Date: 04 Mac 2023
KWSP Beri Pulangan Kompetitif Dalam Situasi Pelaburan Sukar Pada 2022, Fokus Terhadap Membina Semula Simpanan Ahli

KWASA DAMANSARA, 4 Mac 2023: Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 5.35% untuk Simpanan Konvensional dengan jumlah pembayaran sebanyak RM45.44 bilion; dan 4.75% untuk Simpanan Shariah dengan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2022 sebanyak RM51.14 bilion.

 

Setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab.

 

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, “Alhamdulillah, di sebalik kemelesetan pasaran global yang berterusan pada 2022, portfolio pelaburan KWSP kekal berdaya tahan dalam mendepani cabaran kemelesetan ini dengan impak yang minimum. Ini sebahagian besarnya dipacu oleh strategi yang menekankan kemampanan jangka panjang pelaburan dan pulangan, selaras dengan Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP. Portfolio KWSP yang pelbagai dan kecairan yang sihat membantu mengurangkan risiko dan membolehkan KWSP untuk mengekalkan aset pelaburannya melebihi RM1.00 trilion dan mengisytiharkan kadar dividen yang baik untuk 2022.

 

“Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif. Kami percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari aspek jangka masa panjang. Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan kami dan membina semula simpanan persaraan ahli kami,” tambah beliau.

 

Tahun kewangan 2022 menyaksikan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kenaikan kadar inflasi yang tinggi, ditambah dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi. Pasaran pendapatan tetap juga gagal mencatatkan prestasi yang baik apabila indeks bon merekodkan pulangan negatif untuk tahun yang sama, sebahagian besarnya disebabkan oleh hasil bon yang tinggi berikutan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang berterusan. Ketidakstabilan geopolitik juga merupakan faktor utama mempengaruhi pergerakan pasaran, dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine yang telah melonjakkan harga komoditi, ditambah dengan pergolakan antara AS dan China.

 

Tahun 2022 juga menyaksikan penutupan terendah indeks utama ekuiti global sejak 2008, yang jatuh antara 20% hingga lebih 30%. Di pasaran domestik pula, FBM KLCI menutup 5% lebih rendah tahun-ke-tahun pada paras sekitar 1,495 mata. Prestasi pasaran yang menurun telah menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP daripada ekuiti, yang terus menjadi penyumbang pendapatan utama KWSP.

 

Tan Sri Ahmad Badri berkata tidak semua sektor turut terlibat walaupun prestasi pasaran ekuiti lemah pada tahun 2022. Beberapa sektor seperti tenaga, perladangan, perkhidmatan kewangan dan keperluan asas utama menunjukkan prestasi yang agak baik berbanding sektor lain. Oleh itu, strategi kepelbagaian KWSP merentasi pelbagai sektor dan geografi telah membantu memanfaatkan peluang keuntungan dan penjanaan pendapatan.

 

Gandingan SAA KWSP dengan pengurusan kecairan dan risiko yang teguh menyediakan rangka kerja yang berupaya melindungi dana daripada keadaan sukar, seterusnya membolehkan KWSP memberikan keputusan yang baik untuk tahun 2022.

 

Kejayaan KWSP dalam menyampaikan dividen yang stabil dan terpuji, mengatasi dana domestik lain secara berterusan, telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan reputasinya sebagai salah satu pelabur institusi terkemuka negara. Ini juga telah menyumbang kepada simpanan ahli, seterusnya menyediakan jaminan kewangan yang lebih besar semasa tempoh persaraan ahli.

 

“Komitmen kami untuk membina simpanan ahli telah menjadi pendorong di sebalik kejayaan berterusan kami, dan kami kekal teguh dalam dedikasi kami untuk memberikan dividen yang baik dan menjamin masa depan kewangan ahli kami,” kata Tan Sri Ahmad Badri.

 

Portfolio pelaburan KWSP pada 2022

 

Pada 2022, KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM55.33 bilion, dengan RM6.83 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah. Kelas aset Ekuiti menyumbang RM30.54 bilion, atau 55% daripada jumlah pendapatan kasar KWSP, lebih rendah berbanding RM41.06 bilion yang dicatatkan pada 2021. Ekuiti tersenarai asing, yang mencatatkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 9.27%, terus menjadi pemacu pulangan untuk kelas aset ini.

 

Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi kukuh, mencatatkan ROI sebanyak 13.65%. Portfolio ini merekodkan pendapatan pelaburan kasar yang lebih rendah berbanding 2021, sebahagian besarnya disebabkan oleh penilaian aset pendasar yang lebih rendah, selain daripada pengagihan lebih rendah yang diterima untuk tahun 2022.

