KWSP UMUM PERUBAHAN PERKHIDMATAN SEMENTARA BAGI PENYELENGGARAAN SISTEM YANG DIJADUALKAN

KWASA DAMANSARA, 7 November 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menjalankan penaikan taraf sistem selama empat hari bermula 17 November hingga 20 November 2023 dengan matlamat meningkatkan kecekapan teknologi maklumat (IT) dan memperkukuh sistem KWSP bagi ketahanan jangka panjang.


Sepanjang gangguan sementara ini, perkhidmatan real-time dalam talian KWSP tidak akan tersedia. Dalam tempoh ini, ahli tidak akan dapat mengakses akaun KWSP mereka atau melakukan transaksi dalam talian. Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP juga tidak dapat menerima panggilan sepanjang tempoh naik taraf ini. Cawangan-cawangan KWSP akan kekal beroperasi, walau bagaimanapun transaksi hanya akan lengkap selepas tempoh naik taraf selesai.


Ahli dan majikan digalakkan untuk merancang keperluan kewangan mereka sebelum proses naik taraf ini dijalankan dan hadir ke cawangan KWSP apabila sistem telah kembali tersedia pada 21 November 2023. Semua transaksi atau permohonan yang tertangguh akan diproses selepas proses menaik taraf selesai. Walaupun penaikan taraf ini akan menyebabkan beberapa kesulitan, inisiatif ini akan menghasilkan infrastruktur yang lebih efisien dan kukuh dengan manfaat yang lebih besar.


KWSP menghargai kerjasama ahli sepanjang tempoh menaik taraf ini dan komited untuk memberikan perkhidmatan dan keupayaan yang lebih baik setelah proses menaik taraf ini selesai. Untuk maklumat dan bantuan, sila layari laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my.


Dikeluarkan oleh
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Tarikh: 7 November 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.