Cara Tambah Nilai Pada Duit Raya Secara Digital

Duit Raya Tanpa Sampul, Tapi Lebih Bermakna
Article Image

Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan tahunan tetapi juga saat untuk mensyukuri nikmat, berkongsi rezeki, dan mengeratkan hubungan. Dari pelukan mesra selepas solat sunat Aidilfitri hingga ke hidangan yang dinanti-nantikan seperti rendang, ketupat dan lemang, setiap detik penuh makna serta sarat dengan kenangan manis. Sudah tentu, pemberian duit raya menjadi momen yang paling dinanti!

Pemberian duit raya telah lama menjadi tradisi dalam berkongsi rezeki dengan insan tersayang. Rasa teruja saat menerima sampul berisi wang kertas baru, keriangan kanak-kanak berlari-lari mengumpul duit raya, serta usikan makcik dan pakcik yang berseloroh, "Mana duit raya kami?" — semua itu mencipta suasana ceria serta mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Namun, secepat mana Syawal berlalu, begitulah juga duit raya — hilang entah ke mana!

Baca juga: Berbelanja Secara Bijak Pada Musim Perayaan

Ke mana sebenarnya duit raya kita pergi?

Jujurlah — berapa kali kita atau anak-anak habiskan duit raya dalam masa beberapa hari sahaja? Dari membeli jajan dan mainan hingga gajet terbaru, semuanya lesap sebelum Syawal berakhir. Keseronokan berbelanja memang tidak dinafikan, tetapi bagaimana jika duit raya boleh bertahan lebih lama dan memberi manfaat yang berkekalan?

Seiring dengan peredaran zaman, cara pemberian duit raya juga berubah. Sampul raya tetap mempunyai pesona tersendiri, tetapi ramai yang kini memilih kaedah tanpa tunai seperti pindahan e-dompet atau deposit terus ke akaun bank untuk lebih kemudahan. Namun, lebih daripada sekadar mengubah cara memberi, bukankah lebih baik jika kita juga memikirkan semula ke mana duit raya ini sepatutnya disalurkan?

Bolehkah duit raya dijadikan hadiah berkekalan?

Bayangkan jika duit raya bukan sekadar kegembiraan sementara, tetapi juga satu hadiah yang terus memberi manfaat jangka panjang. Dengan kemudahan Carum Untuk Ahli Lain melalui aplikasi KWSP i-Akaun, anda dapat menjadikan duit raya lebih bermakna — sesuatu yang nilainya terus berkembang seiring waktu.

Dengan mencarum ke dalam simpanan KWSP untuk ibu bapa, adik-beradik, anak-anak, atau sahabat handai*, anda bukan sahaja memberi mereka duit raya, tetapi juga jaminan kewangan untuk masa depan. Sumbangan ini akan terus berkembang, memastikan mereka mempunyai sokongan kewangan yang lebih kukuh apabila diperlukan — berbanding habis begitu sahaja. *Tertakluk kepada terma dan syarat.

Seperti duit raya dalam sampul, caruman ini melambangkan kasih sayang dan keprihatinan anda. Tetapi, berbeza dengan pemberian biasa, hadiah ini terus memberi manfaat — bukan hanya untuk hari ini, tetapi sepanjang hidup mereka. Ikuti langkah mudah ini untuk mencarum kepada insan tersayang.

 

💡 Tip Bijak: Selain duit raya, caruman ini juga boleh jadi hadiah istimewa — untuk ulang tahun, graduasi, atau sekadar tanda penghargaan!

Bagaimana duit raya boleh digunakan dengan lebih lestari dan bijak?

Duit raya bukan sekadar tradisi, tetapi juga simbol perkongsian rezeki dan kebajikan sesama kita. Sama ada melalui sampul raya tradisional atau sumbangan ke dalam akaun simpanan persaraan, semangat memberi tetap utuh.

Dengan beralih ke kaedah tanpa tunai, kita juga membuat pilihan yang lebih lestari. Kurangnya penggunaan kertas untuk sampul raya bermakna kurangnya pembaziran — sambil tetap mengekalkan tradisi dengan cara yang lebih bermakna.

Baca juga: Raikan Perayaan Cara Mesra Alam

back chevron

Jadi, pada Syawal kali ini, mari kita ubah kebiasaan dan berikan duit raya dengan cara yang lebih bermakna — bukan sahaja memastikan ia dimanfaatkan dengan lebih bijak, tetapi juga menyokong amalan yang lebih mesra alam.

Hantar Duit Raya Melalui KWSP i-Akaun Sekarang!