 

Untuk memastikan kesihatan portfolio jangka panjang, KWSP mengambil langkah berhemat dengan menurunkan RM3.43 bilion daripada nilai portfolio ekuiti tersenarai pada 2022, lebih tinggi daripada RM1.15 bilion yang dicatatkan pada 2021, sejajar dengan turun naik pasaran ekuiti. Sebanyak 74% daripada jumlah itu adalah daripada kaunter patuh Syariah yang mencatatkan prestasi rendah, seterusnya memberi kesan kepada prestasi Simpanan Shariah KWSP bagi tahun 2022.

 

Dengan hampir separuh daripada jumlah alokasi aset KWSP dalam instrumen Pendapatan Tetap, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, serta Pinjaman dan Bon, KWSP mampu mengekalkan pulangan yang stabil. Pendapatan daripada portfolio tersebut menyumbang RM18.19 bilion, atau 33% daripada jumlah pendapatan kasar KWSP. Pendapatan yang lebih rendah yang dicatatkan berbanding 2021 ini adalah dikaitkan dengan keuntungan modal yang lebih rendah didorong oleh peningkatan hasil bon.

 

Pendapatan portfolio Hartanah dan Infrastruktur sebanyak RM5.56 bilion terus memainkan peranan sebagai pelindung nilai terhadap inflasi, mencatatkan ROI sebanyak 10.50%, peningkatan 6.13% daripada ROI untuk instrumen Pendapatan Tetap sebanyak 4.37%; manakala pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang mancatat RM1.04 bilion dengan ROI sebanyak 3.48%. Prestasi kedua-dua kelas aset ini adalah selaras dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan oleh SAA.

 

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran makroekonomi dan pengeluaran-pengeluaran berkaitan pandemik berjumlah RM145 bilion, aset pelaburan KWSP kekal kukuh dan mencatatkan RM1,003 bilion pada Disember 2022. Menguruskan pengeluaran-pengeluaran tersebut merupakan satu cabaran yang sukar, memandangkan keperluan untuk memastikan kecairan yang mencukupi. Walaupun KWSP berjaya mengharungi situasi itu, aliran keluar tunai telah menghadkan keupayaan KWSP untuk memanfaatkan peluang pelaburan dan keuntungan demi mengukuhkan pulangan untuk semua ahli.

 

Mengikut kelas aset secara keseluruhannya, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 47% daripada aset pelaburan, manakala Ekuiti merangkumi 42%. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing merangkumi 7% dan 4% daripada aset KWSP.

 

Kepelbagaian pelaburan KWSP dalam aset dan mata wang asing membolehkannya merealisasikan keuntungan tambahan daripada sumber bukan Ringgit, seterusnya menambah nilai ke atas pulangan keseluruhan KWSP. Sehingga Disember 2022, pelaburan asing merangkumi lebih kurang 36% daripada aset pelaburan KWSP dan menyumbang 45% daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP.

 

Membina daya tahan di sebalik cabaran ekonomi

 

Pertumbuhan dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun dijangka menurun daripada 3.8% pada 2022 kepada 2.7% pada 20231, seterusnya mencerminkan permintaan luar yang lebih lemah ditambah dengan kenaikan kadar inflasi yang tinggi, pengetatan polisi pembiayaan kewangan oleh bank-bank pusat dan lain-lain isu domestik dan ketegangan geopolitik.

 

Tan Sri Ahmad Badri berkata, “Kami menjangkakan situasi pelaburan 2023 akan terus mencabar dalam jangka pendek dan sederhana. Ketidakpastian yang berterusan ini sekaligus memberi penekanan kepada keperluan untuk membina daya tahan selaras dengan objektif pelaburan jangka panjang KWSP dan Alokasi Aset Strategik kami.”

 

Tambah beliau, Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini menekankan usaha untuk mengukuhkan pemulihan dan daya tahan ekonomi negara.

 

“Sudah enam tahun sejak kami memperkenalkan Simpanan Shariah. Kami sedang berusaha untuk meningkatkan model perniagaan semasa dengan mengasingkan sepenuhnya aset Simpanan Shariah daripada melabur bersama aset patuh syariah dalam Simpanan Konvensional. Dengan pengasingan ini, Simpanan Shariah akan mempunyai strategi sendiri dan peruntukan aset strategik yang berbeza yang akan memastikan pulangan jangka panjang yang lebih optimum, berdaya saing dan mampan untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional. Kami menyasarkan untuk melancarkannya pada 2024 seperti yang dinyatakan dalam pengumuman Belanjawan 2023 baru-baru ini,” kata Tan Sri Ahmad Badri.

