Tarikh: 17 Nov 2023
KWSP Catat RM47.86 Bilion Pendapatan Pelaburan Untuk 9B 2023

KWASA DAMANSARA, 17 November 2023: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9B 2023), meningkat 33% daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2022. Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut. Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.

 

Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga (S3 2023) berakhir 30 September 2023, adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada suku ketiga, kita menyaksikan peralihan yang ketara dalam prestasi ekuiti global yang telah mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun itu. Perang Gaza-Israel dan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan pastinya akan menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran.

 

“Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menerukkan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora. Perubahan dalam sentimen pasaran ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk kebimbangan tentang kestabilan ekonomi China, kenaikan harga tenaga dan peningkatan hasil bon kerajaan, kesemuanya berlatarbelakangkan kemungkinan bahawa tempoh kadar faedah yang tinggi akan berlanjutan. Bulan Ogos 2023 pula mencatatkan peristiwa penting apabila Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit Amerika Syarikat daripada AAA kepada AA+. Tindakan ini didorong oleh beban hutang yang semakin meningkat, sekaligus menggariskan cabaran yang dihadapi oleh landskap ekonomi global,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

 

Beliau menambah bahawa pasaran pendapatan tetap global juga telah mencatatkan jumlah pulangan negatif pada suku ketiga berikutan peningkatan mendadak dalam hasil kerajaan.

 

“Peningkatan dalam hasil bon kerajaan dipengaruhi oleh data ekonomi yang berdaya tahan serta kenyataan bahawa kadar dasar kekal “lebih tinggi untuk lebih lama”, disebabkan oleh penyederhanaan inflasi yang lebih perlahan daripada yang dijangkakan. Perkembangan ini memberikan dimensi baharu kepada landskap ekonomi global yang memerlukan KWSP melaksanakan pendekatan berwaspada dan adaptif dalam usaha kita mengemudi pasaran kewangan,” katanya.

 

Pelaburan Ekuiti kekal sebagai penyumbang utama, merangkumi 63% daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S3 2023, dengan RM9.17 bilion dijana selepas turun nilai kos. Peningkatan pendapatan sebanyak RM5.89 bilion yang dicatatkan pada S3 2022 ini adalah disumbang oleh pendekatan proaktif pengurus dana untuk merealisasikan keuntungan modal pada awal suku tersebut, yang menyaksikan beberapa indeks ekuiti merekodkan prestasi terbaik mereka sepanjang tahun, terutamanya untuk pasaran maju.

 

Penurunan nilai kos bagi S3 2023 adalah rendah pada RM0.10 juta, berbanding RM36 juta yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022, lanjutan daripada pengurusan portfolio yang aktif oleh pengurus dana. Turun nilai kos atas ekuiti tersenarai adalah polisi dalaman yang diamalkan oleh KWSP ke atas pelaburan ekuiti tersenarainya sebagai langkah berhemah untuk memastikan portfolionya kekal sihat.

 

Instrumen Pendapatan Tetap, yang berfungsi sebagai pengekalan modal, terus menjadi tunjang kepada KWSP dan memberikan aliran pendapatan yang tetap, selain mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan KWSP secara keseluruhannya. Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS) serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 32% atau RM4.76 bilion, kepada jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi S3 2023.

 

Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM0.29 bilion, manakala pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang menjana RM0.45 bilion, masing-masing menyumbang 2% dan 3% kepada jumlah pendapatan pelaburan pada S3 2023.

 

Aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh disokong oleh pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburannya dan caruman bersih yang diterima pada September 2023 sebanyak RM73.58 bilion, berbanding RM63.61 bilion yang dicatatkan pada 2022. Setakat September 2023, nilai aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1,092.32 bilion, di mana 37.7% daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara. Peningkatan dalam pendedahan luar negara sejak Disember 2022 adalah disebabkan oleh pergerakan positif dalam pertukaran matawang asing, serta peningkatan modal yang mendorong penilaian tinggi. Pada S3 2023, pelaburan luar negara KWSP menjana RM6.55 bilion, atau 45%, daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan.

 

Sebanyak RM42.71 bilion daripada RM47.86 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM5.15 bilion untuk Simpanan Shariah. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional.

