Date: 09 Jun 2023
KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM15.16 Bilion Untuk S1 2023

KUALA LUMPUR, 9 Jun 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM15.16 bilion untuk suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2023 (S1 2023), naik 3% daripada RM14.77 bilion yang dicatatkan dalam suku tahun yang sama pada 2022.  Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Walaupun terdapat pelbagai cabaran dalam suku tahun pertama 2023, seperti gangguan rantaian bekalan yang berterusan dan ketidakstabilan sistem kewangan, termasuk kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank di Amerika Syarikat, KWSP berjaya mengekalkan prestasi yang konsisten sepanjang suku tahun tersebut. Ini susulan perkembangan ekuiti global yang mencatatkan keuntungan kukuh dalam tempoh pelaporan berikutan jangkaan berlakunya kemelesetan yang semakin berkurangan dalam pasaran maju serta keyakinan terhadap pembukaan semula ekonomi China.

 

“Walaupun KWSP mencatatkan pulangan positif setakat tahun ini, keadaan pasaran kewangan masih tidak menentu, dengan ketegangan geopolitik dan inflasi yang tinggi terus menjadi kebimbangan bagi pasaran utama di seluruh dunia. Sebagai tindak balas kepada situasi ini, KWSP telah menumpukan strategi portfolionya ke arah syarikat yang berdaya tahan dan mempunyai asas kukuh yang membolehkannya untuk memberikan dividen yang stabil.”

 

Pada suku pertama 2023, pendapatan daripada Ekuiti meningkat kepada RM8.96 bilion, selepas mengambil kira turun nilai kos, berbanding RM8.75  bilion yang dicatatkan pada S1 2022. Kelas aset ini kekal sebagai penyumbang pendapatan tertinggi pada 59% daripada jumlah pendapatan pelaburan.

 

Turun nilai kos bagi S1 2023 adalah secara relatifnya minima pada RM0.44 juta berbanding RM1.09 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2022, hasil daripada pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana KWSP. Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

 

Instrumen Pendapatan Tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, telah menjadi tunjang kepada KWSP dan terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, di samping mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan pasaran jangka pendek dan memberikan kestabilan kepada pendapatan keseluruhan KWSP. Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 32% atau RM4.79 bilion kepada pendapatan pelaburan kasar bagi S1 2023. Kedua-dua MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII ) meningkat pada suku tahun tersebut berikutan hasil penanda aras keseluruhan telah merosot dengan jangkaan inflasi yang berkurangan di AS, seterusnya memberikan peluang kepada KWSP untuk memanfaatkan keuntungan pelaburan.

 

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan peningkatan dalam pendapatan kepada RM0.92 bilion pada S1 2023. Pendapatan daripada instrumen Pasaran Wang juga meningkat kepada RM0.49 bilion, daripada RM0.28 bilion pada S1 2022, sejajar dengan jangkaan pulangan yang ditetapkan untuk kelas aset ini.

 

Aset pelaburan keseluruhan KWSP setakat Mac 2023 meningkat kepada RM1.04 trilion, di mana pelaburan luar negara menyumbang 37% daripada keseluruhan jumlah aset. Pada S1 2023, pelaburan luar negara KWSP, yang sebahagian besarnya adalah dalam ekuiti, terus mengatasi prestasi dan menambah nilai kepada pulangan keseluruhan KWSP, seterusnya menjana pendapatan RM7.04 bilion, mewakili 46% daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

 

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP menyumbang 63% daripada jumlah aset, dilaburkan terutamanya dalam instrumen Berpendapatan Tetap Dipegang Hingga Matang yang terus memberikan kestabilan pendapatan jangka panjang melalui pendapatan faedah. KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih daripada 70% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

 

Sebanyak RM13.33 bilion daripada RM15.16 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM1.83 bilion untuk Simpanan Shariah. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional.