 

Pertumbuhan positif pendaftaran ahli KWSP

 

Dalam pencapaian prestasinya pada 2022, KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli berikutan pemulihan teguh dalam pasaran buruh Malaysia. Ini membantu KWSP mencatat pertumbuhan pendaftaran ahli baharu sebanyak 635,989, menjadikan jumlah ahli KWSP kepada 15.72 juta setakat Disember 2022. Daripada jumlah itu, sebanyak 8.39 juta adalah ahli aktif2, yang kini mewakili 50% daripada 16.7 juta tenaga buruh3 Malaysia pada akhir 2022.

 

Jumlah ahli aktif menunjukkan peningkatan pada tahun 2022, melangkaui jangkaan pertumbuhan yang dicatatkan sebelum pandemik Covid-19. Pencapaian ini membolehkan KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, yang meningkat kepada 53%:47% pada Disember 2022, diperoleh daripada nisbah ahli aktif sebanyak 8.39 juta berbanding jumlah ahli sebanyak 15.72 juta.

 

“Bagaimanapun, peratusan ahli aktif berbanding jumlah tenaga buruh masih agak rendah berbanding tahap perlindungan sosial hari tua di seluruh dunia dan oleh itu, KWSP sedang melancarkan inisiatif dan menggiatkan usahanya untuk meningkatkan perlindungan tenaga buruh negara kepada lebih 60%,” kata Tan Sri Ahmad Badri.

 

Antara usaha berterusan dalam meluaskan perlindungan KWSP adalah melalui i-Saraan, yang dibangunkan khusus untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan formal untuk menabung dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka.

 

Pada 2022, bilangan ahli i-Saraan mencatatkan peningkatan yang tinggi sebanyak 191% kepada 291,743 daripada 100,254 pada 2021, membabitkan jumlah sokongan Kerajaan sebanyak RM33.2 juta. Di bawah program ini, ahli yang layak dan membuat sumbangan sukarela akan menerima padanan sumbangan Kerajaan sebanyak 15%, tertakluk kepada jumlah maksimum tertentu.

 

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Kerajaan telah menaikkan jumlah maksimum tersebut daripada RM250 kepada RM300 setahun sebagai insentif berterusan bagi ahli i-Saraan untuk meningkatkan simpanan persaraan mereka.

 

Secara keseluruhannya, jumlah caruman sepanjang 2022 meningkat kepada RM84.78 bilion, peningkatan sebanyak 16% daripada 2021. Peningkatan yang ketara itu menandakan penambahbaikan dalam kapasiti kewangan ahli lanjutan daripada pemulihan progresif pendapatan, pekerjaan dan ekonomi. Ia juga menyerlahkan kepercayaan berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan seumur hidup ahli.

 

Bukti pemulihan kukuh dalam aktiviti ekonomi domestik juga boleh dilihat daripada pertumbuhan data majikan KWSP di mana pendaftaran majikan baharu dicatatkan sebanyak 93,669 pada akhir 2022, membawa jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 588,714.

 

Jaminan persaraan kekal menjadi keutamaan

 

Peralihan pantas kepada pekerjaan tidak formal berbanding pekerjaan formal mengukuhkan lagi keperluan dan kedesakan untuk menyesuaikan pendekatan dasar dan sistem perlindungan sosial dengan perubahan ini demi menjaga keselamatan pendapatan rakyat Malaysia semasa usia tua.

 

KWSP menumpukan kepada tiga perkara utama - kecukupan, liputan, dan pulangan yang mampan - dalam komitmennya untuk membantu membina semula simpanan ahli dan mengembalikan tumpuan kepada mencapai jaminan pendapatan persaraan. Melalui kempen Jom Tambah, KWSP berusaha untuk menggalakkan lebih ramai ahli untuk mencarum sebarang amaun secara sukarela ke dalam tabung simpanan mereka melalui caruman sukarela KWSP dan program lebihan sukarela (voluntary excess).

 

Pada masa yang sama, KWSP sedang meningkatkan Program Outreach untuk mempromosikan caruman sukarela untuk membina simpanan persaraan ahli. Pada 2022, inisiatif outreach KWSP mencatatkan pertumbuhan positif dan memberangsangkan di mana jumlah ahli yang membuat caruman sukarela meningkat 70% kepada 774,980 pada 2022, berbanding 455,361 pada 2021.

 

Bagi tahun 2023, KWSP akan mengukuhkan lagi pasukan Mobile Team dengan 26 kenderaan bergerak dan 10 trak bergerak untuk menempatkan 143 kakitangan KWSP di seluruh negara bagi mempergiatkan aktiviti jangkauan KWSP, terutama di kawasan luar bandar dan terpencil. Ini adalah tambahan kepada 15 kenderaan bergerak dan 63 kakitangan yang dibawa oleh pasukan Mobile Team.

 

Selari dengan peranannya dalam agenda perlindungan sosial negara, KWSP juga sedang melaksanakan pembaharuan holistik skim KWSP, yang memerlukan peningkatan aktiviti penglibatan dengan kedua-dua sektor awam dan swasta, serta pemain industri.

