Kini Semua Boleh Memiliki Rumah Dengan KWSP

Kini Semua Boleh Memiliki Rumah Dengan KWSP
Article Image

Alangkah bahagia hidup ini kalau dapat tinggal di rumah sendiri, hasil titik peluh sendiri setelah penat lelah bekerja. Bayangkan anda bangun pagi, menghirup kopi sambil melihat di luar tingkap rumah, cahaya pagi menerangi ruang rumah.

Memiliki rumah sendiri merupakan salah satu angan-angan yang paling diimpikan oleh setiap orang. Cuba tanya diri anda, sampai bila ingin menyewa?

Ayuh kembali berpijak dibumi yang nyata. Membeli rumah buat kali yang pertama tidak semudah yang disangkakan. Keputusan yang anda lakukan hari ini akan mempengaruhi semua yang berlaku pada masa akan datang. Jadi penting untuk anda fikir sebaiknya sebelum bertindak membeli rumah.

3 faktor yang perlu anda pertimbangkan sebelum membeli rumah pertama

back chevron

Adakah anda sudah bersedia untuk membeli rumah buat kali pertama di Malaysia? Jika ya, ini panduan yang akan menyentuh beberapa langkah penting yang perlu anda nilai supaya anda boleh membuat pertimbangan sebaiknya sebelum memiliki rumah anda sendiri.

 

Langkah 1: Tanya diri anda kenapa ingin memiliki rumah - apa sebab anda?

Adakah anda ingin memiliki sebuah rumah sebagai tempat tinggal ataupun sebagai satu bentuk pelaburan?

Bagaimana pula dengan keadaan kejiranan di kawasan perumahan yang anda inginkan: adakah anda impikan suasana yang tenang dan komuniti kejiranan yang ramah atau sebaliknya?

Apabila anda sudah ada jawapan untuk diri sendiri bagi semua persoalan yang timbul, anda boleh mula mengecilkan pencarian dan fokus pencarian rumah yang  menepati kedudukan kewangan anda. Pendek kata, anda perlu menetapkan objektif untuk memiliki rumah.

Elakkan kesilapan yang kerap dilakukan orang ramai iaitu membeli rumah tanpa perancangan yang betul. Ambil masa untuk memahami dan menetapkan matlamat pemilikan rumah, sedikit sebanyak dapat menjadi panduan di dalam misi memiliki rumah pertama anda.

Anda juga boleh selidik pasaran perumahan di Malaysia secara atas talian, mendapatkan khidmat nasihat daripada ejen hartanah,  pelabur hartanah, pembeli, kawan-kawan, dan ahli keluarga.

 

Langkah 2: Nilai kedudukan kewangan anda 

Penilaian kedudukan kewangan anda merupakan langkah yang penting sebelum mengetahui dengan mendalam proses pembelian rumah. Ini kerana harga untuk membeli hartanah adalah sangat tinggi.

Setelah menetapkan untuk membeli rumah, anda seterusnya perlu memastikan bahawa anda mempunyai simpanan duit yang mencukupi. Ini termasuk duit kecemasan untuk membuat bayaran muka rumah yang ingin dibeli. Jika anda tidak ada simpanan ini, belum tiba lagi masanya untuk anda membeli rumah.

Apabila anda membuat penganggaran jumlah kos yang ingin dibelanjakan untuk sebuah rumah, penting untuk anda menilai kadar bunga yang perlu dibayar, serta perbelanjaan lain seperti insurans perumahan, kos penyelenggaraan, cukai tanah, cukai pintu, dan sebagainya.

Jangan lupa untuk semak skor kredit Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan Credit Tip-Off Service (CTOS) kerana itu merupakan penentu sama ada bank akan meluluskan atau tidak pinjaman perumahan yang ingin anda lakukan. Ini memudahkan bank untuk mengetahui kemampuan anda untuk membuat pembayaran setiap bulan tepat pada masanya.

Bila sudah berjaya menguruskan kewangan anda, baru anda boleh mula mencari rumah yang bersesuaian dengan bajet dan kehendak anda.

 

Langkah 3: Bandingkan harga hartanah

Sebagai pembeli rumah buat kali pertama, menjadi kebiasaan untuk mudah terpengaruh dengan harga-harga rumah yang berpatutan tetapi anda perlu sentiasa bersabar dan tidak membuat keputusan secara terburu-buru apabila mencari rumah.

Untuk membuat keputusan yang bijak, penting untuk anda membuat perbandingan harga rumah untuk memastikan anda mendapat harga yang berbaloi. Jangan sesekali bertindak membeli rumah pertama yang anda minat tanpa mengkaji kedudukan dan membanding nilai hartanah yang sama di laman penjualan hartanah yang lain.

Mempunyai kemahiran untuk tawar-menawar juga satu kelebihan untuk mendapatkan harga yang lebih rendah serta rebat dan insentif rumah yang ingin anda beli. 


Adakah anda sudah bersedia?

back chevron

Memilih untuk memiliki sebuah rumah merupakan satu tanggungjawab yang besar. Jadi, jangan terburu-buru dalam membuat pinjaman perumahan, nilai kedudukan kewangan anda supaya anda mampu membuat bayaran balik pinjaman pada setiap bulan tepat pada masanya dalam tempoh jangka masa yang panjang.

Sekiranya anda seorang warganegara Malaysia atau penduduk tetap yang sedang bekerja, ini berita baik untuk anda! Anda sebenarnya mempunyai simpanan yang dapat merealisasikan impian memiliki rumah pertama.

