Menjawab Segala Pertanyaan Anda Berkaitan Akaun 3 KWSP

Menjawab Segala Pertanyaan Anda Berkaitan Akaun 3 KWSP
Article Image

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan penstrukturan semula akaun ahli untuk meningkatkan keselamatan pendapatan selepas persaraan dan bagi menangani keperluan jangka pendek ahli. Ini telah menimbulkan pelbagai reaksi dan pertanyaan daripada orang awam.

Bagi membantu anda memahami perubahan ini dengan lebih berkesan, kami telah menyediakan panduan ringkas.

KWSP kini memperkenalkan tiga akaun baharu: 

  • Akaun Persaraan: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1, adalah untuk simpanan hari persaraan.
  • Akaun Sejahtera: Sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2, adalah untuk keperluan kitaran hayat semasa persaraan.
  • Akaun Fleksibel: Memberikan anda fleksibiliti untuk membuat pengeluaran pada bila-bila masa untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Adakah terdapat perbezaan kadar dividen di antara tiga akaun tersebut?

back chevron

Tidak. Kadar dividen adalah sama untuk semua akaun. Pada masa ini, penstrukturan semula akaun KWSP tidak mengubah polisi semasa penentuan kadar dividen.


Bagaimanakah caruman baharu akan dikreditkan selepas tarikh pelaksanaan?

back chevron

Mulai 11 Mei 2024, caruman baharu akan diagihkan mengikut peratusan seperti berikut: 

Setelah penstrukturan semula akaun dilaksanakan, baki sedia ada dalam Akaun 1 dan Akaun 2 akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera masing-masing. Sementara itu, Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Contoh agihan caruman ke akaun KWSP ahli adalah seperti ilustrasi di bawah:

Mulai 12 Mei 2024 hingga 31 Ogos 2024, ahli diberi peluang sekali sahaja untuk membuat pilihan memindahkan sebahagian daripada baki simpanan Akaun Sejahtera mereka ke Akaun Fleksibel sebagai amaun permulaan. Bagaimanapun, pilihan ini tidak boleh dibatalkan setelah permohonan diproses.

Penentuan amaun permulaan dalam Akaun Fleksibel pula adalah tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera anda sama ada kurang daripada atau melebihi RM3,000 pada tarikh permohonan diproses.

Rujuk Kenyataan Media kami untuk ketahui lanjut tentang kaedah pindahan ini.

Anda boleh membuat pilihan pindahan ini melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau melalui Self-Service Terminal (SST) di Pejabat KWSP bermula 12 Mei 2024.
 


Adakah ahli boleh memilih untuk tidak membuat pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel?

back chevron

Ya, boleh. Jika anda memilih untuk tidak berbuat demikian, baki simpanan sedia ada akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera. Selepas tarikh pelaksanaan, semua caruman baharu akan dikreditkan ke dalam ketiga-tiga akaun iaitu Akaun Persaraan (75%), Akaun Sejahtera (15%), dan Akaun Fleksibel (10%).

Perlu diingat bahawa permohonan pilihan amaun permulaan hanya boleh dibuat sekali sahaja melalui aplikasi KWSP i-Akaun atau melalui Self-Service Terminal (SST) dalam tempoh yang ditetapkan (12 Mei hingga 31 Ogos 2024). Selepas permohonan diproses, ia tidak boleh dibatalkan. Bagi yang memilih untuk membuat pindahan ini, permohonan anda dijangka akan diluluskan dalam tempoh 3-5 hari bekerja.


Bagaimana ahli boleh keluarkan simpanan dari Akaun Fleksibel?

back chevron

Anda boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa melalui aplikasi KWSP i-Akaun. Setelah permohonan diproses dan diluluskan, bayaran pengeluaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun bank anda. Perlu diingat, had pengeluaran minimum yang dibenarkan ialah RM50.

Anda tidak perlu mengemukakan dokumen sokongan untuk membuat permohonan pengeluaran ini. Namun, anda perlu ada akaun bank yang aktif atas nama anda sendiri bagi memudahkan proses bayaran pengeluaran. Jika anda tidak mempunyai akaun bank aktif, anda boleh memilih kaedah Arahan Bayaran melalui aplikasi KWSP i-Akaun, dengan mengikuti langkah-langkah yang sama.


Bolehkah ahli yang berusia 55 tahun ke atas mempunyai Akaun Fleksibel?

back chevron

Tidak, penstrukturan semula ini hanya melibatkan akaun KWSP ahli yang belum mencapai umur 55 tahun (termasuk ahli bukan warganegara) pada 11 Mei 2024.

Setelah ahli mencapai umur 55 tahun, kesemua baki simpanan dalam ketiga-tiga akaun akan dipindahkan ke Akaun 55. Caruman baharu yang diterima selepas umur 55 tahun akan dikreditkan ke Akaun Emas.


Kami berharap maklumat ini memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai penstrukturan semula akaun KWSP yang akan berlaku tidak lama lagi.

Untuk maklumat yang lebih terperinci, anda boleh rujuk Soalan Lazim (FAQ) di laman web kami. 

Terokai Soalan Lazim Untuk Maklumat Terperinci