KWSP UMUM SENARAI UNIT AMANAH YANG DIKEMAS KINI UNTUK 2023/2024

KWASA DAMANSARA, 10 April 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP). Senarai yang disemak ini berkuat kuasa hari ini.

 

Bagi tempoh 2023/2024, sebanyak 299 dana daripada 18 IPD telah diluluskan di bawah KWSP SPA, di mana 184 dana layak ditawarkan kepada ahli KWSP. Daripada dana yang layak ini, sebanyak 149 dana, atau 81%, adalah dana tempatan, dengan 104 dana, atau 70%, adalah dana ekuiti.

 

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Mohammad Yusof berkata, “Buat pertama kali tahun ini, KWSP telah memasukkan dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) ke dalam senarai sebagai antara komitmen kami untuk menyokong pelaburan mampan serta mengarusperdanakan agenda kemampanan kami. KWSP menjangkakan lebih banyak dana SRI yang memenuhi kriteria penilaian kami akan disenaraikan pada masa hadapan.

 

“Sebagai insentif untuk menggalakkan pelaburan ahli ke dalam dana berasaskan SRI, caj jualan dikurangkan untuk transaksi yang dibuat melalui platform dalam talian i-Invest KWSP daripada 0.5% kepada 0%; atau tidak lebih daripada 1.5% untuk transaksi melalui ejen,” tambah beliau.

 

Kesemua 299 dana yang diluluskan di bawah KWSP SPA ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana. Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

 

Senarai dana unit amanah untuk tempoh 2023/2024 adalah seperti di Jadual 1 berikut:

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30% daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka. Ini termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas (rujuk Jadual 2).

 

“Sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, lebih kurang RM2.15 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2022. Kami menggalakkan ahli untuk memanfaatkan i-Invest kerana ia menyediakan caj jualan pendahuluan yang lebih rendah berbanding saluran lain, lebih fleksibiliti, fungsi dan memudahkan ahli untuk melabur, berurus niaga dan memantau dana pelaburan di dalam IPD.

 

“Ahli juga boleh mengakses maklumat lanjut mengenai kos pelaburan yang berkenaan dan sejarah prestasi dana. Ciri Penanda Aras Prestasi Dana dalam platform juga membolehkan ahli membandingkan prestasi dana terpilih dengan prestasi penanda aras prestasi dana mereka,” tambah Rohaya.

 

Ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang betul serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi. Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP. Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

 

Untuk senarai penuh dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/member/investment.

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP     
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 April 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.