Date: 11 Okt 2023
Memperkasakan Agenda Literasi Kewangan Melalui Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2023

Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2023 (National Financial Literacy Symposium, NFLS 2023) telah berlangsung pada 10 hingga 11 Oktober 2023 di Sasana Kijang, Kuala Lumpur. Dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN) dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM), NFLS 2023 menghimpunkan penggubal dasar, penyelidik, pengamal dan organisasi bukan kerajaan untuk membincangkan serta menggunakan hasil penyelidikan sebagai alat penyelesaian serta strategi yang praktikal untuk meningkatkan literasi kewangan. Kerjasama dengan PEM memberikan sinergi bagi menggalakkan penyertaan komuniti ekonomi dalam penyelidikan saintifik berkenaan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia.

Dalam ucaptama beliau, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Encik Adnan Zaylani Mohamad Zahid, menekankan kepentingan budaya penyelidikan yang kukuh dalam bidang literasi kewangan. Beliau berkata, “Matlamat kolektif kami adalah untuk memanfaatkan penyelidikan bagi merangka, melaksanakan dan memantau inisiatif pendidikan kewangan. Simposium ini berfungsi sebagai platform untuk perbincangan yang menyeluruh mengenai isu-isu literasi kewangan semasa yang melibatkan penggubal dasar, pengamal pasaran dan ahli akademik yang berpengalaman.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Encik Mohamad Hafiz Kassim berkata, “Agenda memperkasakan literasi kewangan terus menjadi salah satu keutamaan kami. Melalui simposium ini, kami berharap untuk memupuk persekitaran pembelajaran yang kolaboratif, menjalinkan hubungan yang bermakna dan mencetuskan pelbagai idea yang mampu menghasilkan transformasi yang berkekalan.” Selain kepentingan literasi kewangan, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Encik Azaddin Ngah Tasir juga berpendapat bahawa kesan iklim mampu menjejaskan kesejahteraan kewangan negara dalam masa terdekat dan perlu dipandang serius.

NFLS 2023 dianjurkan secara bersama oleh Bank Negara Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit dengan kerjasama Persatuan Ekonomi Malaysia bersempena Bulan Literasi Kewangan 2023. Simposium yang berlangsung selama dua hari ini menggabungkan perbincangan panel dan pembentangan kertas penyelidikan oleh pakar-pakar peringkat kebangsaan, serantau dan juga antarabangsa. Simposium ini juga membincangkan tentang bidang kewangan digital yang sedang berkembang pesat dengan meneliti risiko yang wujud serta peluang yang boleh dimanfaatkan untuk rangkuman kewangan yang bermakna bagi pengguna.

Sebanyak empat puluh dua kertas penyelidikan telah diterima yang meliputi pelbagai dimensi literasi kewangan seperti tingkah laku pengguna kewangan, perancangan persaraan, dinamik ekonomi jangka pendek serta perkembangan produk dan perkhidmatan kewangan digital. Sebanyak sepuluh penyertaan telah disenarai pendek dan dibentangkan semasa Simposium ini, dengan tiga kertas penyelidikan dianugerahkan sebagai kajian terbaik seperti yang berikut:

  • Retirement Readiness and Financial Sustainability: Investigating the Behavioural Dynamics among Millennials in Malaysia, oleh Joyce S.S. Chuah, Santha Vaithilingam, Sharon G.M. Koh dan Mahendiran Nair, Monash University Malaysia dan Sunway University
     
  • Digital Financial Literacy and the Usage of Digital Financial Products and Services, oleh Helen Lee Siew Heng, Loke Yiing Jia dan Chin Phaik Nie, Universiti Sains Malaysia
     
  • Motivations and Drivers Behind Savings Behaviour and their Impact on Financial Resilience: Breaking Common Assumptions, oleh Nadhirah Ibrahim, Aida Jaslina Jalaludin dan Azleen Osman Rani, The Institute for Capital Market Research Malaysia

Untuk maklumat lanjut mengenai program NFLS 2023, sila layari www.fenetwork.my/nfls/

Jaringan Pendidikan Kewangan
11 Oktober 2023


Layari juga:
Ucaptama oleh Timbalan Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid pada pelancaran NFLS 2023

Mengenai Jaringan Pendidikan Kewangan (Financial Education Network, FEN)

Ditubuhkan pada bulan November 2016, FEN bertindak sebagai platform antara agensi untuk meningkatkan impak inisiatif pendidikan kewangan serta mengenal pasti peluang baharu untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Usaha ini dilaksanakan melalui penjajaran yang lebih baik, kerjasama yang lebih erat dan tumpuan yang jitu terhadap penilaian impak. Ahli-ahli FEN termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Permodalan Nasional Berhad.