Tarikh: 15 Mei 2024
Konsortium Diterajui Khazanah Dan KWSP Umum Tawaran Bersyarat Bagi MAHB
  • Kepentingan gabungan Khazanah dan KWSP dalam MAHB meningkat ke 70%

  • Kerajaan Malaysia mengekalkan pemilikan saham khas dalam MAHB Konsortium berhasrat untuk menetapkan MAHB di landasan pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan melalui inisiatif-inisiatif yang akan menambah baik pengalaman penumpang dan meningkatkan keterhubungan syarikat penerbangan

  • Konsortium akan melindungi hak sedia ada kakitangan MAHB dan tidak ada sebarang perancangan pemberhentian kakitangan

  • Harga Tawaran sebanyak RM11.00 mewakili premium pada kadar 15.2% berbanding harga purata berwajaran volum bagi tempoh tiga bulan terakhir (“3-Month VWAP”) RM9.55 setiap saham dan merupakan peningkatan sejak awal tahun (“YTD”) sebanyak 49.5%, berbanding 10.4% prestasi YTD indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI

 

 KUALA LUMPUR, 15 MEI 2024 – Gateway Development Alliance dan para pemegang sahamnya (secara bersama dikenali sebagai “Konsortium”) telah mengumumkan tawaran sukarela prasyarat bagi mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad ("MAHB") yang belum dimiliki oleh Konsortium berkenaan, pada harga Tawaran sebanyak RM11.00 bagi setiap saham (“Tawaran”). Sehingga 14 Mei 2024, yang merupakan tarikh terakhir yang boleh dilaksanakan sebelum pengumuman ini, Konsortium dan syarikat induk masing-masing, secara agregat memiliki 41.1% saham MAHB yang diterbitkan. 

Konsortium ini diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (“UEMG”), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”). Pemegang saham Konsortium ini juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (“ADIA”) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (“GIP”), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka sedunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang. 

Apabila Tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2% kepada 40%, manakala KWSP daripada 7.9% kepada 30%. Secara kolektif, para pelabur Malaysia akan memiliki 70% saham MAHB. ADIA dan GIP akan memiliki baki 30% saham. Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan warga Malaysia. 

Konsortium berhasrat untuk menetapkan MAHB di landasan pertumbuhan jangka masa panjang yang mampan. Dengan memfokuskan kepada penyelenggaraan dan menaik taraf infrastuktur lapangan terbang, meningkatkan tahap perkhidmatan penumpang dan menambah baik keterhubungan syarikat penerbangan, ia akan menyokong pertumbuhan penumpang dan kargo udara. Ini secara langsung akan memberikan manfaat ekonomi yang mampan bukan sahaja buat MAHB dan pihak berkepentingannya, tetapi juga bagi sektor-sektor perindustrian dan pelancongan di Malaysia dan Türkiye. 

Konsortium percaya bahawa cara terbaik untuk mencapai objektif ini adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan modal yang dibuat, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa. Konsortium percaya dengan potensi yang dimiliki MAHB dan komited untuk: 

  • Menyokong MAHB dalam pelaksaan projek-projek modal keutamaan tinggi, termasuklah Aerotrain dan Sistem Pengurusan Bagasi di KLIA; 
  • Meningkatkan pengalaman penumpang dengan menangani kesesakan, menambah baik aliran penumpang dan suasana persekitaran terminal, serta meluaskan tawaran kedai makanan, minuman dan peruncitan di lapangan terbang MAHB; 
  • Bekerjasama rapat untuk menyokong syarikat penerbangan sedia ada dan mengukuhkan sumber pengurusan bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan baharu, terutamanya dalam segmen penerbangan jarak jauh; 
  • Mengekalkan tahap keselamatan tertinggi buat penumpang dan kakitangan; 
  • Mempercepatkan pelaburan modal bagi membaiki serta menyelenggara infrastruktur dan peralatan sedia ada; 
  • Menambah baik dan menyeragamkan piawaian perkhidmatan operasi di semua lapangan terbang negeri di bawah MAHB; 
  • Merancang pelaburan jangka masa panjang untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang di seluruh rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia dan Türkiye; 
  • Bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan syarikat tempatan untuk membangunkan perniagaan sampingan di sekitar kawasan lapangan terbang. 

Konsortium yakin pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini akan menyokong usaha MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia dan komited untuk bekerjasama dengan pengurusan MAHB dan kakitangan syarikat dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berkenaan. 

Konsortium juga mengesahkan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja berikutan daripada Tawaran ini dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi. Dalam masa yang sama, tiada perubahan akan dibuat ke atas kadar caj perkhidmatan penumpang yang diumumkan MAVCOM pada 12 Mac 2024. 

