USAHA KWSP DALAM MEMASTIKAN KECUKUPAN PENDAPATAN PERSARAAN

KWASA DAMANSARA, 6 Julai 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan laporan berita mengenai cadangan untuk memperkenalkan pilihan pengeluaran bulanan untuk ahli KWSP. KWSP sedang mempertimbangkan perubahan kepada mekanisme berupa pencen dalam usaha membantu ahli mempunyai pendapatan pasca persaraan yang lebih stabil.

 

Cadangan ini seiring dengan usaha semasa KWSP dalam menggalakkan ahli untuk memilih pengeluaran bulanan berkala berbanding pilihan pengeluaran penuh. Pada 2022, lebih 7,000 ahli telah memilih secara sukarela kaedah pengeluaran bulanan ini. Proses untuk menguatkuasakan mekanisme pengeluaran berkala ini sedang diteliti dan akan mengambil kira keupayaan dan kesiapsiagaan ahli untuk melakukan transisi ini.

 

Cadangan ini akan melibatkan perubahan generasi yang akan mengambil masa yang agak lama sebelum dikuatkuasakan.  KWSP percaya bahawa transisi ini adalah perlu berikutan peningkatan purata jangka hayat rakyat Malaysia daripada 54 tahun pada 1957 kepada 75 tahun hari ini. Purata jangka hayat ini dijangka meningkat di masa hadapan, di mana rakyat Malaysia akan hidup lebih lama dalam tempoh persaraan. KWSP akan terus menggalakkan ahli untuk menukar secara sukarela kepada pilihan pengeluaran bulanan ini.

 

Di bawah cadangan ini, sebahagian daripada simpanan ahli sehingga had tertentu akan ditukar kepada pendapatan bulanan manakala baki selebihnya boleh dikeluarkan secara penuh. Ini bagi mengelakkan kemiskinan hari tua dan untuk mengagihkan pendapatan yang lebih tetap sepanjang tempoh persaraan. KWSP mengambil pendekatan pragmatik dan praktikal terhadap cadangan penambahbaikan polisi, seterusnya mengimbangi keperluan ahli semasa dengan keperluan untuk mengekalkan kecukupan simpanan selepas bersara.

 

KWSP akan memaklumkan sebarang perubahan berkaitan polisinya kepada ahli yang terlibat sebelum perubahan ini berkuat kuasa


Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Julai 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.