Date: 12 Dis 2023
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan Dilantik Sebagai Menteri Kewangan‎‎ II

KWASA DAMANSARA, 12 Disember 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah dilantik sebagai Menteri Kewangan II, berkuat kuasa hari ini 12 Disember 2023, susulan rombakan Kabinet yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini. Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Sepanjang perkhidmatan Datuk Seri Amir Hamzah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, beliau telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan kejayaan KWSP, serta memberikan komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan dan inovasi. Antara pencapaian utama beliau termasuk memimpin KWSP melalui pelbagai kitaran ekonomi dan cabaran, dan mencapai pertumbuhan positif dalam pendapatan pelaburan secara konsisten. Hala tuju strategik dan kepimpinan beliau nyata berkesan dalam mengekalkan daya tahan pelaburan dan operasi KWSP, selain memastikan KWSP menjadi tunggak kepada jaminan persaraan yang teguh untuk ahli KWSP.

 

Pihak Lembaga, pengurusan dan seluruh kakitangan KWSP mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Amir Hamzah atas pelantikan sebagai Menteri Kewangan II dan yakin bahawa kepimpinan beliau akan menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Tarikh: 12 Disember 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.