Konsortium komited untuk terus menguruskan operasi lapangan terbang MAHB dan meningkatkan tahap perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul, Türkiye. 

Tawaran rasmi ke atas MAHB adalah tertakluk kepada beberapa pra-syarat tertentu dan apabila dilaksanakan, akan tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 90% modal saham diterbitkan MAHB oleh Konsortium. 

Seandainya syarat-syarat ini dipenuhi, saham MAHB dijangka akan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia apabila Tawaran ini selesai, yang dijangka akan berlaku dalam suku keempat tahun ini. 

Harga Tawaran sebanyak RM11.00 ini mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion, yang menandakan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7x bagi pendapatan setiap saham yang dikonsolidasikan yang diaudit MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. Tawaran ini juga mewakili premium pada kadar 15.2% berbanding harga purata berwajaran volum bagi tempoh tiga bulan terakhir (“3-Month VWAP”) sebanyak RM9.55 setiap saham dan merupakan peningkatan sejak awal tahun (“YTD”) sebanyak 49.5%, berdasarkan harga penutup RM7.36 setiap saham pada 29 Disember 2023, berbanding 10.4% prestasi YTD indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI sehingga tarikh terakhir sebelum Tawaran ini diumumkan. 

Sekiranya, sama ada pada atau selepas tarikh pengumuman ini dan sebelum Tawaran ini diselesaikan, terdapat sebarang dividen, pengagihan atau pulangan nilai lain diumumkan, dibuat atau dibayar oleh MAHB, harga Tawaran ini akan dikurangkan sewajarnya. Dalam situasi sedemikian, para pemegang saham MAHB berhak untuk menyimpan sebarang dividen, pengagihan atau sebarang pulangan nilai yang telah diumumkan, dibuat atau dibayar. 

Mengulas pengumuman tersebut, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah berkata: “Malaysia berada di kedudukan yang strategik dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara yang berkembang pesat dan mempunyai potensi untuk memperkasakan rangkaian jarak jauh dan serantaunya. Kami optimis bahawa usaha bersama kakitangan MAHB yang berdedikasi dan kepakaran bersama yang dibawa oleh Konsortium dapat menjadi pemangkin buat MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang antarabangsa terkemuka dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi rangkaian lapangan terbangnya, selari dengan aspirasi Khazanah untuk Memajukan Malaysia.” 

Ahmad Zulqarnain Onn, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, pula berkata: “KWSP melihat Tawaran ini sebagai satu peluang pelaburan yang selari dengan objektif pelaburan serta komitmen kami untuk meningkatkan pelaburan tempatan. Sebagai komponen utama infrastruktur negara, MAHB berperanan penting sebagai pintu masuk bagi perdagangan, pelancongan dan aktiviti perniagaan, sekaligus menyumbang secara signifikan kepada pembangunan dan kemakmuran ekonomi. Kami mengharapkan kejayaan perkongsian strategik ini dapat memberikan pengalaman ‘best-in-class’ di lapangan terbang untuk orang awam, rakan kongsi syarikat penerbangan serta kakitangan MAHB. Kami menjangka pelaburan ini akan membawa manfaat positif kepada pencarum KWSP dan masyarakat umum, justeru menjayakan agenda pertumbuhan mampan Malaysia.” 

Khadem Alremeithi, Pengarah Eksekutif Bahagian Infrastruktur ADIA, berkata: “Rangkaian lapangan terbang MAHB melayani beberapa pasaran penerbangan antarabangsa yang berkembang pesat, yang menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serantau, kos perjalanan udara yang lebih berpatutan dan perubahan corak perbelanjaan pengguna. Perkembangan positif ini mendorong penyertaan kami ke dalam Konsortium ini yang menggabungkan rakan kongsi tempatan terkemuka dengan kepakaran antarabangsa.” 

Bayo Ogunlesi, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GIP, berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan Khazanah, KWSP dan ADIA yang mempunyai hubungan strategik yang kukuh dan produktif dengan kami, bagi Tawaran ke atas MAHB ini. Bersandarkan kepada kepakaran mendalam GIP dalam memiliki serta menguruskan lapangan terbang, kami bersama rakan kongsi tersebut akan memberi tumpuan kepada menambah baik perkhidmatan pelanggan, meningkatkan kecemerlangan dalam operasi, pertumbuhkan jumlah penumpang dan mengukuhkan hubungan dengan kakitangan. Kami komited untuk berkerjasama dengan rakan kongsi kami bagi membangunkan masa hadapan yang lebih cerah untuk Malaysia, MAHB dan semua pihak berkepentingan. 

 

Notis Penting 

Dokumen ini merupakan terjemahan daripada kenyataan media asal dalam Bahasa Inggeris. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan mahupun ketidakselarasan antara dokumen ini dan kenyataan asal, sila rujuk kepada kenyataan media asal dalam Bahasa Inggeris. 

