Menguruskan kewangan dalam ekonomi masa kini boleh menjadi mencabar, terutamanya dengan pendapatan bulanan yang hanya mencukupi untuk menampung keperluan asas. Tekanan kewangan ini menyukarkan membuat simpanan dan melambatkan kemajuan kewangan secara keseluruhan. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh anda ambil untuk mengatasi situasi ini:
1) Menilai semula tabiat berbelanja anda
Dalam suasana kenaikan harga yang mendadak pada masa kini, mengawal dan memantau perbelanjaan menjadi keutamaan. Adalah sangat penting untuk mengkaji semula tabiat berbelanja anda dengan teliti serta mematuhi bajet bulanan yang telah ditetapkan. Langkah ini membolehkan anda mengenal pasti ruang penjimatan dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu terutamanya untuk aktiviti yang kurang penting seperti makan di luar, hiburan, dan pembelian secara impuls.
Untuk membantu anda merancang dan memantau perbelanjaan dengan lebih baik, kami mencadangkan penggunaan aplikasi Belanjawanku. Aplikasi ini memudahkan anda memantau perbelanjaan bulanan dan tahunan anda dengan lebih efisien, serta memberikan panduan yang berguna untuk pengurusan kewangan. Muat turun melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei App Gallery.
2) Membina dana kecemasan
Apabila anda merancang simpanan untuk kecemasan, langkah pertama adalah memastikan simpanan tersebut mencukupi untuk menampung perbelanjaan anda selama tiga hingga enam bulan. Ini penting kerana ia dapat mengelakkan anda daripada menggunakan dana persaraan atau pelaburan lain ketika kecemasan berlaku. Selain itu, dengan meletakkan dana kecemasan dalam akaun simpanan yang memberikan pulangan yang tinggi, anda dapat memaksimumkan faedah atau hibah yang diperoleh serta mengurangkan impak negatif inflasi terhadap nilai dana anda.
3) Tingkatkan simpanan anda
Tingkatkan kadar simpanan anda sebagai perlindungan daripada kenaikan kos yang meningkat. Selain itu, pelbagaikan simpanan anda ke dalam pelaburan yang memberi pulangan tinggi melebihi kadar inflasi. Ini membantu memastikan nilai simpanan anda tidak menyusut akibat inflasi, membolehkan wang anda terus berfungsi dengan efektif bagi anda.
Baca juga: Tingkatkan Simpanan Anda Dengan Akaun KWSP
4) Semak semula pelan persaraan anda
Walaupun simpanan harian mungkin menjadi fokus utama anda sekarang, jangan abaikan simpanan persaraan anda. Jika anda masih ada beberapa tahun lagi sebelum bersara, penting untuk menilai semula pelan anda bagi memastikan ia mengambil kira kesan inflasi jangka panjang.
Alat seperti kalkulator persaraan dalam aplikasi KWSP i-Akaun dapat membantu anda merancang keperluan dan simpanan masa depan, sambil mengambil kira kesan inflasi. Kalkulator ini memberikan anggaran jumlah simpanan anda, perbelanjaan yang mungkin diperlukan semasa persaraan, dan baki wang yang dijangka pada akhir setiap tahun.
Jika potongan bulanan wajib KWSP anda tidak mencukupi untuk mencapai matlamat simpanan persaraan yang diinginkan, anda boleh memilih membuat caruman tambahan secara sukarela, bermula dari RM10, sehingga maksimum RM100,000 setahun.
Terokai lebih lanjut tentang Caruman Sukarela
Anda juga boleh memilih untuk mengautomasikan caruman tambahan anda secara sukarela melalui Mencarum Melebihi Kadar Berkanun Yang Ditetapkan (VE). Dengan cara ini, sebahagian besar daripada pendapatan anda akan disimpan secara automatik ke dalam akaun KWSP setiap bulan sehingga anda membatalkan permohonan.
Klik sini untuk maklumat lanjut tentang Mencarum Melebihi Kadar Berkanun Yang Ditetapkan (VE)
Walaupun sukar untuk meramalkan berapa lama tempoh inflasi tinggi akan berlarutan, meningkatkan pengetahuan dan merancang kewangan dengan baik dapat membantu anda bersedia menghadapi kesan jangka panjang terhadap kewangan dan gaya hidup anda.