EPF reopens counter services at Kangar branch starting 21 April 2021

KUALA LUMPUR, 20 April 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuka semula operasi kaunter perkhidmatan pelanggan di Pejabat KWSP Kangar, Perlis mulai Rabu, 21 April 2021, dari 9.30 pagi hingga 3.00 petang pada setiap hari bekerja.
Perkhidmatan kaunter pelanggan KWSP Kangar ini disambung semula setelah ditutup sementara sejak 19 April 2021 untuk proses disinfeksi dan sanitasi berikutan seorang anggota cawangan tersebut didapati positif COVID-19.
Atas komitmen tinggi KWSP untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan ini dapat diberikan kepada ahli-ahli di negeri Perlis, anggota-anggota dari cawangan lain telah digerakkan ke KWSP Kangar bagi tujuan pembukaan semula kaunter perkhidmatan tersebut.
KWSP akan terus melaksanakan pendekatan berjaga-jaga berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara dan mengamalkan penjarakan fizikal serta SOP pencegahan yang lain untuk membendung penularan wabak COVID-19.
Ahli-ahli KWSP adalah dinasihatkan untuk melaksanakan transaksi bagi perkhidmatan secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.
Untuk maklumat lanjut, ahli-ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.
Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
20 April 2021
Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.