Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Merancang Persaraan

4 Kesilapan Yang Perlu Dielakkan Semasa Merancang Persaraan
Article Image

Persaraan — suatu istilah yang membangkitkan impian semua orang, sama ada sebagai peluang baharu atau mungkin menjadi punca kebimbangan bagi kebanyakan orang. Di Malaysia, konsep persaraan berubah seiring dengan peningkatan jangka hayat, perubahan landskap ekonomi, serta gaya hidup individu.

Mencapai simpanan persaraan yang mencukupi bukanlah perkara yang mudah. Kebanyakan daripada kita memerlukan beberapa dekad untuk menyimpan, merancang belanjawan dan bekerja keras untuk meningkatkan pendapatan agar tabung persaraan mencukupi. 

Walaupun ramai sedar akan kepentingan simpanan persaraan, masih ramai yang membuat kesilapan yang akhirnya menjejaskan kewangan mereka pada masa depan. Dengan perancangan yang betul, anda boleh mengelakkan empat kesilapan berikut semasa merancang persaraan:

Bertangguh menyimpan

back chevron

Sikap bertangguh dalam merancang persaraan sering berlaku kerana ramai yang merasakan persaraan masih terlalu jauh di hadapan. Memulakan penyimpanan lebih awal dapat memastikan simpanan anda berkembang dengan optimum. Setiap ringgit yang anda simpan hari ini mempunyai potensi untuk berkembang dengan lebih banyak pada masa depan. Semakin lama anda menyimpan, semakin besar simpanan persaraan anda akan berkembang.

Tip: Mulakan menyimpan sebaik sahaja anda mendapat pendapatan tetap atau pekerjaan yang stabil. Jumlah simpanan bergantung kepada saiz pendapatan anda, dan anda yang menentukannya.

Salah satu panduan yang berguna adalah dengan menggunakan kaedah 45/35/20, iaitu pengasingan 45% daripada pendapatan untuk keperluan, 35% untuk komitmen, dan 20% untuk simpanan. 


Mengambil mudah kos sebenar semasa persaraan

back chevron

Kesilapan lain adalah mengambil mudah terhadap kos kehidupan yang selesa semasa persaraan. Perbelanjaan seperti perubatan, aktiviti masa lapang, dan lain-lain sering diabaikan, yang boleh menimbulkan tekanan kewangan. Oleh itu, adalah penting untuk mempertimbangkan faktor inflasi dan kos rawatan kesihatan semasa merancang bajet persaraan anda.

Tip: Buat bajet terperinci yang merangkumi semua jangkaan perbelanjaan; semak dan selaraskan bajet jika perlu.
Gunakan Kalkulator Persaraan yang disediakan dalam aplikasi KWSP i-Akaun untuk menganggarkan simpanan persaraan yang diperlukan dan mendapatkan gambaran kewangan yang lebih jelas. Anda juga boleh memanfaatkan aplikasi Belanjawanku untuk merancang bajet dan menilai perbelanjaan sebenar yang diperlukan semasa bersara kelak. 

Bergantung kepada satu sumber sahaja

back chevron

Hanya bergantung kepada KWSP sebagai sumber simpanan persaraan adalah kesilapan biasa, walaupun KWSP biasanya memberikan pulangan sekitar 5% setahun. Adalah penting untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada KWSP. Terdapat pelbagai sumber simpanan lain yang boleh anda terokai yang mungkin sejajar dengan objektif pelaburan, jangka masa, dan toleransi risiko anda, serta menawarkan pulangan yang sama atau lebih baik.

Mempelbagaikan pelaburan dalam pelbagai jenis aset kewangan seperti saham, bon, hartanah, emas, dan lain-lain adalah langkah bijak dan penting untuk memastikan pertumbuhan pelaburan anda dan persediaan masa depan.

Tip: Sesuaikan pendekatan menyimpan dan melabur dengan perubahan tahap penerimaan risiko dan komitmen kewangan anda dari usia 20-an hingga 40-an.

Berundinglah dengan penasihat kewangan untuk merangka strategi pelaburan yang pelbagai dan sesuai dengan tahap penerimaan risiko dan matlamat persaraan anda. Perkhidmatan Relationship Advisory (RA) KWSP juga boleh memberikan sokongan yang amat berguna dalam hal ini. 

Tiada pelan alternatif

back chevron

Kehidupan penuh dengan ketidakpastian; anda mungkin telah merancang kehidupan anda dengan baik, tetapi akan ada situasi yang tidak dijangka berlaku yang boleh mempengaruhi matlamat kewangan anda. Ketika merancang untuk masa tua, penting untuk menyediakan pelan alternatif bagi menampung segala kos yang tidak dijangka seperti kecemasan, perubatan, penyelenggaraan rumah atau kemungkinan kemerosotan ekonomi. Kegagalan untuk merancang akan menyebabkan anda terpaksa menggunakan simpanan persaraan bagi menampung perbelanjaan yang tidak dijangka pada masa depan.

Tip: Sediakan tabung kecemasan secara berasingan daripada simpanan persaraan bagi menampung perbelanjaan yang tidak dijangka. Dengan mengasingkan sebahagian daripada pendapatan, anda boleh membina jaminan keselamatan terhadap simpanan persaraan anda daripada penggunaan yang tidak dirancang. Selain itu, manfaatkan perkhidmatan insurans untuk perlindungan peribadi tambahan seperti masalah kesihatan dan kerosakan harta benda.

Perancangan persaraan bukan sekadar menyimpan wang, tetapi ia juga melibatkan membuat keputusan yang bijak dan persediaan untuk masa depan. Dengan mengelakkan kesilapan ini, anda boleh bersara dengan yakin dan selesa kerana mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi.

Ingatlah, setiap keputusan yang anda buat hari ini akan membentuk masa depan anda. Ambil langkah yang proaktif untuk merancang pelan persaraan yang selaras dengan aspirasi hidup anda dan melindungi kesejahteraan kewangan pada masa akan datang.