Date: 31 Mac 2016
KWSP Senarai Dana Amanah Untuk 2016/2017

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana-dana unit amanah bagi tahun 2016/2017 di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) untuk tempoh 1 April 2016 hingga 31 Mac 2017.

 

Senarai dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA KWSP adalah dana-dana yang telah dibuat penilaian tahunan berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Mana-mana dana yang tidak mencapai kriteria minimum penilaian tahunan tersebut akan digantung dan tidak boleh ditawarkan pada tempoh tersebut.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, “Sebanyak 234 dana unit amanah yang layak ditawarkan di bawah SPA KWSP oleh 23 IPD untuk tahun 2016/2017 berbanding 217 dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk tahun 2015/2016.”

 

Kategori

2015/2016

2016/2017

Dana Yang Layak Ditawarkan

IPD Yang Terlibat

Dana Yang Layak Ditawarkan

IPD Yang Terlibat

Ekuiti

107

17

113

20

Aset Campuran

50

17

54

17

Bon

33

12

36

12

Pasaran Wang

26

16

30

18

Hartanah

1

1

1

1

Jumlah

217

21

234

23

 

 

Untuk mendapatkan senarai penuh dana yang ditawarkan di bawah setiap IPD yang dilantik, sila layari http://www.kwsp.gov.my/ms/member/investment.

 

SPA KWSP membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi meningkatkan simpanan persaraan mereka. Di bawah skim ini, ahli boleh memindahkan simpanan tidak melebihi 20 peratus setiap tiga (3) bulan daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui IPD yang telah dilantik.

 

Simpanan Asas merujuk kepada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi memastikan ahli mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM196,800 apabila mencapai umur 55 tahun. Kadar Simpanan Asas ini ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.

 

Ahli KWSP adalah diingatkan bahawa pelaburan di bawah SPA KWSP adalah pilihan ahli sendiri dan menjadi tanggungjawab sepenuhnya kepada mereka untuk membuat sebarang keputusan berpandukan objektif dan risiko pelaburan yang sesuai dengan profil masing-masing. Ahli adalah disarankan untuk mendapat khidmat nasihat daripada penasihat kewangan yang bertauliah sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim ini.

 

KWSP juga telah menyediakan satu Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli, di mana portal ini boleh dilayari secara percuma melalui i-Akaun ahli. Melalui Portal Informasi Skim Pelaburan Ahli, ahli KWSP boleh mendapatkan maklumat dan informasi berkenaan IPD, dan prestasi dana-dana unit amanah yang diuruskan oleh IPD tersebut di bawah skim ini untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum.

 

“Walaupun KWSP meluluskan dana-dana unit amanah di bawah SPA KWSP, ianya tidak bermakna kami membuat sebarang cadangan atau syor kepada ahli terhadap mana-mana dana unit amanah tersebut,” Dato’ Mohamad Nasir berkata.

 

Bagi melindungi skim dan kepentingan ahli KWSP yang melabur di dalamnya, KWSP telah mengeluarkan garis panduan kepada IPD. Ianya adalah untuk mengawalselia IPD agar menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. KWSP boleh mengenakan tindakan seperti amaran bertulis, denda monetari, menggantung ataupun menarik balik pelantikan sekiranya IPD gagal mematuhi arahan-arahan dan garis panduan yang dikeluarkan ini.

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan dana persaraan terulung Malaysia yang ditubuhkan untuk membantu ahli mencapai simpanan yang cukup untuk persaraan yang selesa.  Ini selaras dengan visi KWSP untuk membantu ahli mencapai masa depan yang baik serta misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. KWSP telah berkembang daripada sebuah organisasi berpaksikan transaksi kepada sebuah organisasi pengurusan dana professional dengan tumpuan terhadap jaminan persaraan. KWSP berpandukan rangka kerja tadbir urus yang mantap dan profesional dalam membuat keputusan pelaburan. Ia terus memainkan peranan sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi negara dan bertujuan untuk memupuk budaya menabung dan melabur di kalangan ahli untuk meningkatkan tahap celik kewangan di peringkat negara.