KWSP LANCAR i-SAYANG MEMBOLEHKAN SUAMI MENCARUM 2% KEPADA AKAUN KWSP ISTERI

KWASA DAMANSARA, 8 Mac 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan usahasama bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), melancarkan i-Sayang, sebuah kemudahan yang membolehkan suami untuk memindahkan dua (2) peratus daripada caruman KWSP mereka ke dalam akaun isteri untuk kesejahteraan masa depan mereka.

 

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan i-Sayang di majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, dihadiri oleh Menteri KPWKM YB Dato’ Sri Nancy Shukri, Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Kemudahan i-Sayang ini merupakan sebahagian daripada usaha berrterusan KWSP untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada institusi kekeluargaan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak mempunyai perlindungan skim keselamatan sosial yang formal, untuk menabung demi masa depan persaraan mereka.

 

“Dengan membolehkan suami untuk mencarum secara sukarela sebanyak dua peratus caruman bulanan, mereka memberikan peluang kepada isteri mereka untuk mempunyai simpanan jangka masa panjang di samping mendapat akses kepada keselamatan sosial dan kewangan yang berkualiti sepertimana yang dinikmati oleh ahli KWSP.”

 

Lebih kurang 2.4 juta suri rumah di negara ini tidak bekerja atau berada di luar sektor tenaga buruh, seterusnya tidak mempunyai sebarang bentuk keselamatan sosial, menjadikan mereka lebih rentan terhadap kesulitan dan kejutan kewangan.

 

Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan dalam memperkasakan hak dan menjaga kebajikan wanita serta menerapkan nilai kekeluargaan selaras dengan konsep Malaysia MADANI yang berteraskan ciri-ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

 

Permohonan i-Sayang boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun KWSP (Ahli) atau di mana-mana cawangan seluruh negara.

 

Maklumat lanjut mengenai i-Sayang boleh didapati di sini, atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
8 Mac 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.