Bagaimana Anda Boleh Bantu Isteri Anda Dari Segi Kewangan?
Myra Athena
Tarikh: 12 Aug 2024
Bagaimana Anda Boleh Bantu Isteri Anda Dari Segi Kewangan?
Ingatkah anda pada suatu ketika dahulu, di saat anda mula mengenali seorang wanita yang di mata anda dialah yang paling sempurna? Ingatkah anda ketika itu seolah-olah mandi tak basah, makan tak kenyang kerana hanyut dibuai perasaan? Malah, untuknya lautan api pun sanggup anda redah bak kata orang dulu-dulu.
Kini, wanita itu mungkin telah menjadi isteri anda atau ibu kepada anak anda sebagaimana yang anda impikan. Tapi, itu bukan bermaksud usaha anda sebelum berkahwin terhenti di situ sahaja. Sebagai suami yang menghargai isterinya, anda boleh menyediakan simpanan persaraan untuk isteri anda melalui caruman daripada sebahagian gaji bulanan yang diperolehi!
Bantu kewangan isteri anda melalui i-Sayang
Kita semua mengimpikan hari persaraan yang selesa bersama pasangan tanpa perlu risau akan kewangan terutamanya untuk perbelanjaan bulanan. Untuk mencapai matlamat itu, anda dan pasangan perlu membuat perancangan yang baik dan berkesan. Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan isteri masa kini mempunyai kerjaya dan pendapatan sendiri. Tetapi ini tidak bermaksud anda sebagai suami tidak perlu untuk menambah lagi simpanan isteri anda.
Siapa di antara anda yang berasa risau tentang kejadian yang tidak dijangka melanda keluarga anda? Bagaimana isteri dan anak-anak anda akan meneruskan kehidupan mereka selepas ini? Sebagai ketua keluarga, semestinya hal ini berat untuk difikirkan. Namun ada perancangan yang boleh anda fikirkan bermula sekarang.
Kami faham dari mana datangnya kebimbangan anda. Berapa kali sudah anda mendengar cerita atau tajuk berita yang berbunyi seperti ini:
“Ditinggalkan Tanpa Apa-apa: Suri Rumah Berjuang Untuk Hidup Selepas Kematian Suami”
“Berjuang untuk Kelangsungan Hidup: Ibu Tunggal Menghadapi Kesusahan Kewangan dan Kemurungan Selepas Kehilangan Suami”
“Suri Rumah Terdesak: Bekerja Siang dan Malam Untuk Menyokong Keluarga Selepas Kematian Suami"
Cuba kita bayangkan situasi seperti ini:
Nora (bukan nama sebenar), seorang suri rumah berusia 41 tahun yang berjuang untuk mencari nafkah selepas suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Setelah pemergian suaminya, beliau terpaksa menyara anak-anaknya seorang diri. Beliau berharap untuk mengeluarkan simpanan KWSP suaminya, tetapi di bawah undang-undang harta pusaka Islam atau dikenali sebagai Faraid, simpanan itu tidak boleh menjadi milik beliau sepenuhnya, membuatkan Nora tidak mampu untuk menampung keperluan beliau dan anak-anaknya.
Ketika itu, Nora terpaksa mendapatkan bantuan daripada pelbagai saluran seperti memohon bantuan khas yang tersedia untuk ibu tunggal dan bertindak sebagai penama arwah suaminya untuk mengagihkan simpanan KWSP mengikut Faraid kepada waris-waris yang berhak sebelum mendapatkan baki selebihnya selepas tempoh tertentu.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, tetapi kehidupan perlu diteruskan demi kelangsungan hidup bersama anak-anaknya.
Kisah Nora ini menjadi peringatan bahawa seorang suami mempunyai tanggungjawab yang penting dalam menyediakan kewangan yang kukuh dan perancangan yang baik untuk masa depan isteri sekiranya sesuatu yang tidak diingini terjadi.
Banyak cara yang anda boleh lakukan untuk membuktikan betapa sayangnya anda kepada keluarga, contohnya mengutamakan masa depan mereka. Bila bercakap tentang masa hadapan, sudah tentu setiap dari kita tidak boleh lari dari memikirkannya kerana kita tidak boleh jangka apa yang mungkin berlaku. Maka ingatlah pepatah orang dulu-dulu, sediakan payung sebelum hujan. Mungkin dalam jangka masa pendek anda tidak nampak akan kebaikkan simpanan persaraan untuk isteri, tetapi dalam jangka masa panjang pasti anda akan berterima kasih kepada diri anda sendiri.
i-Sayang membenarkan anda memindahkan 2% daripada caruman pekerja bulanan ke akaun KWSP isteri anda. Maknanya, anda boleh mencarum terus ke dalam akaun KWSP isteri pada setiap bulan melalui potongan gaji bulanan anda. Sekiranya dilakukan sejak awal, ia sedikit sebanyak akan memberi manfaat kepada keluarga anda pada masa hadapan.
Adakah anda masih ragu-ragu tentang i-Sayang atau tidak pasti dengan faedahnya? Kami sedia membantu! i-Sayang boleh membantu anda dalam aspek berikut:
Menjamin masa depan isteri, terutamanya bagi suri rumah yang tidak bekerja dan tidak mempunyai sebarang simpanan atau caruman majikan.
Sesuai untuk mereka yang mempunyai komitmen yang tinggi. Anda mungkin merasakan bahawa gaji yang diperolehi adalah tidak cukup untuk menyimpan lebih. Tetapi, dengan menyimpan melalui pemindahan caruman pekerja, anda boleh mengutamakan simpanan untuk isteri tanpa menggangu komitmen kewangan yang lain.
Memudahkan proses simpanan atau dalam erti kata lain, segala urusan akan diuruskan oleh KWSP dengan satu klik di telefon bimbit anda. Ini dapat memudahkan anda untuk menyimpan duit dengan konsisten.
i-Sayang sangat disyorkan untuk anda menjamin masa depan yang lebih cerah untuk isteri tercinta. Anda bukan sahaja dapat melindungi masa depan kewangan isteri, tetapi juga mewujudkan satu simpanan khusus untuk kegunaannya tanpa melalui proses wasiat yang rumit dan sebagainya.
Jadi, jangan teragak-agak. Buktikan yang anda mengambil berat terhadap keluarga anda - tunjukkan kasih sayang kepada 'Sayang' anda dengan i-Sayang!