Betul! Sekiranya anda masih tidak tahu, KWSP memberi peluang kepada anda untuk membuat pengeluaran separa untuk membeli rumah dengan menggunakan baki simpanan Akaun Sejahtera, secara tidak langsung mengurangkan beban untuk membeli rumah pertama anda.

Baca juga: Matlamat Kewangan Yang Perlu Dicapai Sebelum Usia 30 Tahun


6 jenis pengeluaran KWSP untuk rumah

back chevron

Berikut merupakan bentuk pengeluaran perumahan yang ditawarkan oleh KWSP untuk merealisasikan impian pembelian rumah pertama anda:  

 

1. Beli Rumah

Harga hartanah yang melonjak tinggi boleh menjadi halangan untuk anda memiliki rumah. Berita baiknya ialah anda boleh memanfaatkan simpanan Akaun Sejahtera, yang telah berjaya dikumpulkan sepanjang tempoh bekerja untuk membeli rumah.  

Untuk menggunakan simpanan Akaun Sejahtera anda untuk menampung bayaran pendahuluan 10% apabila membeli rumah, anda perlu membayar pendahuluan awal 10% daripada simpanan peribadi anda. Jumlah ini biasanya digunakan sebagai deposit atau bayaran pendahuluan kepada pemaju.   

Perlu ingat bahawa syarat dan kriteria kelayakan mungkin berbeza berdasarkan syarat pinjaman dan kaedah pengiraan yang digunakan. 

Ketahui berapa banyak anda boleh keluarkan untuk pembelian rumah di sini

 

2. Bina Rumah

Membina rumah apabila memiliki sebidang tanah sendiri merupakan satu perjalanan yang menarik kerana anda boleh melihat rumah impian anda dibina. Semua ini akan kekal menjadi kenyataan sekiranya anda memiliki tanah tersebut sama ada dengan nama anda sendiri, nama isteri, atau nama yang telah dinyatakan bersama di dalam geran tanah. 

Untuk maklumat lanjut tentang bagaimana anda boleh membina rumah anda sendiri, klik di sini.   

 

3. Menyelesaikan/ Mengurangkan Baki Pinjaman Perumahan  

Anda mempunyai pilihan sama ada ingin mengurangkan atau menebus semula pinjaman perumahan anda, memberikan kaedah yang terbaik untuk meringankan beban tunggakan pembayaran baki pinjaman dan bayaran balik bulanan. Pengeluaran ini tersedia untuk pembelian hartanah secara individu atau secara bersama pasangan atau ahli keluarga. 

Walau bagaimanapun, pengeluaran ini tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. 

Jika anda ingin kurangkan atau selesaikan baki pinjaman perumahan anda, klik di sini untuk ketahui maklumat lebih lanjut. 

 

4. Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan

Membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan bukanlah satu perkara mudah, terutamanya untuk mereka yang mempunyai komitmen lain. Dalam usaha untuk meringankan beban pemilik rumah, kami telah memperkenalkan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.  

Pengeluaran ini hanya tersedia untuk pembeli individu, dengan syarat anda adalah pembeli dan peminjam. Ia boleh membantu dengan pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan sekurang-kurangnya enam bulan atau sehingga anda memutuskan untuk menghentikan pengeluaran tersebut.  

Klik pautan ini untuk mendapatkan info mengenai pengeluaran ansuran bulanan pinjaman perumahan. 

 

5. Perumahan Fleksibel  

Anda boleh menggunakan simpanan KWSP semasa atau masa depan untuk menguatkan lagi had kelayakan bagi mendapatkan pinjaman perumahan dari institusi kewangan. 

Sebahagian dari simpanan anda di dalam Akaun Sejahtera diketepikan untuk Akaun Pinjaman Perumahan Fleksibel. Semasa penilaian kelayakan pinjaman sedang dilakukan, institusi kewangan akan mengira caruman bulanan KWSP anda sebagai sebahagian dari pendapatan. Semakin tinggi kelayakan pinjaman, semakin tinggi peluang anda untuk mendapatkan rumah idaman anda. 

Berminat dengan pengeluaran perumahan fleksibel? Dapatkan maklumat lebih lanjut di sini

 

6. Perumahan PR1MA  

Anda boleh menggunakan simpanan semasa dan juga simpanan kemudian hari daripada Akaun Sejahtera untuk mendapatkan rumah PR1MA pertama anda. Mulakan dengan mengagihkan caruman masa depan anda untuk mendapatkan rumah baru yang diimpikan.

Ketahui terma dan syarat untuk pengeluaran perumahan PR1MA di sini

Menariknya, jika anda bercita-cita untuk membeli rumah kedua pada masa hadapan, pengeluaran ini tidak terhad kepada pembelian rumah pertama sahaja, malah boleh dibuat untuk mendapatkan rumah kedua anda!  

Tetapi, perlu diingatkan bahawa pengeluaran duit simpanan KWSP untuk ubah suai rumah adalah tidak dibenarkan. 
 


Jadikan impian memiliki rumah pertama anda menjadi kenyataan 

 

Sekiranya anda sudah mempunyai jawapan yang baik untuk setiap langkah diatas, tahniah! Anda sudah bersedia untuk mendapatkan rumah pertama anda.

Jadikan impian untuk memiliki rumah pertama anda satu kenyataan. Jika anda perlukan lebih masa, anda boleh merancang dan menyimpan ke arah merealisasikan rumah impian anda mulai hari ini!