Date: 09 Mac 2023
KWSP Mengutamakan Integriti Data Ahli

KWASA DAMANSARA, 9 Mac 2023:  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ingin menjelaskan mengenai status terkini baki simpanan ahli seperti yang telah dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini, terutamanya yang berkaitan dengan inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli KWSP berusia 40-54 tahun dengan simpanan RM10,000 atau kurang dalam Akaun 1 melalui sumbangan one-off sebanyak RM500.

 

KWSP memberikan keutamaan tertinggi kepada pemeliharaan integriti data ahli dan pematuhan dasar, kawalan, dan prosedur audit yang ketat. Ini sejajar dengan peranan KWSP sebagai pemegang amanah dan pelindung dana simpanan persaraan ahli.

 

KWSP menjelaskan bahawa jadual yang terdapat dalam Laporan Tahunan KWSP 2021 merujuk kepada ahli aktif sahaja. Sehingga akhir Disember 2022, terdapat 4.81 juta ahli KWSP dalam lingkungan umur 40-54 tahun, dengan 2.17 juta merupakan ahli aktif, dan 2.64 juta ahli tidak aktif (didefinisikan sebagai tidak membuat sebarang caruman dalam setahun lepas):

 

 

Active Members

Had Umur (tahun) Jumlah Ahli Purata Simpanan Simpanan Median
40-44 846,431 RM149,577 RM103,059
45-49 724,406 RM206,270 RM136,194
50-54 600,964 RM237,426 RM134,926
55-59 412,766 RM203,438 RM54,380
60-64 202,949 RM206,818 RM42,062
65+ 137,750 RM238,701 RM49,704

 

 

Inactive Members

Had Umur (tahun) Jumlah Ahli Purata Simpanan Simpanan Median
40-44 932,264 RM26,109 RM3,271
45-49 878,281 RM39,371 RM7,409
50-54 829,155 RM48,605 RM9,481
55-59 663,074 RM40,605 RM3,348
60-64 381,092 RM64,130 RM3,739
65+ 854,454 RM38,146 RM1,678

 

 

Total Active and Inactive Members

Had Umur (tahun) Jumlah Ahli Purata Simpanan Simpanan Median
40-44 1,778,695  RM84,864  RM29,301
45-49 1,602,687  RM114,808  RM38,678
50-54 1,430,119  RM127,952  RM35,161
55-59 1,075,840  RM103,079  RM11,547
60-64 584,041  RM113,713  RM8,149
65+ 992,204  RM65,989  RM2,186

 

 

Perbezaan yang besar antara purata dan median dalam setiap lingkungan umur menunjukkan jurang ketidaksamaan yang tinggi di antara ahli KWSP, di mana sebahagian kecil ahli memegang bahagian simpanan yang lebih besar.  Jumlah simpanan median adalah ukuran yang lebih sesuai untuk membandingkan tahap simpanan ahli KWSP kerana ia mewakili titik tengah simpanan apabila semua simpanan ahli KWSP adalah diatur mengikut urutan menaik dari jumlah terendah ke tertinggi.

 

Beberapa faktor telah menyumbang kepada jumlah simpanan ahli yang rendah bagi kumpulan umur ini:

 

  1. Gaji permulaan yang lebih rendah bagi mereka yang memulakan kerjaya mereka sebelum gaji minimum Malaysia dilaksanakan pada tahun 2013;
     
  2. Cabaran struktur gaji di mana 44% penyumbang KWSP mempunyai pendapatan kurang dari RM2,000 dan 81% mempunyai pendapatan kurang dari RM5,000;
     
  3. Caruman yang tidak konsisten disebabkan oleh ahli yang beralih keluar dan masuk dari sektor formal, di mana hanya 45% daripada 4.81 juta ahli dalam kumpulan umur ini telah membuat caruman pada tahun 2022, manakala selebihnya tidak membuat sebarang caruman pada tahun lepas;
     
  4. Hanya separuh daripada tenaga kerja sektor swasta yang berada di bawah kontrak pekerjaan formal, diwajibkan untuk membuat caruman kepada KWSP. Tenaga kerja selebihnya terdiri daripada individu dalam sektor lain seperti pertanian, pekerjaan tidak formal, pekerja kontrak atau pemilik perniagaan;
     
  5. Sebanyak 2.85 juta atau 59% daripada ahli dalam kumpulan umur ini telah memohon satu atau lebih daripada pengeluaran berkaitan COVID-19 dan mengeluarkan sebanyak RM62 bilion, seterusnya mengurangkan lagi jumlah simpanan mereka.

 

KWSP menyambut baik inisiatif sumbangan one-off sebanyak RM500 oleh Kerajaan yang akan terbuka kepada ahli aktif dan juga tidak aktif sebagai langkah untuk meningkatkan simpanan persaraan ahlinya. Insentif ini akan menjadi pemangkin kepada pembinaan semula simpanan ahli untuk mencapai persaraan yang lebih selesa dan seterusnya membantu mengurangkan kesan berikutan perkembangan pesat populasi menua Malaysia.

 

Butiran program ini sedang diperinci bersama Kementerian Kewangan, tertakluk kepada kelulusan belanjawan daripada Parlimen, dan akan dimaklumkan kepada ahli kelak.

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
9 Mac 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.