Date: 02 Apr 2024
KWSP Umum Senarai Unit Amanah Yang Dikemas Kini Untuk 2024/2025

KWASA DAMANSARA, 2 APRIL 2024: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Senarai Kelayakan Dikemas Kini untuk dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuat kuasa pada 1 April 2024.

Dibawah SPA KWSP, terdapat 296 dana yang diluluskan daripada 18 Institusi Pengurusan Dana (IPD). Berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan pada kedudukan setakat 31 Disember 2023, 189 dana mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahli KWSP untuk tempoh 2024/2025. Daripada dana yang layak ini, 151 dana, atau 79.9%, adalah dana tempatan; 107 dana (56.6%) adalah dana ekuiti; dan 76 dana (40.2%) adalah dana Shariah. 

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP Rohaya Mohammad Yusof berkata, “KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas melalui Institusi Pengurusan Dana yang dilantik oleh KWSP. Skim ini membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP mereka ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan mereka.

“Senarai ini juga adalah termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investment atau SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” tambah beliau.

Kesemua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana. Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi disenaraikan.

Senarai dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk tempoh 2024/2025 diperincikan di Jadual 1 berikut:

 

Jadual 1: Senarai Dana dan IPD Mengikut Kategori

Kategori Dana

2023/2024

(Setakat 31 Mac 2024)

2024/2025

(Bermula 1 April 2024)

Dana Layak Ditawarkan

IPD

Dana Layak Ditawarkan

IPD

Ekuiti

108

15

107

14

Aset Campuran

47

13

50

14

Bon

15

6

14

6

Pasaran Wang

19

12

18

11

 

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30% daripada lebihan jumlah simpanan di dalam Akaun 1 mereka. Ini termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan Simpanan Asas (rujuk Jadual 2). 

“Sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, sekitar RM2.5 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2023. KWSP menggalakkan lebih ramai ahli memanfaatkan kemudahan i-Invest berikutan penambahbaikan pada platform itu dibuat awal tahun ini yang membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian. Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi melibatkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang layak ditawarkan melalui platform i-Invest” kata Rohaya.

Beliau menambah bahawa portfolio mandat persendirian dan dana unit amanah di bawah SPA KWSP memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk melabur melalui pengurus aset profesional berdasarkan objektif pelaburan individu, keutamaan dan toleransi risiko mereka. Ahli boleh melakukan transaksi dengan mudah melalui i-Invest dengan caj jualan pendahuluan yang dibayar oleh ahli kepada IPD adalah dihadkan pada 0.5% untuk setiap transaksi pembelian. 

Ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang tepat serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi. Ahli boleh rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP. Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/simpanan/i-invest.

Jadual 2: Simpanan Asas KWSP

UMUR

KUANTUM SIMPANAN ASAS

UMUR

KUANTUM SIMPANAN ASAS

18

2,000

37

68,000

19

4,000

38

74,000

20

6,000

39

80,000

21

8,000

40

86,000

22

10,000

41

93,000

23

13,000

42

101,000

24

15,000

43

108,000

25

18,000

44

116,000

26

21,000

45

125,000

27

24,000

46

134,000

28

27,000

47

144,000

29

31,000

48

154,000

30

35,000

49

164,000

31

39,000

50

175,000

32

43,000

51

187,000

33

47,000

52

199,000

34

52,000

53

212,000

35

57,000

54

226,000

36

62,000

55

240,000

 

Dikeluarkan oleh Media Desk KWSP 
Jabatan Hal Ehwal Korporat
2 April 2024

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)


Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan dana simpanan persaraan utama Malaysia yang membantu ahlinya mencapai simpanan yang mencukupi untuk persaraan yang selesa. Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, dan misinya untuk melindungi simpanan ahli dan memberikan perkhidmatan yang cemerlang. KWSP telah beralih daripada berpaksikan transaksi kepada sebuah pengurusan dana profesional berfokuskan keselamatan persaraan. KWSP dipacu oleh rangka kerja tadbir urus yang teguh dan profesional dalam keputusan pelaburannya. KWSP terus memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan memupuk budaya menabung dan pelaburan di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan negara.