BELANJAWAN 2023 MEMPERKUKUH ASAS PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR KESEJAHTERAAN SOSIAL

KWASA DAMANSARA, 24 Februari 2023:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini, yang telah mengambil kira perubahan demografi yang menyebabkan semakin ramai penduduk tua serta landskap pekerjaan yang menunjukkan peralihan yang ketara daripada pekerjaan formal kepada tidak formal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Perubahan landskap memperkukuhkan lagi keperluan dan kesegeraan bagi Malaysia untuk bertindak selaras dengan perubahan semasa bagi memelihara keselamatan pendapatan rakyat Malaysia semasa usia tua. Beberapa perkara yang dibangkitkan oleh KWSP, terutamanya mengenai simpanan persaraan yang sangat rendah dan kesejahteraan kewangan jangka panjang rakyat Malaysia, juga termasuk dalam belanjawan tersebut.

 

“Belanjawan 2023 merupakan belanjawan yang inklusif dan antara lainnya, ia bertujuan untuk menambah baik sistem perlindungan sosial Malaysia. Kerajaan sedang mengambil langkah konkrit untuk membuka ruang kepada lebih banyak pembaharuan selain memperkukuhkan asas pembangunan infrastruktur kesejahteraan sosial yang kukuh,” tambahnya.

 

Maklum balas KWSP terhadap Belanjawan 2023 adalah seperti berikut:

 

  1. Inisiatif Penambahan Caruman ke dalam Akaun 1 KWSP
    KWSP amat mengalu-alukan inisiatif Kerajaan bagi menggalakkan ahli KWSP yang mempunyai simpanan rendah dan menghampiri usia persaraan untuk menyimpan secara berterusan bagi membantu mempercepatkan pengumpulan simpanan persaraan mereka. Kerajaan akan memperuntukkan anggaran sebanyak RM1 bilion bagi menyumbang sebanyak RM500 dengan bayaran secara sekali gus (one-off) kepada lebih kurang 2 juta ahli yang berumur antara 40 tahun hingga di bawah 55 tahun dan mempunyai simpanan KWSP sebanyak RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka. KWSP akan memperincikan inisiatif ini dan pengumuman lanjut mengenai pelaksanaannya akan dibuat dalam masa terdekat.
     
  2. Insentif Caruman Padanan (i-Saraan)
    KWSP berterima kasih kepada Kerajaan yang melanjutkan program i-Saraan bagi tahun 2023 dan meningkatkan had maksimum insentif caruman padanan untuk 2023 daripada RM250 kepada RM300 setahun. Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada ahli di bawah i-Saraan yang berada di luar sektor formal termasuk suri rumah, dan membantu mempercepatkan keselamatan kewangan mereka untuk persaraan.
     
  3. Peluasan skop pelepasan cukai tahunan bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000
    KWSP menyambut baik inisiatif perluasan skop pelepasan cukai tahunan bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela kepada KWSP sehingga RM3,000. Inisiatif ini boleh dinikmati oleh semua pekerja sama ada di sektor formal atau tidak formal yang membuat caruman secara sukarela kepada KWSP. Ini bermakna, seseorang ahli yang mencarum secara wajib (pelepasan cukai sehingga RM4,000) dan menambah simpanan dengan caruman sukarela atau membuat caruman melebihi kadar berkanun atau kedua-duanya sekali akan dapat menikmati pelepasan cukai sehingga RM7,000. Usaha ini akan dapat menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meningkatkan simpanan persaraan mereka untuk hari tua.
     
  4. Penambahbaikan Simpanan Konvensional (SK) dan Simpanan Shariah (SS) KWSP
    KWSP sedang meningkatkan operasi pelaburannya bagi memastikan SS dan SK dilaburkan secara optimum bagi memberikan pulangan yang kompetitif kepada 15.7 juta ahli KWSP. Penambahbaikan ini merangkumi pelaksanaan tarikh kuat kuasa yang lebih awal untuk menjadi ahli SS berbanding polisi semasa di mana tarikh kuat kuasa adalah secara tahunan.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata kesejahteraan rakyat Malaysia semasa usia emas mereka kekal menjadi keutamaan dan KWSP akan menyokong pelaksanaan inisiatif ini untuk membolehkan rakyat membina semula simpanan persaraan mereka dengan tujuan untuk membantu mereka mencapai persaraan yang sejahtera.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
24 Februari 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.