1.4 JUTA AHLI TERIMA RM500 ONE-OFF CARUMAN TAMBAHAN KERAJAAN UNTUK MENINGKATKAN KESELAMATAN KEWANGAN

KWASA DAMANSARA, 10 Januari 2024:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengkreditkan insentif Caruman Tambahan Kerajaan berjumlah RM708 juta kepada 1.4 juta ahli KWSP berumur antara 40 dan bawah 55. Insentif ini diperuntukkan kepada individu yang mempunyai simpanan KWSP RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka setakat 24 Februari 2023.

 

Insentif caruman RM500 one-off ini, yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari 2023, bertujuan menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri umur persaraan untuk terus menyimpan dan mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka. Ia sejajar dengan matlamat KWSP untuk meningkatkan kecukupan simpanan dan menyumbang secara signifikan kepada matlamat yang lebih luas untuk membina masa depan kewangan yang berdaya tahan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang insentif Caruman Tambahan Kerajaan ini, ahli boleh rujuk Soalan Lazim (FAQ) di laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 Januari 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.