

Ali mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan memohon untuk membuat pengeluaran sebanyak RM700. Baki Akaun 1 Ali hanya RM800. Berikutan pelaksanaan pembayaran interim, jadual pembayaran bagi permohonan Ali adalah seperti berikut:

 

Amaun Pembayaran Interim

RM700

Amaun Pembayaran Pertama

Tiada

Jumlah layak dimohon

RM700*

*Tertakluk kepada baki Akaun 1 dan perlu meninggalkan baki sekurang-kurangnya RM100 di dalam Akaun 1 untuk menikmati faedah sebagai ahli KWSP



Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
18 Januari 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.