Hidup ini penuh dengan kejutan. Walaupun kita tidak dapat meramalkan bila kita akan menghadapi situasi yang tidak dijangka, namun kita boleh membuat persediaan dalam menghadapinya dengan cara menyediakan tabung kecemasan.
Cuba bayangkan: anda mengalami kecederaan apabila bersukan, kereta anda rosak, atau anda kehilangan pekerjaan. Dengan adanya tabung kecemasan, anda tidak perlu risau untuk memikirkan cara untuk membayar segala bentuk hutang.
Walaupun sudah tiga tahun berlalu, wabak Covid-19 telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada semua pihak dan memberi kesedaran bahawa simpanan bukanlah semata-mata satu kemewahan, tetapi satu keperluan asas. Krisis global yang belum pernah berlaku sebelum ini telah mengajar kita bahawa simpanan berperanan sebagai satu talian hayat yang penting apabila berlaku situasi kecemasan yang tidak dijangka.
Sama ada anda kehilangan pekerjaan, dibebani kos perubatan yang tinggi, atau sebarang bentuk kecemasan, simpanan yang kukuh akan menjadi sumber sokongan utama untuk menghadapi situasi-situasi sebegini.
Tabung Kecemasan: Kenapa Anda Perlukannya?
Apa itu tabung kecemasan?
Tabung kecemasan atau tabung kecemasan, merupakan simpanan yang khusus disediakan untuk kegunaan dalam situasi kecemasan yang mendesak. Sebagai contoh, membayar sewa rumah ketika atau membayar bil perubatan yang tinggi saat anda hilang pekerjaan.
Anda perlu memahami betapa pentingnya tabung kecemasan dan juga ketika bila simpanan tersebut perlu digunakan supaya anda tidak tersilap langkah. Gunakan tabung kecemasan anda dalam situasi yang benar-benar mendesak dan jika ada, cuba cari cara lain untuk anda elakkan dari menggunakan simpanan tersebut.
Mengapa anda perlu ada tabung kecemasan?
Situasi kecemasan boleh berlaku dalam beberapa bentuk contohnya secara fizikal atau mental. Keadaan ini bertambah buruk sekiranya anda juga sedang menghadapi masalah kewangan. Berikut merupakan 3 kelebihan mengapa anda perlukan tabung kecemasan:
1. Anda lebih bersedia
Tidak dinafikan bahawa penyediaan bajet dapat membantu dalam pengurusan perbelanjaan. Anda seolah-olah sudah meletakkan diri anda selangkah ke hadapan untuk menghadapi sebarang situasi yang tidak dijangka. Ini bukan sekadar memberikan jaminan kewangan, tetapi juga membantu anda mencapai matlamat kewangan jangka panjang yang lebih kukuh.
2. Anda boleh jimatkan duit
Tabung kecemasan memastikan anda dapat menguruskan perbelanjaan yang tidak dijangka tanpa perlu mengganggu matlamat kewangan anda. Ia membolehkan anda melindungi matlamat kewangan jangka panjang anda tanpa perlu bergantung pada kad kredit atau meminjam duit. Dengan cara ini, anda boleh menjimatkan duit kecemasan anda dan membina asas kewangan yang kukuh tanpa menambah beban hutang.
3. Anda berasa lebih tenang
Dengan menjaga kestabilan kewangan anda melalui tabung kecemasan, anda akan lebih yakin menghadapi cabaran yang mendatang tanpa perlu bimbang dan khuatir.
Walaupun kita tidak dapat menjangkakan situasi kecemasan yang akan datang, kita tetap boleh bersedia. Membina tabung kecemasan adalah tindakan yang ideal untuk menghadapi kemungkinan berlakunya situasi yang memerlukan penggunaan duit secara mendadak.
Cara untuk bina tabung kecemasan
Anda sudah bersedia untuk membina tabung kecemasan (atau menyedari bahawa anda perlu menyimpan lebih banyak)? Sekiranya anda sudah bersedia tetapi tidah tahu bagaimana untuk mula menyimpan, berikut adalah lima langkah yang boleh anda ikuti:
1. Tetapkan matlamat dengan jelas
Anda boleh mula dengan menetapkan matlamat yang jelas untuk tabung kecemasan anda.
