KWSP ANJUR MAJLIS HARI INTEGRITI BERSAMA KEMENTERIAN KEWANGAN DAN AGENSI-AGENSI 2023

KWASA DAMANSARA, 23 November 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menganjurkan Majlis Hari Integriti Bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi-Agensi 2023 dengan objektif utama untuk meningkatkan kerjasama antara agensi di bawah MOF serta menyahut seruan Kerajaan bagi meningkatkan amalan dan budaya berintegriti di kalangan semua kakitangan dan penjawat awam keseluruhannya.

 

 

Majlis bertemakan “Integriti Manifestasi Malaysia MADANI”, telah dilancarkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I, dihadiri oleh Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Datin Rashidah Mohd Sies, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan), Ketua-ketua Bahagian dan Agensi-Agensi Kerajaan.

 

 

Dalam ucapan alu-aluan beliau, Tan Sri Ahmad Badri berkata, “Setiap tahun, KWSP menganjurkan sambutan Hari Integriti di peringkat KWSP, di mana aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan melibatkan penyertaan kakitangan KWSP sahaja. Namun, berbeza bagi tahun ini, selain penganjuran pelbagai aktiviti di peringkat KWSP, sambutan Hari Integriti bagi tahun ini julung-julung kalinya diraikan bersama dengan MOF dan semua agensi-agensi di bawahnya.

 

 

“Sebagai pemegang amanah simpanan persaraan rakyat Malaysia, KWSP menekankan nilai teras yang membentuk asas pengurusan kewangannya dan kepentingan integriti dalam setiap aspek operasinya. Setiap tindakan yang kami ambil adalah berdasarkan kepentingan ahli KWSP dan pada hari ini, kami sebulat suara memperbaharui dedikasi kami untuk mencapai piawaian integriti tertinggi. Komitmen ini melangkaui pematuhan kepada peraturan semata-mata, tetapi meresap dalam budaya organisasi dan dalam keputusan yang kami lakukan setiap hari,” kata beliau.

 

 

Majlis tersebut dihadiri lebih 800 ahli dan kakitangan daripada organisasi yang mengambil bahagian, semuanya menunjukkan solidariti dalam memerangi rasuah, selaras dengan saranan Kerajaan seperti yang termaktub dalam Pelan Integriti dan Pencegahan Rasuah (NACP) negara.

 

 

Tan Sri Ahmad Badri berkata, di peringkat KWSP, terdapat empat (4) teras utama yang dalam pelaksanaan Pengurusan Risiko Rasuah: 

  • Meningkatkan keberkesanan dan pelaksanaan 46 inisiatif di bawah Pelan Integriti dan Anti Rasuah KWSP;
  • Meningkatkan aktiviti pengukuhan amalan berintegriti di kalangan semua anggota dan pihak berkepentingan KWSP;
  • Meningkatkan jaringan kerjasama dengan pihak luar; dan
  • Melaksanakan Indeks Prestasi Integriti KWSP di semua peringkat Wilayah, Cawangan dan Jabatan.

 

 

“Sebagai sebahagian daripada keluarga besar MOF, KWSP amat komited untuk menjayakan visi rangka kerja Ekonomi MADANI, yang bertujuan meletakkan Malaysia dalam kalangan 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dalam tempoh 10 tahun akan datang. Matlamat ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus meningkatkan tadbir urus yang baik dan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap supaya hasrat ini dapat direalisasikan,” kata Tan Sri Ahmad Badri.

 

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
23 November 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.