Kesihatan mental — satu topik penting yang semakin mendapat perhatian, terutamanya selepas pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia. Dari platform dalam talian hingga komuniti tempatan, isu ini tidak lagi menjadi kekangan tabu, malah semakin ramai mula membincangkannya secara terbuka. Ini merupakan satu perkembangan yang positif bagi isu kesihatan mental.
Selaras dengan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini, ‘Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’, kami telah menyediakan langkah mudah dan berkesan untuk menjaga kesihatan mental anda di tempat kerja serta cara majikan boleh mewujudkan persekitaran kerja yang baik untuk pekerja yang menghadapi cabaran kesihatan mental.
Kepentingan Kesihatan Mental Di Tempat Kerja
Sebagai individu yang bekerja, sebahagian besar masa kita dihabiskan di tempat kerja. Oleh itu, penting untuk mengambil kira bagaimana pekerjaan boleh mempengaruhi kesihatan mental kita. Kerja boleh memberi kepuasan dan membawa makna kepada kehidupan kita — shout out kepada mereka yang sedang mendaki tangga korporat dengan cemerlang. Pekerjaan juga menyediakan kestabilan kewangan dan peluang untuk membina jaringan kerjaya yang bermakna dengan rakan sekerja.
Namun, kerja juga boleh menjadi punca tekanan. Walaupun ada tekanan yang boleh memberikan manfaat, tetapi tekanan yang berlebihan juga boleh menjejaskan kesihatan mental kita. Ini boleh menyebabkan keletihan melampau, kebimbangan, serta kemurungan.
Cara Memelihara Kesihatan Mental Anda
Berikut adalah 4 cara untuk memelihara kesejahteraan mental anda di tempat kerja:
Penjagaan diri lebih daripada sekadar merawat diri
Penjagaan kesihatan fizikal anda akan memberi kesan yang besar kepada kesihatan mental. Dengan melakukan senaman selama 30 minit setiap hari, anda akan merasai manfaat hormon endorphine. Pilih makanan yang berkhasiat dan seimbang, dengan sayuran segar, buah-buahan, dan minum banyak air untuk memberi tenaga kepada badan dan minda. Ingat, tidur malam yang mencukupi juga dapat menyokong sistem imun anda dan memastikan anda berada dalam keadaan terbaik.
Cari cara untuk menguruskan tekanan anda
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk mengurangkan tekanan. Jika anda belum menemui cara yang sesuai, jangan risau! Pertimbangkan kaedah-kaedah ini:
1) Menulis jurnal
Menulis jurnal adalah cara yang baik untuk meluahkan perasaan. Walaupun ia bukan bantuan profesional, ia boleh membantu anda memahami perasaan dan mengatasi pemikiran bercelaru tanpa memerlukan perbelanjaan yang besar.
2) Amalkan teknik relaksasi
Walaupun ada yang ragu-ragu terhadap keberkesanan meditasi, dengan hanya fokus pada beberapa minit pernafasan boleh memberikan kesan positif serta membantu mengurangkan tekanan. Meditasi body scan atau teknik regangan otot progresif adalah cara yang baik untuk digunakan apabila tekanan anda semakin memuncak.
3) Buat perkara kecil yang membantu anda bertenang
Jika ada aktiviti yang membantu anda bertenang, sama ada membaca novel, berjalan-jalan, menonton siri kegemaran atau melipat pakaian, lakukan aktiviti-aktiviti ini bagi mengatasi tekanan dalam diri anda.
Bina sistem sokongan
Walaupun kita tidak dapat memilih dengan siapa kita bekerja, tetapi dengan persekitaran yang sihat serta pergaulan baik dengan pengurus boleh memberi kesan positif kepada kesihatan mental kita. Selain itu, mencari rakan sekerja yang boleh dipercayai untuk berkongsi perasaan tentang kerja boleh menjadikan cabaran harian lebih mudah dihadapi.
Sistem sokongan yang kukuh membantu kita mengatasi cabaran tekanan di tempat kerja dan meningkatkan kesejahteraan mental secara keseluruhan.
Jangan takut untuk mendapatkan bantuan
Jika anda mengalami perubahan emosi yang mengganggu kehidupan seharian, itu adalah tanda untuk anda mendapatkan sokongan. Berbual dengan rakan, keluarga, atau mendapatkan nasihat daripada kaunselor boleh memberikan perubahan yang besar kepada kehidupan anda.
Jika kesihatan mental anda mula menjejaskan prestasi kerja, pertimbangkan untuk berbincang secara terbuka dengan majikan supaya mereka dapat memahami masalah dan memberikan sokongan kepada anda. Jika tidak pasti bagaimana untuk bermula, anda boleh rujuk bahagian sumber manusia (HR) terlebih dahulu, mereka boleh membantu anda untuk mencari jalan terbaik.