 

KWSP mengekalkan jangkaan, fokus kepada sektor yang berprestasi


Ekonomi maju dijangka mencatat pertumbuhan yang perlahan berbanding pasaran baru muncul dan membangun disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk peningkatan inflasi global dan ketegangan geopolitik yang berterusan. Walaupun ekonomi Malaysia diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 4.0% hingga 5.0%, rendah daripada 8.7% yang dicatatkan pada 2022, KWSP mengekalkan jangkaannya kerana ia percaya terdapat sektor berprestasi yang boleh dimanfaatkan oleh KWSP.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata adalah penting bagi KWSP untuk mempertimbangkan dinamik pasaran dengan lebih meluas bagi meningkatkan prospeknya untuk memberikan dividen yang konsisten kepada ahli. Suku tahun seterusnya akan menyaksikan KWSP memberi tumpuan kepada industri dan sektor yang dijangka pulih selepas tiga tahun pandemik, yang akan meningkatkan permintaan buruh.

 

“Memandangkan Malaysia terus meningkatkan usaha pemulihan ekonominya, kami melihat peningkatan yang stabil dalam kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia yang akan mewujudkan asas kukuh untuk mengekalkan perbelanjaan pengguna dan pembangunan ekonomi. Data keahlian KWSP, yang menunjukkan peningkatan berterusan dalam bilangan ahli dan majikan yang mendaftar dengan KWSP, menyokong tanggapan bahawa permintaan buruh di negara ini sememangnya bertambah baik,” kata beliau.

 

Sehingga Mac 2023, KWSP merekodkan pendaftaran ahli baharu sebanyak 116,423, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 15.79 juta. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.45 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50% daripada 16.81 juta tenaga buruh Malaysia. Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 24,281 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 595,730. Jumlah caruman yang diterima meningkat daripada RM21.55 bilion pada S1 2022 kepada RM25.83 bilion pada S1 2023, caruman suku tahunan tertinggi setakat ini yang melepasi angka pra-pandemik (lihat Carta 1).

 

Pemulihan Malaysia yang stabil dalam pasaran buruh dan sokongan dasar yang berterusan membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, melonjak daripada 51:49 pada S1 2022 kepada 53:47 daripada jumlah keseluruhan daripada ahli aktif sebanyak 8.45 juta berbanding jumlah ahli sebanyak 15.79 juta pada S1 2023.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata walaupun KWSP mencatatkan trend positif dalam pertumbuhan keahlian serta keadaan pasaran buruh yang bertambah baik, KWSP tetap prihatin terhadap kesejahteraan masa depan 40% tenaga kerja Malaysia yang masih tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial. Untuk menangani perkara ini, KWSP sedang mengambil langkah untuk meningkatkan liputan tenaga buruh negara melalui i-Saraan, yang dibangunkan khas untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka. Sepanjang S1 2023, i-Saraan merekodkan jumlah ahli sebanyak 62,952, menjadikan jumlah ahli i-Saraan kepada 997,659, mewakili peningkatan sebanyak 67% daripada 598,874 pada suku yang sama tahun lepas.

 

“KWSP terus meningkatkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan dan jangkaan ahli dan majikan yang semakin berkembang, serta meningkatkan prestasi portfolionya. Komitmen ini telah menjadi daya penggerak di sebalik prestasi mampan KWSP yang kekal dipacu oleh Alokasi Aset Strategik (SAA) jangka panjang yang membolehkan KWSP mencapai mandat dan sasaran strategiknya,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

 

JADUAL 1: PRESTASI S1 2023 KWSP

Portfolio

% Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset

Pendapatan pelaburan (RM bilion)

% Pendapatan

Ekuiti

43%

8.96

59%

Instrumen Pendapatan Tetap*

47%

4.79

32%

Instrument Pasaran Wang

4%

0.49

3%

Hartanah dan Infrastruktur

6%

0.92

6%

Jumlah

100%

15.16

100%

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf 

 

CARTA 1: CARUMAN DITERIMA

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
9 Jun 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.