 

Daya tahan menghadapi cabaran, mengemudi landskap ekonomi yang kompleks

Sebagai reaksi terhadap tinjauan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2024 1bahawa pertumbuhan ekonomi global pada 2024 akan lebih rendah sedikit daripada 2023, Datuk Seri Amir Hamzah berkata KWSP memahami bahawa keadaan ekonomi semasa dijangka akan membentuk landskap perniagaannya.

 

Ekonomi maju akan paling terjejas berikutan pendirian dasar monetari yang ketat bagi bank pusat utama yang akan menyebabkan pengetatan kredit dan permintaan global yang lemah. Indeks Pengurus Pembelian Komposit (PMI2) yang rendah di United Kingdom dan Zon Euro menunjukkan aktiviti sektor swasta yang lemah dalam jangka terdekat untuk Eropah. Walaupun pertumbuhan ekonomi AS dijangka perlahan pada 2024, daya tahan yang ditunjukkan pada 2023 setakat ini telah meningkatkan keyakinan dalam pendaratan lembut tanpa mencetuskan kemelesetan.

 

Di peringkat domestik, pelebaran perbezaan kadar faedah, peperangan yang berterusan dan risiko geopolitik telah mengukuhkan USD berbanding mata wang lain termasuk MYR dengan ketara, walaupun berlaku kenaikan harga minyak mentah dan jangkaan pembangunan ekonomi yang lebih baik di China. Di sebalik keadaan ekonomi global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar yang kukuh antara 4.0% dan 5.0% pada 2024, disokong oleh pasaran buruh yang berdaya tahan, aktiviti pelaburan yang mampan dan pemulihan dalam eksport barangan.

 

Datuk Seri Amir Hamzah berkata pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 oleh Kerajaan menandakan satu peristiwa penting dalam trajektori ekonomi negara kerana ia menyediakan hala tuju strategik untuk membangunkan sektor perindustrian supaya berdaya saing di peringkat global dengan kerumitan ekonomi yang tinggi.

 

“Adalah penting bagi kami untuk memantau perkembangan ini dan kesannya terhadap portfolio kami. Walaupun KWSP merekodkan suku ketiga yang baik, ia tidak menunjukkan prestasi pada suku keempat yang masih menjadi kebimbangan berikutan peningkatan risiko geopolitik yang mengancam sistem kewangan global di sebalik peningkatan risiko inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan,” kata Datuk Seri Amir Hamzah.

 

“Dalam melayari landskap ekonomi ini, kami tetap komited terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) jangka panjang kami yang telah membuktikan keberkesanannya secara konsisten dan berperanan penting dalam mengukuhkan daya tahan semasa ketidaktentuan pasaran.”

 

Lonjakan dalam caruman sukarela menandakan peningkatan kesedaran terhadap jaminan pendapatan masa depan

KWSP terus mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam pendaftaran ahli baharu sebanyak 365,519, menjadikan jumlah ahli KWSP pada 30 September 2023 keseluruhannya sebanyak 15.99 juta. Dalam jumlah tersebut, sebanyak 8.53 juta adalah ahli aktif3, mewakili 50.4% daripada 16.93 juta tenaga buruh4 Malaysia. KWSP merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada 53%:47% setakat September 2023.

 

Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan apabila pertumbuhan pekerjaan terus berkembang, walaupun pada kadar yang lebih perlahan berbanding tahun lepas. Pendaftaran majikan baharu KWSP direkodkan sebanyak 63,902 pada S3 2023, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 603,326. Penurunan dalam pendaftaran majikan adalah berikutan normalisasi selepas peningkatan mendadak yang dilihat pada 2022 berikutan penyambungan semula perniagaan pasca pandemik pada 2020-2021.

 

Bagi mencapai sasaran liputan ahli aktif KWSP merangkumi lebih 60% daripada tenaga buruh Malaysia menjelang 2030, KWSP meningkatkan lagi program liputannya dan penglibatan dengan pihak berkepentingan secara proaktif. Usaha ini disokong oleh teknologi digital yang membolehkan ahli mengakses rangkaian perkhidmatan KWSP yang lebih luas, termasuk pendaftaran dan pengaktifan i-Akaun, i-Saraan, dan Simpanan Shariah.