Tentukan jumlah yang ingin disimpan, kebiasaannya akan sejajar dengan perbelanjaan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan tetapi jumlah yang ideal bergantung pada keadaan individu dan tahap keselesaan anda.
2. Tetapkan bajet
Langkah penting yang seterusnya adalah untuk merekodkan pendapatan dan perbelanjaan bulanan anda. Proses ini bukan sahaja memberi gambaran jelas kedudukan kewangan anda tetapi dapat menentukan perbelanjaan apa yang boleh dikurangkan. Dengan ini, anda boleh menambahkan lagi simpanan yang akan dimasukkan ke dalam tabung kecemasan.
Perkenalkan Belanjawanku, sebuah aplikasi oleh KWSP yang boleh membantu merancang kewangan mengikut peringkat hidup dan kesesuaian perbelanjaan anda. Aplikasi ini dapat memudahkan urusan dengan menyusun atur serta memantau perbelanjaan bulanan dan tahunan anda.
Dengan aplikasi Belanjawanku ini, anda mempunyai fleksibiliti untuk memilih kaedah penjejakan perbelanjaan iaitu sama ada menggunakan anggaran daripada panduan Belanjawanku atau kaedah Rule of Thumb iaitu kaedah 45/35/20. Dengan menggunakan salah satu kaedah ini, perbandingan perbelanjaan bersama bajet yang dicadangkan dapat dilakukan untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas berkenaan kedudukan kewangan anda.
Melalui aplikasi ini juga anda boleh menetapkan berapa jumlah simpanan tabung kecemasan yang boleh diketepikan dengan lebih jelas.
Aplikasi ini tersedia untuk dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store dan Huawei App Gallery.
3. Membuka akaun simpanan khas
Anda dinasihatkan untuk membuka akaun simpanan yang khusus untuk simpanan kecemasan. Ini dapat memudahkan anda mengenal pasti simpanan yang diperuntukkan untuk kecemasan dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya.
4. Memindah duit secara automatik
Aktifkan fungsi pemindahan secara automatik daripada akaun utama ke akaun simpanan tabung kecemasan anda. Anggap pemindahan tersebut seperti potongan bil bulanan yang sentiasa dilakukan demi memastikan simpanan yang konsisten setiap bulan.
5. Mula dengan nilai yang rendah, kemudian naikkan lagi
Menyimpan dengan nilai yang tinggi pada mulanya memang mencabar. Oleh itu, mulakan dengan menyimpan dengan jumlah yang sedikit kemudian secara beransur meningkatkan jumlah simpanan mengikut keselesaan dan kedudukan kewangan anda. Anda boleh mencapai jumlah simpanan yang tinggi dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan menyelaraskan bajet bulanan secara berkala.
Pepatah melayu pernah mengatakan, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Tabiat menabung walaupun dalam jumlah yang sedikit tetapi berterusan akan menjadikan simpanan bertambah dan membolehkan anda mencapai matlamat anda.
Bagaimana jika tabung kecemasan tidak mencukupi?
Anda sebenarnya boleh mengeluarkan simpanan Akaun Sejahtera anda untuk membuat Pengeluaran Kesihatan, yang meliputi pelbagai jenis rawatan penyakit kritikal atau peralatan penjagaan kesihatan yang penting. Ia bertujuan untuk memberikan bantuan sokongan kepada anda, pasangan, ibu bapa dan anak-anak anda ketika menghadapi kesukaran dari sudut perubatan.
KWSP juga menawarkan Pelan Perlindungan Ahli melalui platform i-Lindung. Pelan ini dapat membantu memberikan kesejahteraan kewangan serta ketenangan fikiran untuk keperluan perubatan anda. Anda boleh memilih perlindungan insurans hayat yang berpatutan dan/ atau perlindungan penyakit kritikal, dengan bayaran secara tahunan melalui Akaun Sejahtera anda. Tambahan lagi, anda juga boleh membuat pilihan daripada pelbagai penyedia insurans untuk memenuhi keperluan perubatan anda.
Jadi, walaupun tabung kecemasan anda tidak mencukupi, pilihan ini tersedia bagi anda pada saat-saat yang tidak dapat dijangka.