Tarikh: 10 Jan 2021
KWSP Temerloh dan Georgetown Dibuka Semula Mulai Isnin, 11 Januari 2021

KUALA LUMPUR, 10 Januari 2021: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan kaunter di KWSP Temerloh, Pahang dan KWSP Georgetown, Pulau Pinang mulai Isnin, 11 Januari 2021.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para ahli dan anggotanya sentiasa terjaga, KWSP akan terus melaksanakan SOP yang berikut di cawangan seluruh negara:

A. Ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran Janji Temu Online;

B. Semua ahli mesti menjalani pemeriksaan suhu dan mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis cawangan;

C. Semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan fizikal yang ditetapkan pada setiap masa ketika berada di dalam premis cawangan;

Dalam memainkan peranannya untuk membendung penularan wabak COVID-19, KWSP ingin mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan kesefahaman para ahli akan usaha KWSP untuk memberi perkhidmatan yang terbaik melalui saluran fizikal dan elektronik. Segala kesulitan amatlah dikesali.

Untuk maklumat lanjut, ahli-ahli boleh hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 ataupun layari laman web KWSP.

Dikeluarkan oleh EPF Media Desk
Jabatan Hal Ehwal Korporat
10 Januari 2021

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.