 

Bilangan pendaftaran Simpanan Shariah menyaksikan peningkatan daripada 231,637 pada September 2022, kepada 232,964 pada 2023 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR5) sebanyak 15.8% sejak ia diperkenalkan pada 2017. Sehingga kini, seramai 1,741,309 ahli KWSP telah memilih akaun Simpanan Shariah, merangkumi 10.9% daripada jumlah ahli KWSP.

 

Usaha berterusan KWSP untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantu KWSP mencatatkan pertumbuhan 26% dalam jumlah caruman sukarela kepada 730,066 daripada 579,394 dalam tempoh yang sama pada 2022. Program caruman sukarela KWSP i-Saraan menunjukkan sambutan positif daripada ahli di mana peningkatan sebanyak 41% telah direkodkan dalam jumlah ahli berdaftar i-Saraan daripada 838,672 pada September 2022 kepada 1.18 juta pada September 2023.

 

Sehingga September 2023, seramai 54,025 ahli sektor formal telah mendaftar dalam program Voluntary Excess yang membolehkan ahli menyumbang lebih daripada kadar berkanun sedia ada iaitu 11%. KWSP juga menggalakkan majikan mencarum lebih daripada kadar berkanun daripada bahagian majikan.

 

Untuk membantu ahli merancang persaraan mereka, KWSP menjalankan program celik kewangan dan persaraan peribadi serta nasihat kewangan melalui Khidmat Nasihat Persaraan (RAS), di mana dari Januari hingga September 2023, seramai 72,131 ahli telah mendapatkan nasihat persaraan dan kewangan secara bersemuka dengan Pegawai RAS bertauliah dan profesional KWSP.

 

Menyedari peningkatan trend pekerjaan tidak formal dalam tenaga kerja Malaysia dan kekurangan perlindungan sosial hari tua, KWSP komited untuk memperluaskan perlindungannya kepada segmen ini, yang sering tidak dilindungi oleh mana-mana skim persaraan dan berhadapan dengan risiko yang lebih tinggi. Pemerkasaan pasukan Mobile Team KWSP dengan 41 kenderaan dan 10 trak bergerak, menyerlahkan usaha berterusan KWSP untuk mendekati pekerja sektor tidak formal dan yang bekerja sendiri di seluruh negara. Ini adalah sebagai tambahan kepada kerjasama secara aktif dengan agensi kerajaan, organisasi masyarakat sivil, pihak berkepentingan serta badan penyeliaan dan kawal selia.

 

Ini, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, “berhubung dengan agenda KWSP untuk meluaskan perlindungan sosial negara kerana KWSP mempunyai kewajipan untuk membantu merapatkan jurang yang wujud dalam rangka kerja perlindungan sosial negara dan sedang berusaha untuk membuat perubahan ketara kepada kehidupan rakyat Malaysia”.

 

Tambah beliau, KWSP menyambut baik Belanjawan 2024 yang berusaha untuk merapatkan jurang simpanan dan perlindungan yang wujud dalam sistem pencen dan persaraan di Malaysia. Sokongan berterusan Kerajaan untuk meningkatkan insentif padanan bagi program i-Saraan, meluaskan program i-Sayang kepada suami, dan menghidupkan semula program i-Suri, mencerminkan langkah penting ke hadapan dalam mengutamakan keselamatan kewangan dan kemakmuran rakyat Malaysia.



Dikeluarkan oleh
Jabatan Hal Ehwal Korporat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
Tarikh: 17 November 2023

Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja® (KWSP®) merupakan antara dana persaraan tertua di dunia. Ditubuhkan pada tahun 1951, KWSP® terus mendokong misi untuk melindungi simpanan ahli dan menyediakan perkhidmatan terbaik. Terbaharu, selaras dengan visi untuk membantu ahli mencapai masa depan yang lebih baik, KWSP® telah melebarkan fungsinya untuk merangkumi ekosistem kesejahteraan sosial yang menyeluruh. Kini, KWSP® terus komited kepada ahli melalui usaha-usaha tekal untuk mengemaskini dan menambahbaik, agar dapat membina asas kukuh bagi menjamin kesejahteraan mampan, holistik dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.