Tarikh: 06 Okt 2022
KWSP Jalin Usahasama Dengan Ally Logistic Property Untuk Membangunkan Hab Logistik Di Bukit Raja, Klang

KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP) telah menandatangani Perjanjian Pemegang Saham untuk membangunkan hab logistik 100% pra-pajakan di Bukit Raja, Klang, Selangor. KWSP akan melabur sehingga 70% kepentingan dalam syarikat usahasama, ALP BR (Malaysia) Sdn. Bhd. (ALP BR). Baki 30% akan dipegang oleh ALP.

 

Hab logistik moden ini akan terletak di Bandar Bukit Raja, Klang, Selangor, di atas tanah pegangan bebas seluas 27 ekar. Hab logistik ini akan dilengkapi dengan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik, atau teknologi ASRS1 bagi meningkatkan kecekapan dan fleksibiliti untuk penyewa.

 

Hab ini dijangka siap menjelang suku ketiga 2024, dengan keluasan kasar melebihi 1.8 juta kaki persegi dan 100 ribu kedudukan palet dalam zon Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik. Setelah pembinaan siap, ALP BR akan memajakkan seluruh gudang kepada ALP di bawah perjanjian pajakan induk selama 15 tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Kami berbesar hati dapat menjalin usahasama ini dengan ALP untuk membangunkan hab logistik berteknologi tinggi di Bukit Raja, Klang. Aset ini akan memberi peluang kepada KWSP untuk melabur dalam aset logistik berkualiti tinggi dan menjana pendapatan sewa yang stabil untuk KWSP dan ALP.

 

“Pemilihan ALP sebagai rakan kongsi pelaburan kami untuk hartanah logistik dipacu oleh reputasi dan pengetahuan ALP sebagai pakar sektor global, yang memiliki portfolio berkualiti tinggi. Usahasama ini memberikan peluang strategik kepada KWSP untuk memacu pertumbuhan sektor logistik, yang dijangka terus meningkat, didorong oleh pasaran e-dagang yang rancak dan kepelbagaian rantaian bekalan oleh pemain utama,” katanya.

 

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP Charlie Chang berkata, “Dalam usaha ALP untuk mengembangkan aset berkualitinya ke Asia Tenggara, kami melihat Malaysia sebagai titik permulaan yang baik untuk memperkenalkan infrastruktur logistik moden kami atas dasar penerimaan baik negara ini terhadap inovasi. Usahasama kami dengan KWSP adalah untuk jangka panjang di Malaysia dan seterusnya.”

 

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (kanan) bersama Charlie Chang, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP di majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP).
Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP (kanan) bersama Charlie Chang, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP di majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP).

 

(Dari kiri ke kanan) Keren Liu, Pengarah Urusan ALP; Charlie Chang, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP; Rohaya Mohammad Yusof, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP di majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP).
(Dari kiri ke kanan) Keren Liu, Pengarah Urusan ALP; Charlie Chang, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif ALP; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP; Rohaya Mohammad Yusof, Ketua Pegawai Pelaburan KWSP di majlis menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Ally Logistic Property Co. Ltd. (ALP).

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
6 Oktober 2022

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.

 

Mengenai Ally Logistic Property (ALP)

Ally Logistic Property, Co., Ltd. (ALP) ialah penyedia penyelesaian penuh pergudangan Taiwan yang paling inovatif dalam industri logistik, menyediakan penyelesaian pergudangan pintar termaju, termasuk harta pergudangan, penyepaduan sistem automasi dan perkhidmatan pergudangan. Ditubuhkan pada 2014, ALP telah membina enam taman logistik dan kini menguruskan lebih 570,000 meter persegi ruang, mengembangkan portfolio pergudangannya kepada salah satu yang terbesar di Taiwan. Dengan menyepadukan sumber dan latar belakang yang pelbagai, ALP menyelesaikan proses logistik yang paling rumit untuk pelanggannya dan memberikan mereka penyelesaian yang lebih mudah, bijak, lebih mampan melalui gudang pintarnya. Dengan mempunyai tapak yang kukuh di Taiwan, ALP memulakan strateginya ke Asia Tenggara dan melancarkan projek OMega pertamanya di Malaysia untuk menetapkan piawaian dan inspirasi baharu untuk infrastruktur logistik pintar.

Untuk maklumat lanjut mengenai ALP, sila layari www.alp.com.tw/en