Apakah Kuasa Faedah Kompaun Daripada Simpanan Anda?

3 Tip Untuk Memaksimumkan Faedah Kompaun Daripada Simpanan Anda
Article Image

Ramai orang menganggap perancangan persaraan sebagai sesuatu yang masih jauh dengan anggapan mereka mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan. Namun, apabila menghampiri umur persaraan, ramai yang menyesal tidak memulakan persediaan lebih awal.

Untuk membuat persediaan secukupnya untuk persaraan, adalah penting untuk bermula lebih awal, terutamanya dalam aspek kewangan. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan keperluan persaraan, tetapi simpanan anda juga akan mendapat manfaat daripada faedah kompaun, membolehkan simpanan anda bertambah dari semasa ke semasa.

Apakah faedah kompaun?

Faedah kompaun mungkin bukan istilah yang selalu dibincangkan dalam kehidupan harian. Ramai yang pernah mendengar konsep ini tetapi tidak tahu cara menggunakannya dalam perancangan kewangan. Menurut OECD/INFE 2023 International Survey of Adult Financial Literacy, hanya 2 daripada 5 rakyat Malaysia dapat memberikan jawapan yang betul mengenai soalan berkaitan faedah kompaun.

Dikenali sebagai "keajaiban kelapan dunia", faedah kompaun ialah satu mekanisme dalam pengurusan kewangan yang boleh membantu meningkatkan simpanan anda. Caranya adalah dengan tidak mengeluarkan pulangan yang dijana, sebaliknya membiarkannya kekal dalam simpanan supaya terus menjana lebih banyak pulangan dalam jangka panjang. Secara ringkasnya, kita boleh katakan kaedah ini sebagai “money makes money”.

Baca juga: Kuasa Belanjawan: Langkah, Kepentingan & Tips

Apakah manfaat faedah kompaun?

Terdapat tiga faktor utama yang memainkan peranan penting dalam memaksimumkan manfaat faedah kompaun: tempoh masa, kadar pulangan (faedah atau dividen), dan jumlah yang disimpan atau dilaburkan.

Antara ketiga-tiga faktor tersebut, tempoh masa memainkan peranan yang paling ketara, terutamanya untuk matlamat jangka panjang seperti simpanan persaraan, kerana ia meningkatkan kesan faedah kompaun ke atas simpanan anda. Bagi menggambarkan bagaimana faktor masa mempengaruhi faedah kompaun, pertimbangkan dua senario berikut:

Ahmad mula menyimpan pada usia 20 tahun dengan jumlah simpanan RM200 setiap bulan. Beliau konsisten menyimpan selama 40 tahun, sehingga umur 60 tahun, tanpa membuat sebarang pengeluaran. Pada usia 60 tahun, Ahmad dapat mengumpul jumlah simpanan lebih kurang RM305,000.

Diana pula hanya mula menyimpan pada usia 40 tahun dengan jumlah simpanan RM400 setiap bulan. Pada usia 60 tahun, beliau hanya berjaya mengumpul lebih kurang RM164,000.

Penafian: Pengiraan menggunakan anggaran kadar faedah sebanyak 5%; simpanan secara konsisten; dan tiada pengeluaran dibuat. Ini hanya untuk tujuan ilustrasi dan pengiraan dividen sebenar adalah berbeza.

Berbanding Diana, Ahmad dapat mengumpul simpanan yang lebih banyak kerana beliau mula menyimpan lebih awal, membolehkan simpanannya berkembang dalam tempoh yang lebih lama. Walaupun Diana menyimpan jumlah yang lebih besar setiap bulan, simpanannya tetap tidak dapat menandingi Ahmad.

Contoh di atas menunjukkan bahawa memulakan simpanan pada usia muda membolehkan anda mengumpul lebih banyak simpanan berbanding hanya mula menyimpan ketika hampir bersara.

3 tip untuk menikmati manfaat faedah kompaun

1) Mula menyimpan pada usia muda
Membiasakan diri dengan tabiat menyimpan sejak awal akan membantu anda mengumpul lebih banyak simpanan. Lebih lama tempoh menyimpan, lebih besar jumlah simpanan yang terkumpul. Agihkan sebahagian pendapatan anda untuk simpanan sebaik sahaja anda mula bekerja.

Tip: Ramai individu hanya mula merancang persaraan mereka pada usia yang agak lewat, menyebabkan tempoh masa untuk membuat persediaan yang menyeluruh menjadi singkat. Mulakan perancangan persaraan anda hari ini. Anda boleh menambah simpanan KWSP dengan cara yang mudah melalui aplikasi KWSP i-Akaun. 

Muat Turun KWSP i-Akaun Sekarang

2) Utamakan simpanan konsisten dalam kewangan anda
Rancang simpanan dan jadikan ia elemen penting dalam pengurusan kewangan anda. Pastikan anda menyimpan secara konsisten dan gunakan arahan pemindahan wang automatik untuk mengelakkan terlepas membuat simpanan. Dengan menyimpan secara konsisten, anda dapat menikmati lebih banyak manfaat daripada faedah kompaun.

Baca juga: 3 Tabiat Perbelanjaan Yang Patut Anda Elak Di Usia Muda

3) Tidak mengeluarkan faedah atau dividen 
Pastikan faedah atau dividen yang diperoleh setiap tahun kekal dalam simpanan dan tidak dikeluarkan agar terus menjana pulangan. Dengan cara ini, pulangan tersebut akan ditambah ke dalam simpanan sedia ada, sekali gus meningkatkan jumlah simpanan anda. Jika perlu membuat pengeluaran, rancanglah dengan teliti supaya baki simpanan masih dapat menjana faedah atau dividen. Pengeluaran secara berperingkat dan terkawal membantu simpanan bertahan lebih lama, manakala pengeluaran awal dalam jumlah besar boleh menyusutkan simpanan dengan cepat.

back chevron

Kesibukan harian bukan alasan untuk tidak merancang kewangan jangka panjang, terutama untuk persaraan. Elakkan bertangguh agar anda tidak terlepas peluang mengumpul lebih banyak simpanan. Mulakan dengan jumlah kecil dan tingkatkan simpanan anda secara beransur-ansur. Dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, anda akan menikmati manfaat kuasa faedah kompaun ke atas simpanan anda.