Date: 23 Nov 2023
KWSP Anjur Mesyuarat Lembaga Pengarah Dan Seminar Persatuan Keselamatan Sosial Asean Ke-40

KWASA DAMANSARA, 20 November 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menganjurkan Seminar dan Mesyuarat Lembaga Pengarah Persatuan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-40 dan Ulang Tahun ASSA ke-25 dalam usaha meningkatkan prestasi institusi keselamatan sosial global di sebalik perubahan landskap sosio-ekonomi global.

 

Majlis tiga hari ini, anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan I, dihadiri oleh Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi ASSA dan Ketua Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial Lao (LSSO) Keo Chanthavixay; Presiden Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed; Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, dan peserta dari 10 negara ASEAN sebagai tambahan kepada peserta tempatan dan antarabangsa yang lain.

 

Dalam ucapan alu-aluannya, Tan Sri Ahmad Badri berkata, “Rantau ASEAN telah dilanda pelbagai cabaran sepanjang suku abad yang lalu, daripada bencana alam kepada pandemik global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Peristiwa ini telah merubah pasaran buruh dan landskap keselamatan sosial, sekaligus menuntut penyelesaian yang tangkas dan ke hadapan.

 

“Kesalinghubungan antara negara ASEAN membolehkan individu mencari peluang pekerjaan di negara luar, justeru kelancaran pemindahan manfaat keselamatan sosial adalah amat perlu. Dengan menyelaraskan dasar dan mewujudkan mekanisme berkesan untuk merentas sempadan, kita berupaya mewujudkan rangka kerja keselamatan sosial serantau yang lebih komprehensif,” kata beliau.

 

Beliau menambah bahawa negara-negara ASEAN menghadapi isu kritikal berkaitan kerentanan pekerja tidak formal di seluruh rantau ini. Lebih kurang 244 juta pekerja di rantau ASEAN memperoleh pendapatan mereka daripada pekerjaan tidak formal, merangkumi hampir 79% daripada populasi bekerja di rantau ini. Peratusan ini melepasi purata global sebanyak 61% dan purata Asia Pasifik sebanyak 68%.

 

Acara utama majlis adalah pemeteraian Memorandum Persefahaman antara ISSA dan ASSA untuk mengukuhkan kerjasama dan berkongsi penyelesaian inovatif dalam usaha memajukan keselamatan sosial di rantau ini; serta penyerahan jawatan Pengerusi ASSA kepada Datuk Seri Amir Hamzah, Naib Pengerusi ASSA, daripada Keo Chanthavixay, yang merupakan Pengerusi ASSA bagi tempoh 2022/2023. Penyerahan akan dilakukan pada hari kedua acara semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah ASSA ke-40.

 

Ditubuhkan pada Februari 1998, objektif utama ASSA adalah untuk meningkatkan keselamatan sosial di rantau ASEAN dengan memupuk pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik di kalangan negara anggotanya. Keahlian persatuan adalah terdiri daripada 20 institusi keselamatan sosial dari 10 negara ASEAN. ASSA memainkan peranan penting dalam menyokong ahlinya dan penggubal dasar dalam menangani cabaran, menambahbaik sistem keselamatan sosial, dan memanfaatkan platform seperti penyelidikan, pengeluaran dan pemindahan pengetahuan. Selain itu, ia giat mempromosikan keselamatan sosial di peringkat rantau Asia Tenggara.

 

Lembaga ASSA terdiri daripada ahli dari Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Seminar tiga hari ini menyaksikan pakar dari ASEAN, Eropah dan Australia dalam bidang keselamatan sosial dan pembaharuan pencen berbincang dan bertukar pendapat dengan ahli ASSA mengenai proses, keupayaan dan sistem yang memacu prestasi dalam penyampaian perkhidmatan sosial.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
20 November 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP merupakan organisasi keselamatan sosial yang fokus terhadap melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.