Tarikh: 23 Dis 2020
KWSP Catat Pendapatan Pelaburan Kasar RM17.33 Bilion bagi S3 2020

KUALA LUMPUR, 23 Disember 2020: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan kasar RM17.33 bilion bagi suku tahun ketiga yang berakhir pada 30 September 2020 dalam suasana ketidaktentuan yang berterusan dalam pasaran modal dan persekitaran operasi yang dipengaruhi oleh penularan pandemik COVID-19.

Bagi suku tahun ketiga, Ekuiti menyumbang RM7.29 bilion, atau 42%, kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar, manakala instrumen Pendapatan Tetap mencatatkan RM8.18 bilion. Hartanah dan Infrastruktur, serta instrumen Pasaran Wang, masing-masing menyumbang RM1.63 bilion dan RM0.23 bilion. Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM16.87 bilion (selepas mengambil kira rosot nilai dan turun nilai kos atas ekuiti tersenarai).

Ketua Pegawai KWSP Alizakri Alias ​​berkata, "Tahun ini telah menyaksikan ketidaktentuan yang ketara dalam pasaran kewangan, di mana terdapat pergerakan pesat yang beralih daripada satu tahap ekstrim ke tahap ekstrim seterusnya. Kedudukan kewangan KWSP sepanjang tiga suku pertama pada tahun ini dipengaruhi oleh turun naik dalam sentimen pasaran yang diburukkan lagi oleh ketidakpastian berikutan pandemik COVID-19 serta sentimen pengguna yang masih berada pada tahap yang lemah.”

Indeks ekuiti global yang dipantau secara terperinci oleh KWSP telah meningkat semula daripada paras terendah pada bulan Mac, namun masih terdapat indeks yang masih belum pulih kepada tahap sebelum pandemik, iaitu pada akhir tahun 2019. Sementara itu, pelaburan dalam instrumen Pendapatan Tetap telah menyumbang 47% kepada pendapatan pelaburan kasar pada suku tahun ini. Kejatuhan hasil yang meluas telah memberi peluang kepada KWSP untuk meningkatkan aktiviti dagangan dan mendapatkan keuntungan. Walau bagaimanapun, KWSP akan mempertimbangkan faktor hasil pelaburan semula yang lebih rendah, serta berwaspada dalam memastikan prestasi jangka panjang portfolio pelaburan tidak terjejas.

Pada akhir September 2020, jumlah aset pelaburan KWSP adalah RM941.77 bilion, terdiri daripada 68% yang diperuntukkan dalam pasaran domestik dan 32% yang diperuntukkan dalam pasaran luar negara, yang juga telah menyumbangkan sebanyak 45% kepada pendapatan pelaburan kasar bagi suku tahun ketiga.

Berdasarkan kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap merangkumi 49% daripada pelaburan, manakala Ekuiti sebanyak 39%. Instrumen Pasaran Wang dan Hartanah dan Infrastruktur masing-masing merangkumi 7% dan 5% daripada pelaburan. Portfolio ini mencerminkan strategi KWSP untuk mengoptimumkan pulangan dalam had risiko yang boleh diterima berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Prospek sehingga akhir tahun

Bagi prestasi KWSP untuk bulan berbaki bagi tahun ini, Alizakri berkata, "Walaupun pelaburan KWSP kekal berpandukan SAA, keadaan masih bergantung kepada tindak balas yang pantas dan efektif terhadap pandemik COVID-19, yang juga harus menangani kesan besar terhadap ekonomi dan memastikan kesinambungan perniagaan, pekerjaan dan kehidupan.”

"Ketika ekonomi dunia sedang berusaha untuk pulih daripada sekatan pergerakan, jangkitan COVID-19 semakin meningkat semula, dan ini akan menjadi halangan besar kepada pemulihan ekonomi global kepada tahap sebelum pandemik. Kami menjangkakan kadar faedah akan kekal rendah untuk jangka masa yang lebih lama kerana bank-bank pusat terus melonggarkan dasar monetari untuk menyokong ekonomi masing-masing.”

Tambah Alizakri, "Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, ketidakpastian mengenai kadar pemulihan ekonomi global akan memberikan impak terhadap permintaan luaran dan mempengaruhi landskap pekerjaan di Malaysia, yang seterusnya akan mengekang kegiatan ekonomi domestik."

“Sepanjang tahun yang sangat mencabar ini, KWSP tetap teguh berpegang pada komitmen kami untuk membantu ahli KWSP mencapai masa depan yang lebih baik serta melindungi simpanan persaraan mereka sepanjang tempoh yang tidak stabil ini. Ini akan dicapai dengan sentiasa memastikan keuntungan yang dijana daripada pelaburan dilakukan dengan cara yang sihat dan mampan, dengan turun nilai yang berhemah dan langkah-langkah rosot nilai diamalkan secara proaktif pada setiap masa.”

Ringkasan Prestasi S3


*Sumbangan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf

 

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
23 Disember 2020

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.