Kemaskini terakhir : 14 Sep 2023    

Buka Akaun KWSP Di Hujung Jari Anda

Realitinya, persediaan untuk persaraan hari ini agak membimbangkan. Kos sara hidup yang semakin meningkat juga menambah kepada kebimbangan mengenai keselamatan kewangan di masa hadapan. Oleh itu, perancangan untuk simpanan persaraan haruslah bermula dari awal untuk memastikan kehidupan selepas persaraan yang selesa.

 

Berdasarkan Kuantum Simpanan Asas KWSP, bakal pesara seharusnya mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM240,000 bagi menampung persaraan mereka untuk tempoh 20 tahun.

 

Namun, setakat 31 Disember 2022, 51.5% daripada semua ahli KWSP yang berumur 55 tahun dan ke bawah tidak mempunyai simpanan asas. Malah, mereka mempunyai kurang daripada RM10,000 di dalam Akaun 1.

 

Ini menunjukkan simpanan persaraan adalah penting kerana ia boleh memberikan anda sumber pendapatan yang mencukupi apabila anda sudah bersara. Simpanan persaraan juga merupakan asas kepada kestabilan kewangan selepas persaraan. Dengan menyimpan secara konsisten di usia muda, anda boleh merancang persaraan dengan lebih yakin.

 

Bagi yang bekerja sendiri, anda mungkin terdedah kepada risiko kewangan yang tidak mencukupi sewaktu persaraan. Oleh itu, anda perlu mengambil inisiatif untuk membuat simpanan di usia muda.

 

Untuk menangani risiko ini, anda digalakkan untuk membuka akaun KWSP anda (jika anda masih belum memilikinya!) dan mula menyimpan seawal mungkin. Panduan yang kami sediakan di bawah ini boleh membantu anda untuk membuka dan mendaftar akaun dengan lebih mudah.

 

Syarat-Syarat Untuk Membuka Akaun KWSP 

Terbuka kepada semua yang berumur 14 sehingga sebelum 75 tahun.

 

Bolehkah Saya Mendaftar dan Membuka Akaun KWSP Secara Atas Talian?

Berita baik! Mulai 6 Julai 2023, anda boleh mendaftar dan membuka akaun KWSP dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi KWSP i-Akaun. Kini, anda dapat membuka akaun KWSP semudah ABC, dan hanya mengambil masa antara 2 hingga 5 minit sahaja!

 

Langkah 1 Sediakan MyKad atau MyPR dan pastikan anda berada di kawasan yang selamat dan terang.
Langkah 2 Buka aplikasi KWSP i-Akaun.
Langkah 3 Tekan menu ‘Belum ada akaun KWSP’.
Langkah 4 Ikuti langkah-langkah yang dipaparkan pada skrin sehingga pendaftaran anda berjaya.
Langkah 5 Setelah anda berjaya membuka akaun KWSP, anda boleh terus ke pengaktifan i-Akaun.

 


 

Selain pemegang MyKad atau MyPR, anda perlu mengunjungi cawangan KWSP terdekat untuk membuat pendaftaran di kaunter.

 

Apa itu KWSP i-Akaun?

 

KWSP i-Akaun adalah aplikasi atas talian untuk ahli menyemak dan menambah simpanan persaraan mereka. Melalui i-Akaun, anda boleh ikuti perkembangan mengenai caruman, memohon pengeluaran, menyemak penyata simpanan KWSP anda, dan menggunakan pelbagai fungsi lain yang tersedia.

 

Bagaimanakah cara untuk saya mengaktifkan i-Akaun?

 

Setelah anda berjaya mendaftar dan membuka akaun KWSP, langkah seterusnya ialah untuk mengaktifkan i-Akaun anda:

Langkah 1

Tetapkan ID pengguna, kata laluan, frasa rahsia dan pilih imej keselamatan anda.

Langkah 2

Tekan ‘Setuju’ kepada terma dan syarat, dan pengaktifan anda selesai.

 

Dengan hanya mengikut dua langkah di atas, anda boleh mengakses semua fungsi yang tersedia! Dengan mengaktifkan i-Akaun, anda boleh memantau simpanan anda bila-bila masa dan dimana-mana sahaja.

 

Jadi, apa yang anda tunggu lagi? Muat turun aplikasi KWSP i-Akaun sekarang untuk menguruskan simpanan KWSP anda dengan lebih mudah!

 

Anda boleh muat turun aplikasi KWSP i-Akaun di Google Play Store, Apple Store atau Huawei App Gallery.

 

Alternatif Lain untuk Mendaftar dan Membuka Akaun Simpanan KWSP

 

1. Self-Service Terminal

 

KWSP menawarkan servis Self-Service Terminal (SST) dimana anda boleh membuat pendaftaran secara mudah tanpa perlu beratur di kaunter. Anda boleh membuka akaun KWSP anda di SST dengan mengikuti lima (5) langkah berikut:

 

Langkah 1 Cari lokasi SST KWSP yang berdekatan dengan anda.
Langkah 2 Masukkan MyKad dan sahkan cap ibu jari anda.
Langkah 3 Isi nombor telefon peribadi dan alamat emel anda.
Langkah 4 Sahkan maklumat peribadi anda.
Langkah 5 Nombor ahli KWSP anda akan dipaparkan di skrin, dan emel akan dihantar setelah pendaftaran berjaya.


 

Anda juga boleh menggunakan SST untuk mengaktifkan i-Akaun anda sebagai pengguna baru:

 

Langkah 1 Pilih menu pendaftaran i-Akaun di SST.
Langkah 2 Semak dan sahkan butiran peribadi anda.
Langkah 3 Tetapkan ID pengguna, kata laluan, imej keselamatan dan frasa rahsia anda.
Langkah 4 Tunggu notifikasi yang menandakan pengaktifan i-Akaun telah berjaya.
Langkah 5 Imbas kod QR untuk memuat turun aplikasi KWSP i-Akaun di telefon bimbit anda.


 

Untuk makluman, hanya warganegara Malaysia dan pemastautin tetap sahaja boleh membuka akaun KWSP dan mengaktifkan i-Akaun mereka di SST. Bagi pemohon warga asing, mereka perlu hadir ke kaunter untuk mendaftar akaun KWSP mereka dan membawa bersama Borang KWSP 3 (Daftar) serta pasport atau bukti pengenalan diri yang lain.

 

 

2. Kaunter KWSP

 

Jika anda memilih untuk membuka akaun di cawangan KWSP atas sebab - sebab tertentu, anda boleh ikuti tiga (3) langkah berikut:


Langkah 1 Bawa ID anda ke kaunter. Contohnya, MyKad, MyKAS atau pasport.
Langkah 2 Sahkan identiti anda dengan cap ibu jari.
Langkah 3 Dapatkan nombor ahli KWSP anda setelah pendaftaran berjaya.

 

Untuk senarai kaunter KWSP berdekatan anda, layari laman web kami di sini.

 


 

 

Semoga panduan ringkas ini dapat membantu anda untuk mendaftar dan membuka akaun KWSP dengan lebih mudah. Untuk pertanyaan lanjut, anda boleh tanya ELYA.

Muat Turun KWSP i-Akaun Sekarang!

line