KWSP TETAPKAN RM240,000 SASARAN SIMPANAN MINIMUM UMUR 55 TAHUN

Kuantum Baharu Simpanan Asas Bermula Januari 2019

KUALA LUMPUR, 28 November 2018: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa kuantum baharu Simpanan Asas akan dinaikkan daripada RM228,000 kepada RM240,000 bermula 1 Januari 2019. Jumlah ini akan ditetapkan sebagai jumlah sasaran simpanan minimum ahli perlu ada apabila mencecah umur 55 tahun.

 

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan yang minimum untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun, iaitu daripada umur 55 tahun sehingga umur 75 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia. Kuantum baharu ini (rujuk Jadual 1) ditanda aras dengan kadar pencen minimum pekerja sektor awam yang telah dinaikkan dari RM950 kepada RM1,000 sebulan.

 

Ketua Jabatan Pengurusan Strategi KWSP Balqais Yusoff berkata, “Kuantum Simpanan Asas ini disemak secara berkala berdasarkan kadar pencen minimum pekerja sektor awam setiap tiga tahun atau yang mana terdahulu. Ini selaras dengan perubahan kos hidup dan paras garis kemiskinan dan semakan kali terakhir telah dibuat pada tahun 2017.”

 

Dengan kuantum Simpanan Asas baru ini, ahli kini perlu mempunyai simpanan yang lebih tinggi dalam akaun KWSP mereka untuk layak menyertai Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA). Di bawah skim ini, ahli diberi pilihan untuk melaburkan sebahagian simpanan daripada Akaun 1 ke dalam dana unit amanah atau pengurusan aset oleh Institusi Pelaburan Dana (IPD) yang dilantik di bawah SPA-KWSP.

 

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi mana-mana daripada 67 cawangan KWSP seluruh negara. 

Jadual 1: Kuantum Simpanan Asas Baru Mengikut Umur

Umur Kuantum Simpanan Asas Umur Kuantum Simpanan Asas

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.