Date: 05 Feb 2024
KWSP Lancar i‑Lindung Fasa 2 Untuk Melanjutkan Perlindungan Insurans Dan Takaful Kepada Ahli Keluarga

KWASA DAMANSARA, 5 Februari 2024:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan i-Lindung Fasa 2 di bawah Pelan Perlindungan Ahli yang membolehkan ahli menggunakan dana dalam Akaun Sejahtera mereka untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka. 

Ahli yang ingin membeli produk insurans dan menyertai produk takaful yang ditawarkan oleh syarikat insurans dan pengendali takaful yang diluluskan KWSP untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat boleh melakukannya melalui platform i-Lindung yang terkandung dalam aplikasi KWSP i-Akaun (Ahli).  

Sejak ia dilancarkan pada Julai 2022, hingga Disember 2023, lebih 102,301 ahli telah membeli sejumlah 118,166 polisi dan produk takaful melalui platform i-Lindung, yang meliputi insurans nyawa dan insurans penyakit kritikal pada premium yang berpatutan daripada Akaun Sejahtera. Susulan daripada sambutan yang menggalakkan ini, KWSP telah memperkenalkan penambahbaikan yang memfokuskan kepada pengurusan polisi dan sijil, yang ditujukan untuk perlindungan lanjutan melebihi satu (1) tahun. 

Penambahbaikan ini merupakan satu kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung, yang menggabungkan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan keluarga tersayang. Platform yang dinaik taraf ini menawarkan ciri-ciri mesra pengguna bagi memudahkan pengurusan polisi yang diperkemas dan pembayaran berulang yang mudah untuk perlindungan jangka panjang.  

Untuk maklumat lanjut tentang i-Lindung, ahli boleh rujuk laman web rasmi KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000. 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
5 Februari 2024
  

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.