Date: 31 Mac 2022
KWSP Lancar Polisi Pelaburan Mampan

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2022: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini telah melancarkan Polisi Pelaburan Mampan KWSP, Polisi Isu Keutamaan, dan Polisi Sektor Keutamaan bagi membimbing KWSP dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih termaklum dan holistik dengan mengintegrasikan faktor alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG1) ke dalam proses pengurusan pelaburan KWSP.

Majlis pelancaran ini dihadiri oleh Menteri Kewangan YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Pengerusi KWSP YBhg Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Pegawai Eksekutif YBhg Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, dan wakil kanan pengurus dana luar KWSP.

Pelancaran ini menandakan evolusi status KWSP daripada pelabur beretika kepada pelabur mampan dalam usahanya untuk patuh ESG sepenuhnya pada 2030 dan neutral karbon pada 2050.  KWSP berpendapat bahawa isu ESG dalam konteks amalan perniagaan kian kritikal kerana ia memberi gambaran terhadap tahap risiko dan peluang sesebuah perniagaan yang lebih menyeluruh, serta skala kesan positif dan negatif terhadap masyarakat.

Dalam ucapannya, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul berkata, “Bagi memastikan Malaysia mencapai pertumbuhan yang mampan, adalah kritikal pemulihan ekonomi negara berpaksikan kepada faktor alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG). Fokus terhadap faktor ini menyokong matlamat Rancangan Malaysia Ke-12 untuk memulihkan pembangunan sosio-ekonomi negara dengan menerapkan kemampanan jangka panjang sebagai asas dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Dalam kita mengejar masa untuk mengurangkan kesan perubahan iklim atau kejutan masa depan yang lain, pelabur institusi boleh dan mesti membantu Kerajaan dalam mengarusperdanakan agenda kemampanan merentasi pelbagai sektor dan industri secepat mungkin. Oleh itu, kami menyokong penuh KWSP, selaku pelabur institusi dan dana persaraan terbesar Malaysia, untuk menerapkan sepenuhnya pelaburan mampan dan mengukuhkan komitmennya kepada ESG. Kerajaan percaya bahawa dengan menginstitusikan polisi ESG dalam pelaburan KWSP, faedah akan mengalir sehingga ke rantaian nilai pasaran modal Malaysia, seterusnya memberi manfaat kepada Rakyat.”
Dalam ucapannya mengenai Polisi Pelaburan Mampan KWSP, Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri berkata Polisi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi pelaburan menyeluruh KWSP yang disokong oleh Panel Pelaburannya.

“KWSP juga merupakan organisasi pertama di Malaysia yang membangunkan dan menerbitkan Polisi Isu Keutamaan yang menetapkan pendirian KWSP terhadap perubahan iklim dan kesejahteraan pekerja. Polisi Sektor Keutamaan KWSP pula menetapkan jangkaan ESG untuk sektor utama yang berfungsi untuk menyokong Polisi Pelaburan Mampan.

“Sesuai dengan kedudukan KWSP sebagai dana persaraan terulung negara, sememangnya amat penting bagi KWSP untuk menggabungkan faktor ESG ke dalam penilaian prestasi dan amalan perniagaan syarikat pelaburannya. Selain prestasi kewangan, KWSP juga perlu mengambil kira aspek risiko dan peluang dalam membuat keputusan pelaburan yang lebih holistik, seterusnya melindungi pulangan jangka panjang ahli dan menyumbang kepada ekosistem kemampanan dengan lebih meluas.”

Lanjutan daripada pelancaran ini, pengurus portfolio KWSP akan menyampaikan sasaran ESG kepada syarikat pelaburan dan pengurus dana luarnya. Rangka kerja Pelaburan Mampan KWSP akan menjadi asas kepada sesi libat urus dalam membincangkan, menilai dan mengurus risiko ESG, serta memanfaatkan peluang penambahan nilai.

Tan Sri Ahmad Badri menambah bahawa KWSP akan terus terlibat dengan syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luar bagi meningkatkan amalan ESG mereka dan memastikan ia sejajar dengan hasrat KWSP sepertimana yang telah digariskan dalam Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan.

Semasa upacara pelancaran, kesemua 16 pengurus dana luar KWSP menandatangani Ikrar Pelaburan Mampan sebagai tanda komitmen mereka terhadap penerapan ESG ke dalam keputusan pelaburan mereka.

 

Prinsip Panduan Polisi Pelaburan Mampan KWSP

Polisi Pelaburan Mampan KWSP adalah berasaskan empat prinsip panduan utama dalam memastikan konsistensi, kebolehramalan, dan ketelusan:

  1. Mengintegrasikan ESG ke dalam proses membuat keputusan pelaburan KWSP, menyediakan proses pelaburan yang mantap dan komprehensif yang menilai peluang pelaburan yang tidak tertakluk hanya kepada potensi peningkatan kewangan sahaja, tetapi merangkumi prestasi berdasarkan faktor ESG yang utama;
     
  2. Mengambil peranan kepimpinan yang aktif dalam memastikan peralihan pelaburan dalam portfolio KWSP kepada patuh ESG, di samping meningkatkan piawaian kemampanannya melalui amalan undian yang bertanggungjawab, pemantauan ESG, serta penglibatan aktif dengan syarikat pelaburan dan pengurus dana luar;
     
  3. Mengenal pasti keutamaan dan sasaran ESG yang berkaitan untuk KWSP, menanda aras kepada matlamat tempatan dan global, serta mengambil kira pendedahan portfolio dana. Bagi mempercepatkan usaha ini, Pusat Pelaburan Mampan KWSP telah ditugaskan untuk membangun, melaksana, memantau, dan melaporkan kemajuan tahunan KWSP ke arah pencapaian matlamat kemampanannya;
     
  4. Mengiktiraf keupayaan dalaman sebagai keutamaan dalam pendekatan pelaburan mampan KWSP untuk meneruskan usahanya ke arah menjadi peneraju dalam pelaburan mampan. KWSP akan menjalankan program latihan dan kesedaran, membangunkan keupayaan nasihat kemampanan dalaman, dan menubuhkan pejabat pengurusan perubahan untuk menyemai budaya kemampanan dalam KWSP.

 

Fokus Utama Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan

Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan bertindak untuk menyokong Polisi Pelaburan Mampan KWSP yang menggariskan pendirian KWSP dalam tiga isu keutamaan dan enam sektor utama:

  1. Polisi Isu Keutamaan mengenal pasti dua isu keutamaan: perubahan iklim dan kesejahteraan pekerja. Fokus utama ini akan disemak secara berkala bagi memastikan perkembangan terkini diambil kira. Untuk menyepadukan isu keutamaan ini, KWSP telah membangunkan permintaan ESG yang selaras dengan piawaian global, mandatnya, komitmen nasional, dan amalan pelabur yang setaraf dengannya.
  2. Polisi Sektor Keutamaan mengenal pasti enam sektor keutamaan, iaitu minyak sawit, minyak dan gas, perlombongan, penjanaan kuasa, perbankan, dan pembinaan. Sektor-sektor ini dipilih berdasarkan pendedahan KWSP kepada sektor-sektor tersebut dan risiko ESG. Memandangkan perbezaan material antara sektor-sektor ini, KWSP telah membangunkan sasaran ESG yang sejajar dengan piawaian global, komitmen dan nuansa tempatan, dan amalan pelabur setaraf dengannya.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
31 Mac 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.