KWSP Dan UBER Meterai Kerjasama Untuk Meningkatkan Simpanan Persaraan Pemandu UBER
KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Uber Malaysia (Uber) bagi menggalakkan pemandu-pemandu Uber menyimpan untuk masa depan persaraan mereka melalui Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).
Skim SP1M ini diwujudkan untuk membolehkan individu yang bekerja sendiri atau tidak mempunyai gaji bulanan yang tetap seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah dan pekerja bebas (freelancer) serta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk mencarum ke dalam simpanan persaraan yang diuruskan oleh KWSP.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Kami memperkenalkan SP1M pada tahun 2010 berikutan peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang bekerja di sektor tidak formal dan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi atau aset kewangan untuk menampung persaraan mereka. Kami juga gembira bahawa Uber mempunyai pandangan yang sama mengenai hal ini dan bersetuju untuk bekerjasama dengan kami.
“Tambahan lagi, Uber juga bersetuju untuk bekerjasama dalam hal lain termasuk mengadakan siri taklimat perancangan kewangan yang dikendalikan oleh KWSP dan membenarkan KWSP mempromosikan perancangan persaraan di kalangan pemandu.”
Mengulas tentang kerjasama ini, Warren Tseng, Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura berkata, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan KWSP untuk membantu rakan pemandu kami membuat pilihan yang lebih bijak dalam perancangan persaraan demi keselamatan kewangan masa depan mereka. Kami menghargai sumbangan besar pemandu kami yang telah memacu peningkatan tahap mobiliti dan kesinambungan rangkaian dalam bandar, pada masa yang sama juga, kami ingin menggalakkan mereka memacu sendiri halatuju persaraan mereka.”
Di bawah skim SP1M, individu boleh mencarum secara sukarela pada kadar minimum sebanyak RM50 hingga jumlah maksimum RM60,000 setahun. Sebagai ahli SP1M, pemandu Uber juga layak mendapat manfaat yang sama dengan ahli KWSP seperti memperoleh dividen tahunan ke atas simpanan serta menerima bantuan kematian sebanyak RM2,500 (mengikut terma dan syarat).
Selain daripada dividen tahunan dan manfaat KWSP, pihak Kerajaan juga akan mencarum 10 peratus ke atas caruman tahunan dan tidak melebihi RM120 setahun sehingga hujung tahun ini untuk ahli berumur bawah 55 tahun. Pihak KWSP kini sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan untuk meneruskan manfaat ini.
Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia mendedahkan bahawa dari 22 juta rakyat Malaysia yang bekerja, seramai 6.8 juta mencarum secara aktif dalam KWSP dan 1.7 juta dilindungi oleh skim pencen kerajaan. Jumlah 13.7 juta selebihnya merangkumi individu yang berkerja sendiri ataua bekerja bebas (freelancers) yang tidak dilindungi oleh mana-mana program perlindungan sosial negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai SP1M, sila layari laman web KWSP di new.epf.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000 atau berkunjung ke mana-mana kaunter KWSP seluruh negara.
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara. |
Mengenai Uber Malaysia (Uber)
Misi Uber adalah untuk menjadikan pengangkutan boleh diyakini ke mana sahaja untuk semua orang. Kami bermula pada tahun 2010 untuk menyelesaikan suatu masalah yang mudah: bagaimanakah anda mendapatkan perjalanan menerusi satu sentuhan butang? Selepas enam tahun dan lebih dua bilion perjalanan, kami telah memulakan usaha untuk menangani cabaran yang lebih besar, iaitu mengurangkan kesesakan dan pencemaran di bandar-bandar kita dengan memuatkan lebih banyak penumpang dalam bilangan kereta yang lebih sedikit. Uber kini boleh didapati di 15 bandar di seluruh negara: Kuala Lumpur, Johor Bahru, Penang, Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Melaka, Seremban, Kuantan, Langkawi, Alor Setar, Miri, Batu Pahat, Kuala Terengganu and Sandakan. Untuk maklumat lanjut sila kunjungi: www.uber.com.