Mengenai Pengeluaran Umur 55 Tahun
Apabila mencapai umur 55 tahun, caruman yang diterima ke dalam Akaun 1 dan Akaun 2 anda akan digabungkan ke dalam Akaun 55. Anda boleh mengeluarkan kesemua atau sebahagian daripada simpanan daripada akaun ini pada bila-bila masa. Sekiranya anda memilih untuk terus bekerja selepas umur 55 tahun, caruman yang diterima selepas itu akan dikreditkan ke dalam Akaun Emas yang hanya boleh dikeluarkan apabila anda mencapai umur 60 tahun.
Anggota Sektor Awam Di Bawah Skim Pencen Kerajaan
Sebelum anda memohon pengeluaran ini, anda dinasihatkan untuk memastikan pengembalian syer kerajaan telah dibuat kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan memohon pengiraan awal syer kerajaan (Pre-PEN). Ini bagi memastikan syer kerajaan dikembalikan kepada KWAP bagi pembayaran ganjaran dan pencen.
Pemohon berumur 55 tahun boleh memohon pengeluaran dan Pre-PEN secara serentak. Anda boleh mengeluarkan baki dalam Akaun 55 dan Akaun Emas selepas syer kerajaan dikembalikan.