Date: 15 Ogos 2023
KWSP Catat RM33.19 Bilion Pendapatan Pelaburan Pada 1H 2023

KWASA DAMANSARA, 15 Ogos 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun 2023 (1H 2023), peningkatan sebanyak RM9.44 bilion, berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022. Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut. Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas. Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion. Sebagai perbandingan, kelas aset ini menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022. Sebahagian besar daripada peningkatan tersebut adalah disumbang oleh langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM. Selepas mengambil kira turun nilai kos, angka ini menyumbang 53% daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut.

Lanjutan daripada pengurusan portfolio yang aktif oleh pengurus dana KWSP, turun nilai kos bagi S2 2023 adalah secara relatifnya minima pada RM0.35 bilion, berbanding RM2.15 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama 2022. Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di AS yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat. Ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekaligus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut. Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad.

“Bagi Malaysia, pertumbuhan KDNK sebanyak 5.6% pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh. Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik.”

Instrumen Pendapatan Tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang stabil kepada pendapatan keseluruhan KWSP. Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 27% atau RM4.83 bilion, kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi S2 2023. Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM2.72 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang menjana RM0.88 bilion, sejajar dengan jangkaan kelas pulangan ini.

Aset KWSP mencatatkan pertumbuhan kukuh di sebalik pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburannya serta caruman bersih yang diterima. Sehingga Jun 2023, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1,082.45 bilion, di mana 38.6% daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara. Peningkatan dalam pendedahan luar negara sebahagian besarnya disebabkan oleh pergerakan pasaran global dan pertukaran matawang asing yang lebih menggalakkan. Tidak termasuk pergerakan kadar pertukaran asing, pelaburan luar negara KWSP yang dicatatkan akan berada pada sekitar 37.5%. Pelaburan luar negara KWSP menjana RM11.07 bilion, atau 61% daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

Sementara itu, pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4% daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu. KWSP kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80% daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada S2 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion Simpanan Shariah, dan RM16.27 bilion untuk Simpanan Konvensional. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional.

 

Menyelaraskan strategi pelaburan dengan perubahan dinamik pasaran


Walaupun data ekonomi 1H 2023 adalah menggalakkan, KWSP mengambil langkah berhati-hati terhadap pertumbuhan ekonomi global, yang dijangka menghadapi beberapa cabaran yang ketara pada separuh tahun kedua 2023, akibat kesan pengetatan monetari sebelumnya, keadaan kredit yang lebih terhad dan pasaran buruh yang lemah, yang seterusnya menguji daya tahan aktiviti ekonomi global. Pasaran ekuiti dan bon akan kekal tidak menentu berikutan pelbagai jangkaan mengenai kesudahan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat, risiko kemelesetan, ketidaktentuan dasar dan ketegangan geopolitik.

Walau bagaimanapun, ekonomi Malaysia dijangka kekal berkembang selaras dengan unjuran Bank Negara Malaysia antara 4% dan 5% tahun ini berdasarkan aktiviti domestik yang berdaya tahan, disokong oleh perlaksanaan berterusan projek infrastruktur berbilang tahun, keadaan pasaran buruh yang sihat, dan kesederhanaan inflasi, yang dijangka berterusan pada separuh kedua tahun ini, menjadikan purata setahun penuh antara 2.8% dan 3.8%.

“KWSP terus menyelaraskan strateginya dengan perubahan keadaan pasaran dan meraih peluang yang sesuai dengan profil risikonya di bawah Alokasi Aset Strategik (SAA) yang kekal menjadi pemacu pertumbuhan mampan serta berdaya tahan terhadap keadaan pasaran yang tidak menentu,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

 

Peningkatan bilangan keahlian dan caruman mencerminkan kemajuan ke arah perlindungan menyeluruh dan kecukupan simpanan persaraan


Pada 1H 2023, jumlah keahlian KWSP terus meningkat kepada 15.90 juta. Daripada jumlah itu, KWSP mencatat paras tertinggi sebanyak 8.47 juta ahli aktif1, yang kini mewakili 50.2% daripada 16.86 juta2 tenaga buruh Malaysia. Peningkatan ahli aktif adalah 467,087, daripada 8 juta pada 1H 2022 kepada 8.47 juta pada 1H 2023.

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871. Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada 1H 2023, naik 16.8% daripada RM43.23 bilion pada 1H 2022.

Pemulihan pasaran buruh di Malaysia dan usaha berterusan KWSP untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantu KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52%:48% pada S2 2022 kepada 53%:47% pada S2 2023.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata KWSP kekal komited terhadap kesejahteraan masa depan lebih 40% tenaga kerja Malaysia yang masih tidak dilindungi oleh sebarang bentuk perlindungan sosial. Memandangkan Malaysia sedang menyaksikan peralihan yang semakin berkembang ke arah tidak formal dan kemunculan ekonomi gig, KWSP menumpukan usaha terhadap memperluaskan liputan dengan menggerakkan mobile team KWSP secara aktif untuk mendaftar lebih ramai rakyat Malaysia dengan KWSP. Sehingga Jun 2023, sebanyak 4,429 aktiviti liputan telah dijalankan.

