Mengapa Pendapatan Tinggi Tidak Bermaksud Simpanan Lebih Besar

Mengapa Pendapatan Tinggi Tidak Bermaksud Simpanan Lebih Besar
Article Image

Walaupun anda bergaji besar, tanpa pengurusan kewangan yang bijak, masalah kewangan boleh menjadi tekanan yang besar.

Bayangkan situasi ini: baru pertengahan bulan dan anda menyedari gaji hampir habis. Ke mana perginya semua wang itu? Ini adalah masalah yang sering berlaku.

Menguruskan wang dengan berkesan memerlukan amalan baik seperti membuat bajet, menyimpan sebahagian daripada pendapatan, dan memantau perbelanjaan secara berkala. Tanpa amalan ini, meskipun gaji mencukupi, wang anda boleh habis dengan cepat dan akhirnya menimbulkan tekanan terhadap keadaan kewangan anda. 

Anda mungkin pernah mendengar bahawa menyimpan wang pada usia 20-an akan membuat kehidupan pada usia 30-an dan 40-an menjadi lebih selesa. Tetapi bagaimana caranya untuk merealisasikan perkara ini? Nasihat terbaik daripada pelabur berjaya Warren Buffet adalah: 

“Jangan simpan apa yang tinggal selepas berbelanja, tetapi belanjakan apa yang tinggal selepas menyimpan”

Dengan kata lain, utamakan simpanan anda terlebih dahulu, dan gunakan baki yang tinggal untuk perbelanjaan. Perubahan cara berfikir ini boleh memberi manfaat besar kepada keadaan kewangan anda.

Kuasai kewangan anda

back chevron

Membina kekayaan bukan sekadar tentang berapa banyak pendapatan yang anda perolehi - ia juga tentang bagaimana anda mengurus dan menggunakan pendapatan tersebut dengan bijak. Berikut adalah beberapa tip praktikal untuk membantu anda memulakan perjalanan menuju kewangan yang mapan:

1) Tetapkan matlamat yang jelas

Fahami apa yang anda ingin capai dengan simpanan anda, sama ada untuk membeli rumah, kenderaan atau sebagai dana kecemasan. Mempunyai matlamat yang jelas membantu anda untuk terus bermotivasi dan lebih berdisiplin. Matlamat yang khusus memberi arah yang jelas dan memudahkan anda menilai kemajuan anda.

2) Kurangkan perbelanjaan yang tidak perlu

Perhatikan tabiat perbelanjaan anda dengan teliti dan kenal pasti perbelanjaan yang tidak penting yang boleh dikurangkan. Perubahan kecil setiap hari boleh membawa kepada penjimatan yang ketara dalam jangka masa panjang. Misalnya, menyediakan kopi di rumah daripada membeli setiap hari atau mengkaji semula langganan perkhidmatan yang tidak lagi digunakan, dapat memberi kesan besar dalam jangka masa yang panjang.

3) Tambah simpanan secara berkala

Tetapkan sebahagian daripada pendapatan dan/atau bonus anda untuk disimpan, selain daripada menampung keperluan asas. Jika keadaan kewangan anda membenarkan, pertimbangkan untuk membuat simpanan lebih daripada caruman minimum yang wajib ke akaun KWSP anda untuk mempercepatkan pertumbuhan simpanan persaraan.

Manfaatkan Caruman Sukarela (VC) untuk meningkatkan simpanan KWSP anda

4) Automasikan simpanan

Salah satu cara yang paling mudah untuk memastikan anda menyimpan secara konsisten adalah dengan mengaktifkan fungsi pemindahan automatik sebahagian daripada pendapatan bulanan ke akaun simpanan anda. Pendekatan “tetapkan dan lupakan” ini akan memudahkan proses membina simpanan anda dan mengelakkan keinginan untuk menghabiskan wang yang sepatutnya disimpan.


Mengapa simpanan anda tidak berkembang

back chevron

Cara anda menguruskan wang sering kali dipengaruhi oleh cara anda berfikir, latar belakang dan persekitaran  anda. Memahami faktor - faktor ini adalah langkah pertama untuk memperbaiki tabiat kewangan anda. Mari lihat beberapa alasan umum mengapa anda mungkin menghadapi kesukaran untuk menyimpan: 

“Sekali ini saja, saya akan belanja diri sendiri.”
Perbelanjaan kecil memang mudah dilakukan, tetapi perbelanjaan ini boleh bertambah jumlahnya tanpa kita sedari. Lebih baik tetapkan bajet untuk setiap permbelian dan patuhi bajet tersebut untuk mengelakkan pembelian secara impulsif.

“Saya layak ubah gaya hidup saya.”
Apabila pendapatan meningkat, keinginan untuk berbelanja lebih pada barang mewah mungkin mula timbul. Namun, tabiat ini boleh menyukarkan anda untuk menyimpan. Oleh itu, kawal perbelanjaan anda dan manfaatkan pendapatan tambahan untuk simpanan serta pelaburan.

“Saya tidak jangka ini akan berlaku.”
Perbelanjaan tidak dijangka seperti pembaikan kereta dan kos perubatan boleh menjejaskan simpanan anda. Oleh itu, penting untuk membuat simpanan bagi menampung kos kejadian yang tidak terjangka. Pastikan simpanan kecemasan anda mencukupi untuk menampung sekurang-kurangnya 6 bulan perbelanjaan. Ini akan bertindak sebagai penampan kewangan, memastikan anda bersedia menghadapi cabaran kewangan yang tidak diduga.

“Saya akan mula menyimpan pada bulan depan.”
Tabiat bertangguh boleh melambatkan pertumbuhan simpanan anda. Mulakan menyimpan walaupun dengan jumlah yang kecil hari ini; tabiat ini akan memberi manfaat besar kepada kewangan anda pada masa depan.


Apabila anda mula membuat perubahan kecil, anda akan menyedari bahawa kebebasan kewangan bukanlah hanya untuk golongan kaya—ia boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang menyimpan dengan bijak. Dengan mengutamakan simpanan dan membuat keputusan kewangan yang bijaksana, anda boleh mencapai keselamatan kewangan sebenar dan ketenangan fikiran.