Tarikh: 29 Nov 2017
KWSP Catat Pendapatan Pelaburan RM12.95 Bilion Untuk S3 2017

Pelaburan luar negara terus meningkatkan pulangan keseluruhan

 

KUALA LUMPUR, 29 November 2017: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan peningkatan pendapatan pelaburan kepada RM12.95 bilion untuk suku tahun ketiga berakhir 30 September 2017 (S3 2017), iaitu peningkatan sebanyak 5.13 peratus berbanding RM12.32 bilion yang dicatat untuk tempoh yang sama tahun lepas.

 

Mengulas tentang prestasi Pelaburan S3 2017 KWSP, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Dato’ Mohamad Nasir Ab Latif berkata, “Prestasi portfolio KWSP telah mengambil manfaat daripada rali pasaran ekuiti luar negara dalam S3 2017. Kami tidak menyaksikan pulangan yang sama dari pasaran domestik di mana prestasi FBM KLCI adalah mendatar berbanding pasaran lain yang mencatat perkembangan antara dua (2) peratus ke lima (5) peratus.” 

 

KWSP mencatatkan jumlah rosot nilai bersih lebih tinggi pada RM791.55 juta dalam suku tahun yang dikaji, selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), berbanding RM349.59 juta pada Q3 2016. Ini berikutan peruntukan yang lebih tinggi diambil untuk ekuiti domestik dalam sektor telekomunikasi dan minyak dan gas.

 

Dalam S3 2017, Ekuiti, yang merangkumi 41.86 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang sebanyak RM7.91 bilion atau 61.09 peratus dari keseluruhan pendapatan pelaburan. Pendapatan ini adalah 12.75 peratus lebih tinggi daripada RM7.02 bilion yang dicatat dalam suku tahun yang sama pada 2016.

 

Setakat September 2017, sebanyak 50.45 peratus dari aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang merekodkan pendapatan sebanyak RM4.49 bilion, bersamaan dengan 34.63 peratus dari jumlah pendapatan pelaburan suku tahun.  Daripada RM4.49 bilion pendapatan kelas aset, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf menyumbang RM2.17 bilion dalam S3 2017, naik 10.96 peratus, atau RM213.98 juta, daripada RM1.95 bilion dalam S3 2016, selaras dengan perkembangan portfolio.  Pinjaman dan Bon pula mencatat pendapatan pelaburan lebih rendah sebanyak RM2.32 bilion berbanding RM2.56 bilion dalam S3 2016.

Pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing mewakili 3.53 peratus dan 4.16 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan, dan menyumbang pendapatan pelaburan masing-masing sebanyak RM274.27 juta dan RM263.83 dalam S3 2017.

 

“Pelaburan kami dalam Instrumen Pasaran Wang kini melebihi sasaran tiga (3) peratus di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP berikutan halangan berterusan ke atas kawalselia pelaburan baru luar negara. Dalam jangka panjang, KWSP perlu terus mengembangkan portfolio aset luar negara kerana ia penting untuk pendiversifikasian kami dan memberi peluang untuk kami mencapai sasaran pulangan,” kata Dato’ Mohamad Nasir.

 

Setakat 30 September 2017, pelaburan luar negara KWSP, yang merangkumi sebanyak 30 peratus dari jumlah aset pelaburan, menyumbang 48 peratus kepada keseluruhan pendapatan pelaburan di dalam suku tahun yang dikaji.  Pendiversifikasian ke dalam pelbagai kelas aset, negara dan matawang telah membantu KWSP untuk mencatat pendapatan yang lebih tinggi untuk suku tahun yang dikaji walaupun terdapat perbezaan yang ketara antara prestasi pasaran sedunia.

 

Daripada pendapatan pelaburan sebanyak RM12.95 bilion dalam S3 2017, sebanyak RM860.83 juta dijana untuk Simpanan Shariah yang memperoleh pendapatan hanya daripada bahagian aset patuh Syariah, manakala RM12.09 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional yang memperoleh pendapatan dari kedua-dua bahagian aset patuh Syariah dan aset tidak patuh Syariah.

 

Nilai aset pelaburan KWSP kini mencecah RM771.20 bilion, meningkat 5.48 peratus atau RM40.09 bilion, daripada RM731.11 bilion dalam 31 Disember 2016.  Daripada jumlah aset pelaburan, sebanyak RM370.10 bilion, atau 48 peratus, adalah dalam pelaburan patuh Syariah manakala selebihnya dalam aset tidak patuh Syariah.

 

“Kami masih mempunyai satu lagi suku tahun sebelum akhir tahun, dan kami yakin bahawa pendiversifikasian ke dalam pelbagai aset membolehkan kami untuk mencapai sasaran dividen sebenar tidak kurang dari dua (2) peratus melebihi kadar inflasi untuk tiga tahun berturut-turut untuk kedua-dua Simpanan Shariah dan Simpanan Konvensional,” kata Dato’ Mohamad Nasir.

 

S3 2017 Statistik (Pelaburan)

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.