Kita semua pernah mengalaminya – selepas menjalani minggu-minggu yang mencabar, akan ada satu hari dimana kita mempunyai keinginan untuk menghadiahi diri seperti ketenangan dan keselesaan pergi ke spa, atau membeli-belah. Walau bagaimanapun, berbelanja secara berlebihan tanpa kawalan boleh memberikan kesan buruk kepada kesejahteraan kewangan anda.
Anda boleh menikmati ganjaran tersebut hasil daripada usaha anda sendiri, dengan syarat ia tidak membebankan kewangan dalam jangka masa panjang.
Kenapa anda perlu memberikan ganjaran kepada diri sendiri?
Menyimpan dan melaburkan duit anda merupakan kunci masa depan kestabilan kewangan yang baik, namun memberi ganjaran kepada diri sendiri atau self reward adalah tanda penghargaan terhadap diri dan menjadi pendorong untuk lebih bermotivasi, sekaligus menjamin kebahagiaan dan ketenangan.
Terdapat beberapa faedah apabila anda memberi ganjaran kepada diri sendiri, antaranya:
1. Meningkatkan tenaga
Melakukan sesuatu yang mudah seperti mengambil cuti dan melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dengan kerja membantu meningkatkan tenaga anda.
2. Motivasi
Berbelanja untuk diri anda dengan cara menonton wayang atau membeli makanan yang diingini setelah mencapai sesuatu target merupakan salah satu cara yang berkesan untuk kekal fokus dan komitmen.
3. Meningkatkan harga diri
Mengutamakan diri anda sekali sekala bukan sahaja dapat meningkatkan harga diri, malah dapat memberi anda keyakinan untuk mengawal dan membuat keputusan yang lebih baik.
4. Meningkatkan kebahagiaan
Memanjakan diri anda dapat meningkatkan kebahagiaan secara menyeluruh, menjadikan hidup anda lebih bermakna. Pernahkah anda mendengar frasa “hidup hanya sekali” atau YOLO (You Only Live Once)? Ini bermakna, anda sepatutnya menikmati perkara-perkara kecil dalam kehidupan ini sekali-sekala. Tetapi perlu diingatkan untuk mengamalkan perbelanjaan secara sederhana bagi mengelakkan sebarang masalah kewangan di masa hadapan.
Berapakah jumlah yang sepatutnya anda peruntukkan untuk penjagaan diri?
Memperuntukkan jumlah yang terlalu sedikit bermaksud seolah-olah anda tidak mempedulikan penjagaan diri, sementara memperuntukkan jumlah yang berlebihan pula boleh menjejaskan kesejahteraan kewangan anda dan meningkatkan risiko berbelanja berlebihan atau berhutang. Anda pasti pernah mendengar kaedah asas penyusunan bajet, iaitu memperuntukkan 45% untuk keperluan, 35% untuk komitmen, dan 20% untuk simpanan.
Bercakap tentang penjagaan diri, cuba hadkan kepada 5% daripada jumlah simpanan anda. Penting untuk anda memastikan bahawa rutin penjagaan diri anda tidak memberikan kesan negatif terhadap kewangan anda. Tetapkan bajet secara realistik tentang berapa jumlah yang boleh dibelanjakan setiap bulan.
Merancang perbelanjaan mengikut jumlah pendapatan yang diterima atau merangka bajet dan mengikuti bajet yang ditetapkan bukan sahaja memberi pendedahan yang baik tentang bajet yang sesuai untuk perbelanjaan peribadi seperti ganjaran terhadap diri sendiri, malahan membolehkan anda menjejak perbelanjaan bulanan anda secara teliti. Hal ini membolehkan anda memberikan ganjaran kepada diri sendiri secara berkala tanpa membebankan kewangan anda.
Untuk solusi bajet yang efisien, aplikasi Belanjawanku daripada KWSP dapat membantu anda untuk mengkategori dan memantau perbelanjaan bulanan dan tahunan serta menjadi panduan untuk pengurusan kewangan secara menyeluruh dan terbaik.
Anda mempunyai pilihan sama ada menggunakan anggaran yang dianjurkan oleh panduan Belanjawanku atau Kaedah Asas Simpanan, bergantung kepada keselesaan dan memberikan pemahaman yang jelas berkenaan kedudukan kewangan anda.
Kuncinya adalah memastikan bahawa penjagaan diri anda tidak menjejaskan tanggungjawab kewangan yang lain dan perancangan kewangan jangka panjang. Selagi anda mempunyai dana kecemasan, membuat simpanan hari tua, membayar segala keperluan seperti sewa, utiliti dan bayaran hutang, selebihnya boleh digunakan untuk kegunaan penjagaan diri.
Tahukah anda, memberi ganjaran kepada diri anda tidak semestinya memerlukan duit?
Walaupun anda kekurangan duit, tidak mustahil untuk anda memberikan ganjaran kepada diri sendiri. Berikut adalah beberapa cara untuk anda memanjakan diri tanpa memerlukan perbelanjaan yang tinggi.
Manfaatkan tawaran ganjaran
Ini termasuk penggunaan sistem pulangan tunai diatas setiap pembelian, mendapat diskaun ekslusif ahli di kedai kegemaran anda, atau menggunakan perkhidmatan percuma yang disediakan di platform tertentu.
Cari hiburan percuma
Bersantai di rumah dengan menikmati mandian buih ditemani haruman lilin wangi dan muzik, mewujudkan suasana mewah yang menyenangkan boleh memberikan ketenangan di dalam keselesaan rumah anda sendiri.
Fokus pada keseronokan
Dengan menanamkan perasaan kepuasan dan ketenangan dalam perkara-perkara kecil seperti membaca buku kegemaran anda sambil menikmati segelas teh, atau berjalan di taman, anda dapat menghargai saat-saat indah tanpa sebarang bentuk tekanan kewangan.
Mengetahui bila perlunya berbelanja untuk memanjakan diri anda adalah penting untuk memastikan kesihatan dan kebahagiaan, sambil menjaga kewangan anda. Erti kata lain, mencapai kebebasan kewangan mungkin satu bentuk penjagaan diri yang utama.