Kerjasama berterusan KWSP dengan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain dalam program perlindungan sosial telah membantu menggalakkan rakyat Malaysia dari sektor tidak formal untuk mendaftar dengan i-Saraan KWSP, yang merupakan program caruman sukarela yang dibangunkan khas untuk membolehkan pekerja di sektor tidak formal atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan demi persaraan mereka. Pada 1H 2023, jumlah ahli berdaftar dengan i-Saraan meningkat kepada 1.07 juta, naik sebanyak 48% daripada 725,944 pada 1H 2022.

 

Menggiatkan aktiviti caruman sukarela dan meluaskan jangkauan KWSP


Bagi menganggarkan kecukupan pendapatan persaraan, Datuk Seri Amir Hamzah berkata penanda aras yang digunakan KWSP untuk menentukan pencapaian Simpanan Asas ialah RM240,000, iaitu sasaran minimum apabila mencapai umur 55 tahun. Menurut beliau, jumlah tersebut adalah bersamaan RM1,000 sebulan untuk tempoh persaraan selama 20 tahun.

Melihat bagaimana isu kecukupan simpanan memberi kesan terhadap kesejahteraan ahli KWSP semasa mereka memasuki usia emas, KWSP telah memperkenalkan kempen Jom Tambah untuk menggalakkan ahli menambah simpanan mereka secara sukarela.

Pada 1H 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36% dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 pada 1H 2022. Jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion pada 1H 2023, meningkat sebanyak 46% daripada RM2.70 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu. Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun3 ialah 31,128 pada 1H 2023, berbanding 9,765 pada 1H 2022. Selain daripada khidmat nasihat ahli, KWSP juga aktif mendekati majikan dan menggalakkan mereka untuk mencarum lebih daripada kadar berkanun 12% atau 13% (untuk pekerja yang berpendapatan RM5,000 sebulan atau ke bawah). Dengan meningkatkan caruman dana persaraan, majikan menunjukkan komitmen terhadap kesejahteraan kewangan dan keselamatan pekerja mereka, sekaligus menambah baik nilai majikan.

Di samping menggalakkan ahli menambah simpanan secara sukarela, KWSP menyediakan akses kepada kemudahan jaminan pendapatan lain yang berkualiti seperti i-Sayang, iaitu kemudahan yang membolehkan suami untuk memindahkan sebahagian daripada caruman mereka ke dalam akaun isteri, khususnya yang tidak bekerja atau di luar tenaga buruh, agar mereka dapat membina simpanan jangka panjang dengan KWSP; dan inisiatif i-Lindung di bawah Pelan Perlindungan Ahli di mana ahli boleh membeli produk insurans untuk mengurangkan impak kewangan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Inisiatif-inisiatif ini menyumbang kepada matlamat keseluruhan untuk memupuk masyarakat yang berdaya tahan dan dilindungi dari segi kewangan, di mana individu dan keluarga boleh menangani cabaran kehidupan dan mencapai objektif kewangan jangka panjang mereka. Untuk membantu ahli merancang persaraan mereka, KWSP menjalankan program celik kewangan serta nasihat kewangan dan persaraan melalui Khidmat Nasihat Persaraan KWSP telah merekodkan sebanyak 79,890 interaksi nasihat secara bersemuka pada 1H 2023.

Usaha KWSP yang lain termasuk menambah baik aplikasi KWSP i-Akaun, yang bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menggabungkan teknologi terkini, ciri-ciri peribadi, keselamatan yang dipertingkatkan, dan artikel untuk meningkatkan pengetahuan kewangan agar pengguna dapat membuat keputusan yang lebih termaklum mengenai kewangan mereka.

Datuk Seri Amir Hamzah berkata matlamat utama aplikasi ini ditambah baik berpunca daripada dedikasi KWSP untuk memberi kuasa maklumat dan kawalan terus ke tangan ahli. “Perancangan persaraan adalah satu perjalanan yang memerlukan pendekatan yang teliti. Dengan ciri dan fungsi baharu aplikasi KWSP i-Akaun, kami memberikan ahli kemudahan yang diperlukan untuk membuat perancangan dengan lebih yakin dan jelas,” katanya.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aplikasi KWSP i-Akaun baharu serta cara menambah simpanan melalui caruman sukarela atau mencarum lebih daripada kadar berkanun, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara.

 

1. Ahli aktif merujuk kepada ahli yang menyumbang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan yang lalu

2. Perangkaan Tenaga Buruh setakat Mei 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia, laporan dikeluarkan pada 10 Julai 2023

3. Pekerja dan majikan boleh memilih untuk mencarum pada kadar melebihi daripada kadar berkanun iaitu 11% (syer pekerja) atau 12% / 13% (syer majikan)

 

JADUAL 1: PRESTASI S2 2023 KWSP

Portfolio

% Aset dalam Jumlah Pelaburan Aset

Pendapatan pelaburan (RM bilion)

% Pendapatan

Ekuiti

43%

9.60

53%

Instrumen Pendapatan Tetap*

46%

4.83

27%

Instrument Pasaran Wang

4%

0.88

5%

Hartanah dan Infrastruktur

7%

2.72

15%

Jumlah

100%

18.03

100%

* Sumbangan dari Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf

 

CARTA 1: CARUMAN DITERIMA


 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP
Jabatan Hal Ehwal Korporat
15 Ogos 202

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.