“Alamak, gaji masuk minggu depan, tapi duit dah habis. Macam mana nak bayar bil elektrik minggu ini?" Aina mengeluh sambil memeriksa baki akaun banknya.
“Bulan ni terpaksa guna kad kredit lagi untuk beli barang dapur," balas suaminya, Amir, yang turut bimbang dengan keadaan kewangan mereka.
Setiap bulan, mereka menghadapi masalah yang sama - terpaksa menunggu gaji seterusnya untuk meneruskan kehidupan. Situasi ini menggambarkan realiti sebenar hidup cukup-cukup makan, di mana setiap pendapatan habis dibelanjakan sebelum bulan berakhir, tanpa ada simpanan kewangan.
Ini boleh menyebabkan tekanan kewangan yang berterusan dan menghalang pencapaian matlamat kewangan jangka panjang.
Faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini termasuk perbelanjaan yang lebih tinggi daripada pendapatan, kurangnya perancangan kewangan, dan tidak mempunyai tabiat menabung.
Contohnya, golongan muda yang baru memulakan kerjaya sering kali teruja dengan pendapatan bulanan mereka. Mereka cenderung untuk berbelanja tanpa perancangan, terutama untuk memenuhi keinginan seperti makan di luar, membeli pakaian baru, atau gadget terkini.
Bagaimana untuk mengetahui anda sedang hidup cukup-cukup makan?
Bagaimana untuk berhenti hidup cukup-cukup makan?
1) Buat bajet bulanan dan urus kewangan anda
Mulakan dengan mencatat semua pendapatan dan perbelanjaan anda. Tetapkan bajet bulanan yang realistik dan patuhi bajet tersebut. Ini membantu anda mengetahui ke mana duit anda dibelanjakan sekaligus membantu menguruskan duit gaji yang diperolehi.
2)Utamakan pembayaran dan simpanan
Pastikan anda membayar bil dan keperluan asas terlebih dahulu sebelum berbelanja untuk kehendak. Tetapkan matlamat untuk menabung sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan bulanan anda. Buka akaun simpanan kecemasan dan masukkan simpanan secara automatik setiap bulan.
3) Kurangkan perbelanjaan tidak penting
Kenal pasti perbelanjaan yang boleh dikurangkan atau dielakkan, seperti langganan hiburan yang tidak diperlukan, aktiviti makan di luar, dan pembelian impulsif. Dengan mengurangkan perbelanjaan ini, anda boleh menyalurkan lebih banyak duit ke dalam simpanan dan pelaburan.
Baca juga: Menyimpan Dengan Bijak: Lindungi Masa Depan Anda Dengan KWSP
4) Hapuskan Hutang
Fokus untuk melangsaikan hutang, terutamanya hutang dengan faedah tinggi seperti kad kredit. Buat pelan pembayaran hutang dan disiplinkan diri untuk mengikuti pelan tersebut dalam tempoh membayar hutang.
5) Tambah pendapatan dan mula melabur
Cari peluang untuk menambah pendapatan, sama ada dengan bekerja lebih masa, melakukan kerja sambilan, atau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.
Untuk keluar dari kitaran hidup cukup-cukup makan, disiplin dan perancangan kewangan yang rapi amat diperlukan. Dengan mengikuti panduan ini, anda boleh mula mengubah cara pengurusan kewangan dan mencapai matlamat kewangan jangka panjang anda.