Kenyataan media ini perlu dibaca bersama dengan Pengumuman Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Sukarela Pra-Syarat yang dikeluarkan oleh AmInvestment Bank Berhad bagi pihak Gateway Development Alliance Sdn. Bhd., Pantai Panorama Sdn Bhd, Kwasa Aktif Sdn Bhd dan GIP Aurea Pte Ltd (secara kolektif dikenali sebagai “Penawar Bersama”) bertarikh 15 Mei 2024 (“Pre-Conditional Offer Announcement”), seperti diumumkan oleh MAHB kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada hari yang sama. 

Tawaran rasmi, termasuk notis dan pengumuman hasrat Tawaran rasmi, seperti tertakluk di bawah Perenggan 9.10 dalam Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pemerolehan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”), tidak akan dilaksanakan melainkan dan sehingga semua pra-syarat yang terkandung di bawah Pengumuman Tawaran Pra-Syarat (“Pra-Syarat”) telah dipenuhi (tanpa sebarang syarat atau melibatkan syarat yang munasabah kepada Penawar Bersama) dan/atau telah diketepikan oleh Penawar Bersama pada atau sebelum 15 November 2024 (atau mana-mana tarikh yang ditentukan oleh Penawar Bersama selepas dibincangkan dengan SC). 

Oleh yang demikian, para pemegang saham MAHB perlu diingatkan bahawa tiada jaminan bahawa Pra-Syarat akan dipenuhi dan/atau Tawaran rasmi akan dibuat pada akhirnya. Para pemegang saham dinasihatkan supaya berhati-hati dan mendapatkan nasihat bebas yang sewajarnya dalam sebarang urus niaga melibatkan saham MAHB. 

Mengenai Khazanah Nasional Berhad

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”) merupakan dana kekayaan berdaulat Malaysia, dengan nilai aset yang boleh direalisasikan lebih daripada RM120 bilion. Khazanah melabur di semua peringkat ekonomi Malaysia dan memainkan peranan sebagai pemegang saham aktif dalam pelbagai aset infrastruktur dan penerbangan Malaysia. 

Selain daripada menghasilkan pulangan yang mampan, Khazanah memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, digerakkan oleh strateginya untuk Memajukan Malaysia. 

UEM Group Berhad (anak syarikat milik penuh Khazanah) memiliki 100% ekuiti dalam Pantai Panorama Sdn Bhd, salah satu Penawar Bersama. 

 

Mengenai KWSP

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (“KWSP”) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara. 

KWSP memiliki 100% ekuiti dalam Kwasa Aktif Sdn Bhd, salah satu Penawar Bersama. 

 

Mengenai Abu Dhabi Investment Authority (ADIA)

Ditubuhkan pada 1976, Abu Dhabi Investment Authority (“ADIA”) merupakan institusi pelaburan melibatkan pelbagai pelaburan di peringkat global yang melabur secara berhemah bagi Kerajaan Abu Dhabi menerusi strategi yang menumpukan terhadap penciptaan nilai jangka panjang. Untuk maklumat lanjut sila layari https://www.adia.ae

ADIA dan GIP, secara bersama, apabila Tawaran ini selesai, akan memiliki 100% ekuiti dalam GIP Aurea Pte Ltd, salah satu daripada Penawar Bersama. 

 

Mengenai Global Infrastructure Partners (GIP)

Global Infrastructure Partners (“GIP”) merupakan pelabur infrastruktur terkemuka yang memiliki kepakaran dalam pelaburan, pemilikan dan pengoperasian beberapa aset terbesar dan kompleks merentasi sektor tenaga, pengangkutan, infrastruktur digital serta pengurusan air dan sisa. Beribu pejabat di New York, GIP mempunyai pejabat di Brisbane, Dallas, Hong Kong, London, Melbourne, Mumbai, Singapura, Stamford dan Sydney. 

GIP memiliki sekitar US$112 bilion aset di bawah pengurusannya. Syarikat-syarikat dalam portfolionya memiliki pendapatan tahunan terkumpul sekitar kira-kira US$73 bilion dan mempunyai lebih daripada 115,000 kakitangan. GIP percaya tumpuannya terhadap aset infrastruktur, digabungkan dengan rangkaian asal usul tersendiri yang mendalam, dan kepakaran operasi komprehensif, membolehkannya menguruskan modal pelaburnya secara bertanggungjawab dan mencipta kesan ekonomi positif buat masyarakat. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.global-infra.com. 

ADIA dan GIP, secara bersama, apabila Tawaran ini selesai, akan memiliki 100% ekuiti dalam GIP Aurea Pte Ltd, salah satu daripada Penawar Bersama.