Tarikh: 08 Dis 2016
EPF Records Increased Usage Across Customer Service Platforms

Transaksi dalam talian kekal pilihan utama ahli pada S3 2016

 

KUALA LUMPUR, 8 Disember 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini melaporkan peningkatan yang ketara terhadap platform perkhidmatan pelanggan digital dan fizikal merangkumi i-Akaun, Kios KWSP dan myEPF yang kekal sebagai pilihan transaksi dengan KWSP dalam suku tahun ketiga berakhir 30 September 2016 (S3 2016).

 

Di dalam suku tahun yang dikaji, penggunaan i-Akaun meningkat 46.77 peratus dari 3.09 juta dalam S3 2015 ke 4.54 juta berakhir September 2016, manakala penggunaan portal myEPF dalam suku tahun sama meningkat 38.88 peratus dari 4.03 juta dalam S3 2015 kepada 5.60 juta dalam S3 2016.  Penggunaan Kios KWSP juga naik 31.09 peratus dari 2.51 juta dalam S3 2015 kepada 3.29 juta dalam S3 2016.

 

Semasa mengumumkan prestasi Operasi S3 2016, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, “Kami telah menjadikan kepuasan pelanggan sebagai salah satu komponen inisiatif utama kami dan keputusan prestasi operasi pada S3 2016 jelas menunjukkan bahawa jangkaan ahli terhadap setiap aspek perkhidmatan kami, termasuk aspek kecekapan dan kemudahan, telah meningkat.

 

“Sebagai sebuah dana yang mempunyai jumlah ahli dan majikan yang sentiasa meningkat, ianya telah menjadi keutamaan bagi kami untuk meningkatkan perkhidmatan dengan menyediakan pengalaman transaksi yang lancar melalui platform digital, memudahkan operasi dan mengurangkan tempoh transaksi.  Salah satu daripada pencapaian utama menjelang 2020 adalah untuk memastikan 80 peratus interaksi kami dengan ahli adalah melalui elektronik dan 60 peratus dengan majikan.”

 

Selain platform digital, jumlah pelanggan yang berkunjung ke kaunter KWSP seluruh negara juga telah mencatat peningkatan sebanyak 11.91 peratus dari 1.13 juta dalam S3 2015 ke 1.26 juta dalam S3 2016.  Lonjakan ini disebabkan oleh jumlah ahli ke kaunter KWSP untuk mendaftar Simpanan Shariah yang telah menerima sambutan yang menggalakkan sejak pendaftaran dibuka pada 8 Ogos 2016.

 

Jumlah panggilan diterima oleh Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP juga meningkat 26.53 peratus dari 231,913 panggilan dalam S3 2015 ke 293,444 pada S3 2016.  Pusat ini, yang ditubuhkan pada September 2003, menyediakan perkhidmatan rundingan pelbagai bahasa untuk menangani pertanyaan ahli berkaitan KWSP.

 

Datuk Shahril berkata perkhidmatan panggilan ini kekal relevan kerana ia menjimatkan masa ahli berbanding tempoh yang diperlukan untuk ke cawangan KWSP.  Beliau berkata antara pertanyaan lazim yang dikemukakan oleh ahli adalah berkaitan pengeluaran KWSP, dividen dan proses menghantar caruman dan membuat permohonan pengeluaran secara elektronik.

 

Permohonan yang diluluskan untuk Pengeluaran Fleksibel Umur 55 Tahun dalam S3 2016 meningkat 7.27 peratus ke 86,684 dari 80,812 permohonan diluluskan dalam suku tahun yang sama pada 2015.  Jumlah pengeluaran di bawah skim ini adalah RM2.53 bilion berbanding RM3.28 bilion pada 2015 (S2 2016: 91,111, RM2.70 bilion).

 

Berbeza dengan jumlah permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Penuh Umur 55 Tahun dalam S3 2016 yang mencatat penurunan sebanyak 6.83 peratus dari 50,444 permohonan lulus dalam S3 2015 melibatkan RM2.70 bilion kepada 46,999 membabitkan RM2.29 bilion pada S3 2016.

 

Datuk Shahril mengaitkan penurunan jumlah permohonan pengeluaran penuh kepada peningkatan kesedaran di kalangan ahli yang sedar tentang manfaat memanjangkan tempoh simpanan persaraan mereka selain mengambil peluang ke atas dividen tahunan KWSP.

 

Jumlah keseluruhan permohonan diluluskan untuk Pengeluaran Pendidikan dalam S3 2016 mencatat peningkatan 117.16 peratus kepada 60,318 melibatkan RM 359.70 juta dari 27,776 permohonan lulus (RM155.95 juta) dalam S3 2015 (S2 2016: 60,931, RM370.39 juta), majoritinya untuk menyelesaikan hutang pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Penyertaan skim Pengeluaran Pendidikan di bawah perkhidmatan e-Pengeluaran memudahkan ahli untuk menyerahkan permohonan mereka secara dalam talian. Jumlah permohonan diluluskan untuk S3 2016 adalah 23,884, naik 27.7 peratus dari 18,707 dalam S2 2016 permohonan Pengeluaran Pendidikan yang diluluskan.

 

Jumlah permohonan diluluskan untuk pengeluaran pelaburan melalui Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) meningkat 15.40 peratus ke 179,351 melibatkan RM1.57 bilion pada S3 2016 dari 155,417 dalam S3 2015 membabitkan RM1.51 bilion.

 

Jumlah ahli KWSP dalam S3 2016 naik 1.86 peratus dari 14.45 juta dalam S3 2015 ke 14.72 juta dalam S3 2016 di mana 6,833,292 atau 46.42 peratus merupakan ahli aktif mencarum.  Manakala, jumlah majikan baru daftar dalam S3 2016 mencatat penurunan sebanyak 4.18 peratus dari 14,748 majikan dalam S3 2015 kepada 14,131 dalam S3 2016.

 

Sehingga akhir September 2016, kadar majikan tidak mencarum adalah stabil pada 1.10 peratus, dan Datuk Shahril berkata ini adalah berikutan langkah proaktif KWSP serta peningkatan kesedaran di kalangan majikan betapa pentingnya peranan mereka dalam memperkukuhkan persaraan pekerja mereka.

 

Datuk Shahril mengingatkan majikan bahawa Borang A pra-cetak tidak lagi akan diedarkan kepada majikan bermula Januari 2017 kerana semua penyerahan maklumat pekerja dan bayaran caruman akan dilakukan secara dalam talian melalui perbankan internet dan perkhidmatan e-Caruman.

 

Ahli digalakkan untuk menghubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di new.epf.gov.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai produk dan perkhidmatan KWSP serta mengenai Pengeluaran Umur 60 Tahun, atau Akaun Emas.  Ahli disaran untuk tidak terpengaruh dengan khabar angin berkenaan KWSP dan rujuk ke KWSP untuk pengesahan maklumat. 

 

Petunjuk Prestasi Suku Tahunan KWSP 2016 (Operasi) – Jadual 1

Petunjuk Prestasi Suku Tahunan KWSP 2016 (Operasi) – Jadual 2

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.