 

Tan Sri Ahmad Badri berkata KWSP akan terus menyokong pelaksanaan inisiatif untuk menggalakkan pembinaan semula simpanan persaraan, dengan tujuan membantu ahli KWSP dan bakal ahli mencapai persaraan yang lebih selesa.

 

Pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah akan dilaksanakan pada Sabtu, 4 Mac 2023. Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka dari Self-Service Terminal (SST) di cawangan KWSP seluruh negara.

 

 

RINGKASAN PRESTASI PELABURAN 2022 KWSP
 

Kelas Aset

% Jumlah pelaburan aset

Pendapatan Pelaburan Kasar (RM bilion)

% Pendapatan

Simpanan Konvensional

Simpanan Shariah

Jumlah

Ekuiti

42

27.06

3.48

30.54

55

Instrumen Pendapatan Tetap*

47

15.69

2.50

18.19

33

Instrumen Pasaran Wang

4

0.94

0.10

1.04

2

Hartanah dan Infrastruktur

7

4.81

0.75

5.56

10

Jumlah

100%

48.50

6.83

55.33

100%

* Sumbangan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf, dan Pinjaman dan Bon


CARTA DIVIDEN KWSP 2010 HINGGA 2022

Carta Dividen KWSP 2010 hingga 2022

 


ASET PELABURAN KWSP SETAKAT 31 DISEMBER 2022

Aset Pelaburan KWSP setakat 31 Sidember 2022


PENDAFTARAN AHLI / MAJIKAN KWSP SEHINGGA DISEMBER 2022
 

Indikator S4 2021
(sehingga Dis 2021)
S4 2022
(sehingga Dis 2022)
Pertumbuhan
(sehingga Dis 2021 dan Dis 2022)
1. Ahli      
Jumlah Ahli 15,217,902 15,716,213 3.27%
Ahli Aktif 7,691,973 8,392,031 9.10%
Pendaftaran Ahli Baharu 421,643 635,989 50.84%
2. Majikan      
Jumlah Majikan 550,825 588,714 6.88%
Pendaftaran Majikan Baharu 72,518 93,669 29.17%

 

 


SIMPANAN AHLI KWSP MENGIKUT KUMPULAN UMUR (SEHINGGA 31 DIS 2022)
 

Lingkungan Umur Jumlah Ahli (Juta) Simpanan (RM Bilion) Purata Simpanan (RM) Median Simpanan (RM)
Bawah 25 1.96 8.08 4,132 2,302
25 – 29 2.24 31.26 13,977 5,740
30 – 34 2.09 70.30 33,682 13,462
35 – 39 1.97 114.08 57,786 22,269
40 – 44 1.78 150.95 84,864 29,301
45 – 49 1.60 184.00 114,808 38,678
50 – 54 1.43 182.99 127,952 35,161
55 – 59 1.08 110.90 103,079 11,547
60 – 64 0.58 66.41 113,713 8,149
65 dan ke atas 0.99 65.47 65,989 2,186
Jumlah 15.72 984.43 62,638 8,380

 

 


SIMPANAN AHLI KWSP MENGIKUT KUMPULAN KAUM (SEHINGGA 31 DIS 2022)
 

Kaum Jumlah Ahli (Juta) Simpanan (RM Bilion) Purata Simpanan (RM) Median Simpanan – Semua Umur (RM) Median Simpanan – Umur Bawah 55 (RM)
Bumiputera 9.52 333.13 35,000 4,437 4,937
• Melayu 7.94 298.70 37,630 4,893 5,529
• Lain-lain Bumiputera 1.58 34.43 21,788 3,148 3,302
Cina 4.29 557.43 129,889 40,317 45,162
India 1.30 81.86 62,769 12,654 14,929
Kaum Lain 0.60 12.01 19,941 1,699 1,734
Jumlah 15.72 984.43 62,638 8,380 9,178

 

 


SIMPANAN AHLI KWSP MENGIKUT PERINGKAT SIMPANAN (SEHINGGA 31 DIS 2022)
 

Kumpulan Tahap Simpanan Jumlah Ahli (Juta) Simpanan (RM Bilion) Purata Simpanan (RM) Median Simpanan (RM)
B40 6.29 7.70 1,225 785
M40 6.29 158.85 25,268 18,465
T20 3.14 817.89 260,205 159,430
Jumlah 15.72 984.43 62,638 8,380

 

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
4 Mac 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.


1. Laporan Global Economic Prospects, World Bank

2. Ahli aktif merujuk kepada ahli yang mencarum sekurang-kurangnya sekali dalam 12 bulan

3. Laporan Survei Tenaga Buruh, Disember 2022; Jabatan Perangkaan Malaysia, laporan dikeluarkan pada 9 Februari 2023.