KWSP PERINCIKAN MEKANISME, TERMA DAN SYARAT UNTUK FASILITI SOKONGAN AKAUN 2

KWASA DAMANSARA, 3 April 2023:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperincikan mekanisme serta terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) lanjutan daripada pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Kewangan baru-baru ini melalui kenyataan akhbarnya bertarikh 21 Mac 2023.

 

Fasiliti Sokongan Akaun 2 adalah satu kemudahan yang bertujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan. Simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta). Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

 

Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka. Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian. Sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 KWSP. Permohonan hendaklah dibuat mengikut terma dan syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan. Setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

 

Fasiliti Sokongan Akaun 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa, dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN). KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

 

Semasa Fasa 1, yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian. Tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka. Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

 

Kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank-bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4% hingga 5%, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8% hingga 15%.

 

Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka. Fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

 

Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli. Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun. Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli.

 

Simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan KWSP, seterusnya membolehkan ahli mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan mereka, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

 

Ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya ahli telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka. Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran pra-persaraan lain daripada KWSP.

 

Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini.

 

Ahli juga perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi. Untuk maklumat lanjut mengenai Fasiliti Sokongan Akaun 2, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
3 April 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.